ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan parti itu kini didekati ramai ahli Pas yang mahu melakukan penghijrahan dalam politik.
Katanya, trend terbaharu ini dilihat semakin rancak selepas Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah memilih Bersatu untuk meneruskan perjuangan politik pada 26 November lalu.
“Pada awalnya, parti ini disertai ahli-ahli Umno yang menolak kepimpinan parti itu. Saya akui paling ramai dalam Bersatu adalah kalangan bekas-bekas ahli Umno. Kini trend ahli berubah, orang Pas pula yang makin ramai sertai kami,” katanya.
Menurutnya, kebangkitan ahli Pas yang mula menunjukkan minat terhadap Bersatu dipercayai bermula selepas beberapa wakil rakyat Pas ‘lompat parti’ selain hubungan mesra Pas-Umno yang ditolak akar umbi.
“Buat masa ini, peringkat kepimpinan tertinggi Pas belum ada, kebanyakan dari akar umbi, ahli biasa. Wakil rakyat Pas Kedah setakat ini hanya Amiruddin yang sertai Bersatu,” katanya.
Mukhriz berkata, parti itu mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin berjuang bersama Bersatu, dengan syarat mahu melakukan perubahan kepimpinan negara selain berjuang untuk rakyat.
“Jika ada kalangan wakil rakyat yang masih berkhidmat tetapi mahu berhijrah sertai Bersatu, kami sambut dengan tangan terbuka,” katanya.
Mengulas sama ada penghijrahan besar-besaran hanya akan berlaku pada saat akhir menjelang PRU14, katanya, ia tidak mustahil namun adalah lebih baik hasrat itu disegerakan bagi kelancaran jentera parti.
“Kita tak galakkan penghijrahan saat akhir, kerana kita juga miliki tokoh-tokoh yang boleh diangkat sebagai calon PRU14.
Laporan Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment