Latest News

Sunday 29 July 2018

500 pemimpin akar umbi Umno keluar parti


MACHANG - Seramai 500 pemimpin Umno tempatan di negeri ini termasuk bekas Adun Bukit Tuku, Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta, hari ini

Turut sama adalah bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai dan calon BN Parlimen Kuala Krai bagi PRU13, Tuan Aziz Tuan Mat.

Pengumuman tersebut dibuat di hadapan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Program Hijrah 2.0 di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Machang.

Mohd Zain dalam ucapannya berkata, tindakan tersebut adalah pilihan mereka sendiri tanpa melibatkan desakan mana-mana pihak demi memperjuangkan kepentingan rakyat.

Menurutnya, walaupun terlalu menyayangi Umno, dia dan rakan-rakan lain terpaksa membuat pilihan tersebut kerana dasar perjuangan Umno pada hari ini sudah jauh tersasar dan dipimpin oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Ramai lagi yang akan menurut jejak langkah kami. Di Rantau Panjang sahaja, tidak kurang 3,000 ahli Umno akan melakukan perkara yang sama dengan keluar parti dan berhijrah.

“Saya percaya Bersatu mampu mengambil alih tugas dan memperjuangkan nasib rakyat sekali gus menyuburkan semangat perjuangan sebenar bagi membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Turut sama mengumumkan keluar Umno, Muhammad Zul Apis Baharum atau lebih dikenali sebagai Mat Tere.

Kemunculan lelaki orang kurang upaya tersebut menarik perhatian ramai apabila bertindak membuat pengumuman keluar parti di depan khalayak.

Sementara itu, Mukhriz berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan ahli baharu dan percaya, hanya mereka yang ikhlas dalam perjuangan akan berbuat demikian.

Menurutnya, Bersatu adalah pewaris perjuangan Umno yang asal dan subur dengan semangat perjuangan yang tinggi tanpa melibatkan apa-apa kepentingan peribadi.

Katanya, penghijrahan tersebut bukan melibatkan mereka yang kecewa atau bermasalah dalam Umno atau parti lain tetapi ahli dan pemimpin yang baru tersedar dan mula bangkit dalam perjuangan masing-masing.


Dipetik dari Sinar Harian
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 500 pemimpin akar umbi Umno keluar parti Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top