Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Mukhriz Mahathir mendakwa Umno bersikap talam dua muka kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dan sengaja memutarbelit kenyataan berhubung penguasaan DAP dalam gabungan parti pembangkang itu.
Mukhriz berkata, kenyataan bercanggah daripada pemimpin Umno berhubung penguasaan DAP itu hanya berniat untuk mengelirukan rakyat yang akan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau membandingkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil dan presiden parti itu, Najib Razak mengenai peluang DAP untuk menguasai kerajaan.
Katanya, Shahrizat dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu lalu mendakwa masih ada orang Melayu yang akan mengundi PH, walaupun tahu yang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.
“Selepas itu dia berkata maharaja Lim Kit Siang (dan) DAP akan berkuasa. Itu kata dia,” kata Mukhriz dalam satu ucapan di Johor Bahru malam tadi.
Walhal, Kit Siang tidak berminat menjawat jawatan itu, kata Mukhriz.
“Ini tak masuk akal. Kit Siang sendiri pun kata dia tak berminat jadi perdana menteri, malah DAP kata tak mungkin ia boleh buat,” kata Mukhriz.
Mukhriz seterusnya memainkan satu rakaman ucapan Najib pada bulan lalu di Perhimpunan Agung MCA yang menurutnya bercanggah sama sekali dengan kenyataan Shahrizat.
“Pilihan di tangan anda. Beritahu komuniti Cina, DAP tidak akan boleh tubuh kerajaan, realitinya pada PRU lepas mereka menang pun tidak boleh tubuh kerajaan.
“Mereka tidak boleh buat yang terbaik dari PRU lepas, tak boleh, termasuk jika mereka buat dengan baik pun mereka tetap tak boleh tadbir kerajaan,” suara Najib kedengaran dalam rakaman dimainkan Mukhriz.
Bekas menteri besar Kedah itu menjelaskan Najib sendiri menegaskan DAP tidak akan mampu mentadbir kerajaan seperti didakwa oleh Shahrizat.
“Ini kata-kata Najib sendiri. Zaman media sosial, yang mana ucapan dia di MCA walaupun berbeza daripada ucapan dia di dalam Umno kita semua tetap dapat tonton sebab ada Youtube.
“Jadi ini masalahnya, bercanggah kenyataan sesama mereka,” kata Mukhriz dalam ucapannya itu di majlis pelancaran jentera pilihan raya dan sukarelawan PH Johor yang dihadiri lebih 100 penyokong.
Turut berucap adalah Pengerusi PH Johor, Muhyiddin Yassin yang mendakwa, Johor kini bukan lagi kubu kuat BN.
Program semalam juga dihadiri pimpinan kanan PH Johor termasuk Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengarah Pilihan Raya PH Johor Salahuddin Ayub, Pengerusi PKR negeri Hassan Karim, Pengerusi Bersatu negeri Shahruddin Md Salleh dan juga Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan. – 11 Disember, 2017.
0 comments:
Post a Comment