Latest News

Thursday 23 February 2017

Misteri Derma 2.6B Bakal Terjawab ?


Malaysia sedang menanti lawatan rasmi baginda Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi pada akhir Februari ini. Lawatan baginda akan mengeratkan lagi hubungan diplomatik dan hubungan baik rakyat kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

Sudah pasti Kerajaan Persekutuan BN pimpinan PM Najib Razak akan ambil kesempatan sepenuhnya untuk menyambut keberangkatan Raja Salman ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, sambutan itu bukanlah demi kepentingan Malaysia tetapi untuk kepentingan peribadi Najib dengan muslihat untuk mengiyakan dakwaan beliau bahawa wang berjumlah AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri sebenarnya derma daripada seorang Putera Raja Arab Saudi.

Betulkah itu wang derma (yang jumlahnya sangat banyak sekali)? Jika ya, adakah wang itu untuk dana pilihan raya UMNO, atau untuk membiayai gerakan menentang ancaman ISIS ataupun Yahudi seperti yang dikatakan beberapa Menteri Kabinet? Benarkah sejumlah AS$620 juta telah dipulangkan kepada penderma kerabat diraja itu seperti yang diumumkan oleh Peguam Negara yang baru dilantik ketika itu?Persoalan-persoalan ini perlu pengesahan daripada Raja Arab Saudi sendiri.

Isu ini perlu diselesaikan kerana PM dan jentera propaganda beliau akan mewujudkan gambaran kononnya tiada masalah sedikit pun dengan Arab Saudi. Ia juga dapat mengesahkan setiap dakwaan Najib bahawa wang tunai yang luarbiasa banyaknya di bawah kawalan beliau itu sememangnya sumbangan ikhlas daripada Kerabat Diraja Arab Saudi.

Tidak kurang pentingnya, pengesahan tersebut perlu dibuat kerana seorang yang waras fikirannya, setelah mengikuti pelbagai laporan yang wibawa, akan merumuskan bahawa wang tunai bersamaan nilai RM2.6 bilion dan mungkin berapa bilion lagi yang dimasukkan kepada akaun bank Najib adalah wang berbilion ringgit yang disonglap daripada 1MBD.

Oleh itu, demi Malaysia yang kini terpalit dengan skandal politik yang begitu buruk dalam sejarah, Raja Salman mesti mengesah dakwaan sesungguhnya seorang Putera Raja Arab Saudi telah menderma wang tersebut kepada Najib. Sekiranya tidak disahkan, isu berkenaan akan berpanjangan, lantas Najib akan kekal memerintah dan terus menyalahguna kuasa jawatannya walaupun telah kehilangan kepercayaan rakyat Malaysia.

Kami tidak mahu melihat Najib menggunakan lawatan seorang Raja daripada sebuah negara bersahabat untuk menutup jenayah yang beliau lakukan dan sudah diketahui seantero dunia.

Mukhriz Mahathir
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Misteri Derma 2.6B Bakal Terjawab ? Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top