Latest News

Thursday 2 February 2017

PPBM - PAS - Kenyataan Media TS Muhyiddin



KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

1. Saya ingin menzahirkan rasa syukur atas perkembangan positif dalam usaha pembentukan persefahaman politik dan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seperti yang diumumkan oleh YB Dato' Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PPBM dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS yang mengetuai delegasi kedua-dua parti dalam Jawatankuasa Induk Bersama PAS-PPBM yang bermesyuarat semalam.

2. Saya amat menyambut baik dan mengalu-alukan kesediaan PAS untuk membentuk kerjasama dengan PPBM khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. Kerjasama ini akan merintis jalan ke arah pembentukan muafakat politik yang lebih kukuh antara parti-parti pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional secara satu lawan satu dalam PRU-14 dan insyaAllah, jika diberikan mandat oleh rakyat, akan membentuk sebuah kerajaan baharu yang berintegriti selepas pilihanraya.

3. PPBM sebelum ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan dan kerjasama ini akan diteruskan. Persefahaman yang dicapai dengan PAS ini akan melengkapkan usaha ke arah mewujudkan muafakat politik antara parti-parti pembangkang dan InsyaAllah akan memperkukuhkan lagi kedudukan parti-parti pembangkang menjelang PRU-14.

4. Saya percaya peluang untuk mewujudkan sebuah gabungan parti-parti politik yang lebih berkaliber untuk mentadbir negara sekiranya diberikan mandat oleh rakyat akan dapat direalisasikan dengan wujudnya persefahaman antara PPBM, PAS dan parti-parti sekutu yang mempunyai aspirasi yang sama. Dengan perkembangan terbaharu ini saya juga yakin bahawa harapan untuk menyelamatkan Malaysia serta menawarkan masa depan Malaysia yang lebih baik juga semakin cerah.

5. Saya berdoa semoga perjanjian PPBM-PAS akan dapat dimaterai oleh saya dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dalam tempoh beberapa hari akan datang.


TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
2 Februari 2017
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: PPBM - PAS - Kenyataan Media TS Muhyiddin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top