ALOR SETAR - Ketua Armada (Bersatu) Kedah, Aizad Roslan menyelar kenyataan Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang mendakwa pemimpin Pakatan Harapan tidak membantu mangsa yang berdepan musibah banjir sejak Jumaat lalu.
Katanya, kenyataan yang dibuat itu menyerlahkan sikap kurang cerdik beliau, selain mahu mencari publisiti murahan.
“Sepatutnya beliau lebih cerdik sebelum membuat dakwaan seperti itu. Jika beliau dakwa begitu, kami juga mahu bertanya di mana Pemuda Umno ketika suasana menjadi kelam kabut apabila banyak kawasan dinaiki air,” katanya.
Aizad yang juga Timbalan Ketua Armada Malaysia berkata, pemimpin pembangkang menyalurkan bantuan ke kampung pedalaman yang terjejas sejak Jumaat, tanpa perlu diuarkan melalui media, tidak seperti Umno yang ‘seronok’ menunggu di pusat pemindahan untuk mendapatkan liputan media.
“Rakyat sudah muak dengan sandiwara Umno. Apa salahnya Umno berhenti mendapatkan ‘political mileage’ melalui perbuatan seperti itu. Rakyat tahu menilai siapa yang datang kepada mereka secara ikhlas, dan siapa yang syok sendiri,” katanya.
Menurutnya, sebaik sahaja mendapat makluman awal daripada penduduk di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), bilik gerakan banjir Bersatu bagi daerah/kawasan seperti Sungai Petani, Kota Setar, Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu dan Kuala Kedah dibuka 24 jam.
“Gerak kerja disusun sejak Jumaat bagi mendapatkan info kawasan-kawasan lokaliti yang terdedah dan terkesan banjir. Bantuan segera seperti keperluan asas dan makanan dihulurkan, malah bantuan logistik turut digerakkan,” katanya.
Aizad berkata, sekarang bukan masa untuk meraih kepentingan politik murahan, sebaliknya adalah masa untuk bekerja demi rakyat.
“Kami beroperasi mengikut jadual siang dan malam, mencari dana biarpun kami bukan kerajaan, namun kami usahakan untuk kebajikan penduduk yang tidak bernasib baik akibat banjir,” katanya.
laporan sinar
0 comments:
Post a Comment