Latest News

Sunday 13 March 2016

Petisyen turunkan potret Najib di universiti UK cecah 4,000 tandatangan


Apabila Cassandra Chung memuat naik petisyen agar Universiti Nottingham di United Kingdom (UK) menurunkan poster Datuk Seri Najib Razak kerana sikap berdiam diri perdana menteri itu berkaitan sumbangan RM2.6 bilion, beliau menganggarkan akan hanya mendapat sekitar 100 tandatangan.

Tetapi dalam masa 3 hari, pelajar undang-undang itu menerima hampir 4,000 tandatangan bagi menyokong usul untuk dikemukakan kepada University of Nottingham Malaysian Society.

"Kita sebenarnya sudah kemukakan usul dan buat masa ini, kita tidak akan menarik balik," Chung memberitahu The Malaysian Insider, ketika ditanya mengenai status gerakan beliau.

"Pada masa ini, kita sedang menunggu di Persatuan Malaysia meluluskan usul untuk dibahaskan di AGM minggu depan (mesyuarat agung tahunan)."

Tetapi Chung berkata, walaupun Persatuan Malaysia "selalunya sangat terbuka kepada kebanyakan cadangan ahli " beliau tidak pasti mereka akan menerima usul itu, memandangkan persatuan itu harus kekal neutral.

Katanya, beliau hanya ahli biasa dalam persatuan itu walaupun pernah sekali mencuba bertanding jawatan setiausaha kebajikan.

Bagaimanapun, mahasiswa itu gembira atas sambutan menggalakkan sejak petisyennya dimuat naik pada 8 Mac.

"Apabila petisyen di peringkat penggubalan, saya diberitahu beberapa kali yang petisyen itu tidak boleh mendapat banyak sokongan. Jadi ketika bermula, harapan adalah sekurang-kurangnya 100 tandatangan.

"Jadi bayangkan kejutan semua orang (termasuk Justin dan saya) apabila kami mencecah 1,000 dalam masa kurang 24 jam dan apabila pelbagai portal akhbar mengesan petisyen itu," kata Chung, merujuk kepada penyokong gerakan ini, Justin Ong.

Menangani tindak balas

Tetapi petisyennya itu walaupun popular, ada kemudaratannya.

Chung memberitahu, beliau menerima ancaman di atas talian dan nampaknya mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Kira-kira 2 atau 3 jam selepas petisyen itu dimuat naik, saya dimaklumkan seorang anggota jawatankuasa Persatuan Nottingham Malaysia yang Suruhanjaya Tinggi (Malaysia di Singapura) mencari mencari nombor saya.

"Saya menggeletar hingga akhirnya saya dapat tidur hanya 2 jam pada malam itu," katanya.

Tetapi Chung berkata, Suruhanjaya Tinggi masih belum menghubungi beliau, dan rakan-rakannya memberi jaminan mereka mungkin hanya mahu memberi beliau "kuliah satu jam."

"Rupa-rupanya, seseorang memberitahu saya petisyen itu berjaya beri tekanan ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia, Kelab Umno dan Suruhanjaya Tinggi," katanya.

"Walaupun saya masih bimbang, saya rasa tindakan kecil seperti itu, sokongan yang ditunjukkan itu tidak menjadikan ia begitu teruk," kata Chung.

"Orang lain memberi sokongan dalam cara mereka sendiri dan saya fikir ia sedikit sebanyak mengurangkan rasa takut; mengetahui akan ada orang yang menyokong saya dan keluarga."

Petisyen tentang ketidakadilan, bukan politik

Beliau juga berharap orang ramai tidak akan mentafsir usul beliau sebagai isu "Pakatan Harapan berusaha untuk menjatuhkan Najib".

"Fokus di sini adalah kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya (bukan hanya di Nottingham tetapi di tanah air) yang perlu mengambil lebih inisiatif untuk bersuara.

"Saya berharap petisyen ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk bercakap mengenai isu-isu ketidakadilan" katanya.

Dalam maklumat berkaitan petisyen itu awal hari ini, Chung menggesa penandatangan untuk menarik lebih ramai orang, sambil berkata ini akan meningkatkan peluang masyarakat memberi perhatian kepada petisyen itu.

"Bagi penyokong petisyen ini, jika anda terima sebarang ancaman, saya menggesa anda semua untuk bertindak balas dengan rasional serta belas kasihan dan bukan bertindak balas dengan kata-kata tajam," tulisnya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. Alahhh...setakat turun poster je beb. Masa bersih hari tu, siap.pijak poster lagi...hidup je najib sampai sekarang. Apa ada hal. Yang kena pecat dari jawatan mb patut jadi hal. Tak gitu beb?

    ReplyDelete

Item Reviewed: Petisyen turunkan potret Najib di universiti UK cecah 4,000 tandatangan Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top