Latest News

Thursday 10 March 2016

Deklarasi Rakyat Kita Kena Tengok Siapa Musuh Kita Sebenar - Tun Dr Mahathir



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ada cara tersendiri untuk menjelaskan kerjasamanya dengan DAP menerusi Deklarasi Rakyat yang dimeterai Jumaat lalu.

Menulis di blog hari ini, Mahathir berkata bukan sahaja ahli Umno merasa terkilan, malah anggota DAP sendiri tidak senang dengan kerjasama tersebut.

Beliau bagaimanapun memberikan analogi isu di Timur Tengah bagi menjelaskan hubungan itu dan siapakah pihak yang sepatutnya dijadikan 'musuh sebenar' dalam usahanya menyingkirkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Jika kita tidak faham, lihatlah keadaan di kalangan orang Islam di Timur Tengah. Musuh mereka ialah Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat.

"Malangnya mereka lebih utamakan permusuhan sesama mereka, permusuhan antara Sunni dengan Syiah, antara Fatah dengan Hamas, antara Iran dengan Arab sehingga mereka lupakan musuh sebenar mereka, iaitu Israel, dan mereka berperang sesama orang Islam.

"Maka bertepuk tanganlah Yahudi dan Amerika," kata Mahathir.

Dalam tulisannya, bekas perdana menteri itu mengakui ramai ahli Umno merasa terkilan dan tidak senang melihat beliau duduk sepentas bersama pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang.

"Kenapakah ahli dan pemimpin Umno sanggup bersama dengan DAP dan Kit Siang?

"Soal yang sama juga ditanya oleh ahli dan pemimpin DAP yang benci dan bermusuh dengan Umno terutama dengan saya sendiri sebagai bekas pemimpin Umno sejak DAP ditubuh," tulis Mahathir.

Najib tutup semua saluran

Menurut Mahathir, mereka yang hadir menandatangi deklarasi itu bukan atas kapasiti ahli dan pemimpin parti politik, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang khuatir akan kesan buruk perlakuan Najib sebagai Perdana Menteri.

Justeru itu tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, terpaksa membelakangkan pertubuhan dan perjuangan mereka supaya suara mereka dapat diperdengarkan kepada semua.

"Mereka perlu bertindak sebagai “citizen” (rakyat) dan bukan lagi sebagai parti atau badan-badan tertentu.

Katanya lagi, sekiranya segala saluran untuk menghentikan perbuatan salah masih ada, penyelesaian masih boleh dicari dalam parti.

"Tetapi Najib sudah tutup semua saluran ini. Hak ahli dalam Umno, Mesyuarat Agong Umno, Majlis Tertinggi Umno sudah tidak berfungsi lagi," katanya.

Beliau menjelaskan tindakan Najib bukan sahaja menekan parti-parti politik tetapi juga ke atas semua rakyat tanpa mengira kaum atau parti.

"Dalam keadaan ini rakyat yang menjadi mangsa sudah lumpuh dan tidak lagi dapat bergantung kepada parti politik mereka sendiri untuk perlindungan, dan tidak pun melalui institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi keselamatan rakyat.

"Bagi semua rakyat Malaysia hanya penyingkiran Najib sahaja yang boleh memulihkan demokrasi negara," katanya. - Mkini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Deklarasi Rakyat Kita Kena Tengok Siapa Musuh Kita Sebenar - Tun Dr Mahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top