Latest News

Monday 7 March 2016

Deklarasi Rakyat, Pembangkang Setuju Undurkan Najib Ialah Motif Utama


Walaupun ada yang mahu memperbaharui institusi, tetapi motif utama ialah mahu Najib undur dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.

"Dipersetujui pada pertemuan kami dengan Dr Mahathir, yang fokus utama adalah untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

"Siapa yang bakal menggantikan beliau adalah perkara lain dan tertakluk kepada perbincangan.
"Kami bersetuju pada dasarnya berhubung soal menurunkan Najib dan melakukan pembaharuan dalam institusi," kata Mahfuz kepada wartawan ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri besar Kedah Dato Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, pembangkang bersedia menerima seorang perdana menteri baru daripada Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan Najib.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berkata, kenyataan Mukhriz adalah logik dan fakta memandangkan BN masih memegang majoriti kerusi di Parlimen.

Deklarasi Rakyat yang ditandatangani tokoh politik yang saling bermusuhan selama ini dan pemimpin masyarakat sivil pada Jumaat lalu menimbulkan perdebatan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil dan sama ada pembaharuan institusi benar-benar akan berlaku.

Dr Mahathir, dipersalahkan kerana hakisan institusi Malaysia sepanjang tempoh 22 tahun perkhidmatannya, tidak mengakui peranannya walaupun didesak masyarakat sivil untuk berbuat demikian.

Tetapi terdapat juga yang mengatakan keutamaan segera ketika ini ialah penyingkiran Najib agar Malaysia dapat bergerak ke depan.

Ahli Parlimen kanan DAP Teresa Kok berkata, jelas yang Mukhriz berasa tertekan kerana beliau masih bersama Umno.

Mukhriz tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi Umno, dan baru-baru ini digugurkan sebagai menteri besar Kedah.

Beliau juga turut hadir pada sidang akhbar Deklarasi Rakyat itu.

Tetapi, Kok berkata, pembangkang, seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, serta aktivis hak asasi manusia terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan, selama ini konsisten mengatakan lebih banyak yang diperlukan selain daripada sekadar menukar perdana menteri.

"Tetapi, buat masa itu, memandangkan wujud tekanan yang kian memuncak untuk menukar perdana menteri, kami semua setuju menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir.

"Jangan kita lupa yang Deklarasi Rakyat juga termasuk usaha membawa pembaharuan institusi," kata Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh.

Perenggan mengenai pembaharuan dalam deklarasi itu, yang sebahagian besarnya menumpukan kepada dakwaan salah laku Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd, turut menyebut mengenai "memulihkan integriti institusi yang terjejas, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara".
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Deklarasi Rakyat, Pembangkang Setuju Undurkan Najib Ialah Motif Utama Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top