Latest News

Friday 9 March 2018

Pakatan mahu ke Putrajaya untuk membina negara, memenuhi harapan


PAKATAN Harapan melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malam ini, dokumen yang akan menggariskan dengan terperinci janji-janji gabungan empat parti pembangkang itu kepada rakyat Malaysia dalam kempennya mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah dalam ucapan alu-aluannya berkata manifesto yang dilancarkan itu “bukan manifesto pembangkang” sebaliknya sebuah manifesto “bakal kerajaan.”

Manifesto yang diberi nama “Buku Harapan” menawarkan 60 janji, dengan 10 janji akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama mentadbir Putrajaya. Ia juga menjanjikan iltizam khas kepada lima golongan iaitu warga Felda, masyarakat kaum India, golongan wanita, golongan muda dan warga emas.

Manifesto itu mengangkat tema “Membina Negara, Memenuhi Harapan.”


The Malaysian Insight membawa laporan langsung majlis pelancaran itu dari Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam:

11:40pm: Majlis pelancaran Manifesto Buku Harapan ditutup dengan sesi bergambar barisan pimpinan PH dan hadirin.

"Pelancaran manifesto ini tidak berakhir di sini saja. Ini adalah permulaan untuk kita menumbangkan kleptokrat," kata pengacara Syed Syah Syed Othman
sebelum menutup majlis.

Menurutnya, sebanyak RM13,676 turut berjaya dikutip dalam acara malam ini.



Secara berseloroh calon Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, untuk menang PRU14, parti komponen janganlah kecewakannya kerana beliau bercita-cita mahu menjadi perdana menteri sekali lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

11:00pm: PH mampu menyingkirkan Najib Razak dari Putrajaya tetapi hendaklah dengan usaha yang lebih kuat daripada yang sedang dilakukan oleh Barisan Nasional untuk mengekalkan kedudukannya, kata Dr Mahathir Mohamad.


Manifesto Buku Harapan yang dilancarkan malam ini adalah manifesto paling lengkap yang pernah diberikan oleh gabungan pembangkang sebelum ini dan diyakini sebagai senjata paling ampuh dalam memenangi hati rakyat.

Perasaan lebih 3,000 hadirin yang memenuhi dalam dan luar dewan ternyata meriah dan nampak penuh keyakinan dengan janji-janjinya kepada rakyat Malaysia bagi mendapat mandat ke Putrajaya untuk membetulkan segala kesalahan yang dilakukan kerajaan BN.

Pengerusi PH Dr Mahathir bagaimanapun mengingatkan parti komponen Pakatan agar tidak berkelahi dan sentiasa bekerjasama menuju ke arah itu.

“Cuba ketepikan kepentingan lain dan utamakan kemenangan untuk jatuhkan Najib.

“Janganlah kalah. Saya bercita-cita untuk jadi perdana menteri sekali lagi.

“Jadi untuk tidak kecewakan saya, janganlah berkelahi,” katanya secara berseloroh.

10:50pm: Calon Timbalan Perdana Menteri PH Wan Azizah Wan Ismail berkata manifesto ini merupakan pemangkin untuk membawa kembali Malaysia ke era yang lebih gemilang, selain mengimbau kembali era emas Malaysia ketika diterajui gandingan Mahathir Mohamad dan suami beliau Anwar Ibrahim menaikkan nama negara sebagai antara terbaik di benua ini.


Presiden PKR yang juga calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan berkata, manifesto yang dilancarkan ini akan meletakkan kembali Malaysia ke landasan yang sama ketika zaman kegemilangan negara waktu Dr Mahathir dan suaminya Anwar Ibrahim saling bekerjasama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

10.45pm: Manifesto PH adalah manifesto yang mencerminkan harapan rakyat, yang ditulis setelah mendengar cadangan dan keluh kesah rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad.

Manifesto itu menggariskan usaha PH untuk membetulkan kesalahan kerajaan BN, yang sudah tidak boleh diharap untuk membetulkan kesalahannya sendiri.

“Yang boleh betulkannya ialah Kerajaan baru yang berwibawa dan membuat janji-janji yang munasabah dalam manifestonya.

“Perubahan Kerajaan boleh betulkan kesalahan Kerajaan sekarang, tetapi pengekalan Kerajaan sekarang akan merosakkan lagi negara,” katanya dalam kata pengantar Buku Harapan yang dilancarkan sebentar tadi.

10.41pm: Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah melancarkan manifesto PH dengan melengkapkan puzzle muka depan dokumen Buku Harapan.

Teks penuh Buku Harapan di sini.


10:35pm: Apa janji PH kepada warga Felda?

Untuk menghentikan penyelewengan dalam Felda di semua peringkat, ia mahu menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja untuk membedah siasat Felda secara menyeluruh. Laporan siasatan itu akan diseliakan pelaksanaannya oleh sebuah jawatankuasa khas kabinet.

PH juga mahu menyusun semula tadbir urus Felda dengan merombak sistem pentadbirannya sekarang.

PH juga mahu mengurangkan beban peneroka Felda, memoden dan menaik taraf kawasan Felda dan memberi peluang pendidikan yang terbaik kepada anak-anak Felda.

10:30pm: Khusus untuk kaum India, PH membuat 25 janji termasuk menyelesaikan isu status kewarganegaraan yang masih belum selesai, peluang memiliki rumah untuk bekas pekerja ladang dan kumpulan B40 dan membuka lebih banyak peluang untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh.

10:25pm: Untuk anak-anak muda, PH berjanji seperti berikut:

* Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya
* Mengurangkan bebanan kos sara hidup
* Membina lebih banyak rumah selesa yang mampu dimiliki oleh anak muda
* Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma
* Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan 
kehidupan dan kerja


Tujuh daripada 10 janji yang akan dikotakan dalam tempoh 100 hari pertama jadi kerajaan Persekutuan itu akan menambah pendapatan boleh guna dan simpanan, termasuk dengan menghapuskan sebahagian hutang peneroka Felda dan peminjam dana pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

10:15pm: PH sudah menunjukkan kemampuannya untuk mentadbir Malaysia berdasarkan pengalaman dan rekod pencapaian yang dibuat selama 10 tahun memerintah di negeri, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Mengimbau kembali kemenangan PRU12 genap 10 tahun lalu, Lim berkata PH sudah membuktikan ia ada pengalaman untuk mentadbir, tidak seperti yang selalu dimomokkan oleh BN.

"Pengalaman yang kita tidak ada ialah rasuah," katanya.

Mengulas mengenai bantuan kewangan terus kepada rakyat seperti BR1M, Lim berkata Pulau Pinang telahpun memberi bantuan kewangan kepada rakyat termiskin sejak 2013, selepas berjaya mencatat bajet surplus.

Ini memberi keyakinan kepada Pakatan Rakyat untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan meneruskan BR1M kepada rakyat seperti yang termaktub dalam manifesto mereka.

"Pulau Pinang tak ada GST tapi kita mampu bayar wang kepada rakyat. Macam mana kita lakukan? Cuba lihat laporan ketua audit negara. Ia kata kerajaan negeri hanya belanja 55% daripada belanjawan tapi kita berjaya laksanakan 97% projek," kata Lim.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberi contoh pemberian wang terus untuk mencegah kemiskinan tegar rakyat di negeri itu yang diadakan pada 2013, Lima tahun selepas mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN dan lebih awal daripada pengumuman BR1M.

"BN tunggu 51 tahun. Kita kalau boleh nak bagi rakyat sekarang juga tunggu.

"Untuk mencegah Kemiskinan tegar, kerajaan negeri terus tambah sampai cukup RM790. RM27 juta ringgit digunakan untuk bantu rakyat termiskin," kata beliau.

Lim juga berkata kerana pentadbiran bersih PH berjaya mengubah imej Pulau Pinang yang 10 tahun lalu dikenali sebagai "Darul Kotor" kerana masalah kebersihan sewaktu pentadbiran terdahulu.


Mengimbau kembali kemenangan PRU12 genap 10 tahun lalu, Lim berkata PH sudah membuktikan ia ada pengalaman untuk mentadbir, tidak seperti yang selalu dimomokkan oleh BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

9:45pm: Naib Presiden PH Azmin Ali menggunakan pentas ucapan pelancaran Manifesto PH untuk menyerang Najib Razak, sehari selepas Perdana Menteri itu melancarkan jentera pilihan raya BN di Selangor semalam.

Menteri Besar Selangor itu berkata kejayaan pemerintahan PH di Selangor dan Pulau Pinang sudah memecahkan mitos BN bahawa tidak ada mana-mana pihak boleh memerintah negara dengan baik kecuali BN sahaja.

"Najib kata rumah di Selangor lebih mahal berbanding di Lembah Klang. Ini pembohongan. Najib Razak, jangan bohong," katanya.

Azmin mengimbas kembali kejayaan kerajaan Selangor dan semua skim dan polisi kerajaan negeri yang dianggap berjaya oleh beliau.

Katanya, sejak pentadbiran beliau pada 2014, Selangor berupaya mencapai kemajuan ekonomi yang amat memberangsangkan.

"Sejak tahun 2014, hingga Feb 2018, hal ini membawa hasil RM 615, juta ringgit.

"Imperatif keadilan sosial terus terpakai. Hari ini Selangor kekal pemacu penyumbang utama ekonomi Malaysia," katanya.

Azmin turut berkata Selangor berjaya membatalkan projek Lebuh Raya Kidex yang dicadangkan kerajaan persekutuan dengan alasan ia membebankan rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai manifesto PH, tetapi mengangkat kejayaan Selangor itu sebagai jawapan kepada tuduhan Najib Razak semalam yang menganggap kerajaan negeri itu gagal.

"Saya berharap penjelasan panjang ini dapat menjelaskan tomahan Datuk Seri Najib ketika melawat Selangor, semalam," katanya.


Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mahu rakyat Malaysia memberi mandat kepada PH untuk membolehkan ia mengotakan janji yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

9:30pm: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mahu rakyat Malaysia memberi mandat kepada PH untuk membolehkan ia mengotakan janji yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan malam ini.

Beliau merumuskan lima perubahan yang akan dinikmati oleh rakyat Malaysia apabila semua janji dalam manifesto PH ini dapat dilaksanakan.

Lima perubahan itu adalah seperti berikut:

Pertama, daripada sebuah kerajaan yang membebankan rakyat kepada kerajaan yang mensejahterakan kehidupan rakyat.

Kedua, daripada kerajaan yang menggunakan kuasa untuk melindungi elit politik termasuk Perdana Menteri, Menteri dan kaum keluarga kepada kerajaan yang menggunakan kuasa berlandaskan prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ketiga, daripada kepimpinan kerajaan yang melesapkan hasil negara untuk kaum keluarga kepada kerajaan yang menjana kekayaan untuk diagihkan kepada rakyat dengan saksama.

Keempat, daripada kerajaan yang gagal menghormati konsep Persekutuan kepada kerajaan yang menghormati semua negeri.

Kelima, daripada kerajaan yang mengabaikan golongan minoriti kepada kerajaan yang inklusif dan prihatin kepada semua rakyat Malaysia.


Pemimpin Pakatan Harapan di atas pentas ketika bermulanya pelancaran manifesto bertemakan 'Membina Negara, Memenuhi Harapan.' – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

9.18pm: Presiden Amanah Mohamad Sabu tampil dengan bergaya berkata keempat parti komponen dalam PH telah meniti satu perjalanan jauh untuk hadir dalam satu konsensus yang mampu membawa "harapan" kepada rakyat.

Beliau yang hanya berucap pendek memberi penghargaan kepada Ketua Umum PH Anwar Ibrahim yang tidak putus asa menjalinkan hubungan antara parti-parti dan individu yang tidak dijangka mampu bekerjasama sebelum ini.

"Pembangkang makin kuat. Dulu ada tiga parti, sekarang dah ada empat parti,” katanya.

Beliau turut meluahkan keyakinan mengenai peluang baik untuk akhirnya menewaskan BN pada PRU14 nanti.

"Kita yakin Pakatan menang kecuali ditipu. Kalau kita menang pilihan raya, kita akan pulang ke rumah dengan bergaya," katanya, dan kemudian meletakkan mikrofon sebelum turun dari pentas dengan tepukan gemuruh lebih 2,000 hadirin yang hadir. 


PH telah meniti satu perjalanan jauh untuk hadir dalam satu konsensus yang mampu membawa 'harapan' kepada rakyat, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

9:10pm: Manifesto PH yang dilancarkan pada malam ini "bukan manifesto pembangkang," kata Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah.

"Ini adalah manifesto government in waiting (bakal kerajaan)," katanya dalam ucapan alu-aluannya membuka majlis.

Beliau menjelaskan pelancaran itu dibuat hari ini bersempena tarikh bersejarah ulang tahun PRU 2008 yang mengubah suasana politik Malaysia.

"Kita pilih hari ini kerana tarikh ini bersejarah… bermulanya kecundang Umno-Barisan Nasional.

"Malam ini kita menyambut ulang tahun ke-10 perubahan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Saifuddin menjelaskan manifesto yang dikemukakan oleh PH adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.

"Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang. Bulan sudah tentu tidak," kata Saifuddin, merujuk kepada PAS, yang tidak lagi bersama gabungan pembangkang itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa apabila jadi kerajaan di Putrajaya nanti, PH akan melaksanakan semua janji itu secara syura bersama semua pihak yang berkepentingan.

8:52pm: Naib Pengerusi Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus membacakan doa memohon keberkatan majlis.

8:50pm: Pengacara majlis mengingatkan hadirin Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara dalam 92 hari lagi.

8:36pm: Majlis dimulakan dengan nyanyian Negaraku diikuti lagu parti-parti gabungan PH bermula dengan lagu PKR, Arus Perjuangan Bangsa diikuti lagu rasmi DAP Berjuang Untuk Rakyat Malaysia sebelum diakhiri dengan lagu rasmi Parti Amanah Negara dan lagu Perjuangan Kita, lagu rasmi Bersatu.


Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pimpinan PH lain sebelum bermula acara rasmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

8.30pm: Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail memasuki dewan bersama pimpinan lain dan diumumkan oleh juruacara majlis sebagai "ketibaan bakal perdana menteri dan timbalan perdana menteri Malaysia." Dianggarkan lebih 1,000 hadirin terdiri daripada ahli parti dan aktivis NGO memenuhi hampir tiga perempat dewan.

Hadirin menyambut dengan laungan "Reformasi!"

8:15pm: Manifesto yang bakal dilancarkan sebentar lagi mengangkat tema "Membina Negara, Memenuhi Harapan," berdasarkan pada latar belakang pentas utama yang terletak di hadapan dewan.

8.00pm: Hadirin mula memasuki dewan sementara masih ramai lagi yang sedang mendaftar di hadapan dewan Tingkat 7 IDCC.

Pengerusi Majlis Syed Syah Syed Othman daripada PKR meminta hadirin segera memenuhi kira-kira 2,000 kerusi dalam dewan.

“Majlis akan bermula bila-bila masa sahaja," katanya. 


Meja pendaftaran di kiri dan kanan mengapit bunting yang tertera salah satu daripada manifesto Buku Harapan, iaitu 'Stabilkan Harga Petrol.' – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

7.45pm: Majlis pelancaran Manifesto PH dijadual dibuka dengan ucapan khas oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali pada pukul 8.30 malam.

Menurut atur cara majlis yang diedarkan kepada media, manifesto PH akan dilancarkan pada pukul 9.30 malam.

Majlis kemudian akan mendengar ucapan daripada Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga calon Timbalan Perdana Menteri PH diikuti ucapan Pengerusi PH yang juga calon Perdana Menteri gabungan itu, Dr Mahathir Mohamad.

Majlis dijadual berakhir jam 11 malam. – 8 Mac, 2018.


Seorang aktivis kelihatan kusyuk menyiapkan persediaan untuk majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2018.

Laporan The Malaysian Insight 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pakatan mahu ke Putrajaya untuk membina negara, memenuhi harapan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top