Latest News

Sunday 12 August 2018

PH bentang prestasi 100 hari di Kedah



ALOR SETAR - Penantian rakyat Kedah untuk mengetahui perkembangan Tawaran 100 Hari Pakatan Harapan (PH) akan terjawab pada Jumaat nanti.

Exco Kerja Raya, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, Zamri Yusuf berkata, prestasi kerja PH selama 100 hari pentadbiran akan dibentangkan dalam Ceramah Malam Ambang 100 Hari Harapan.

Kata beliau, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukriz Mahathir sendiri akan membentangkan perkembangan janji dalam tempoh 100 hari itu dalam acara kemuncak bersempena Ekspo Suka Menanti 2018 itu.

"Beliau akan membentangkan satu persatu prestasi kerajaan Kedah, komitmen dan hasil kerja sepanjang 100 hari pentadbiran PH di negeri ini dalam sesi ceramah bermula jam 9.30 malam pada 17 Ogos nanti.

"Malah, beliau juga akan membentangkan perancangan untuk tempoh berikutnya untuk enam bulan hingga setahun," katanya dalam sidang media Ekspo Suka Menanti 2018 - Harapan bersama Makmurkan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, tetamu istimewa, Ketua Umum Harapan merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dibawakan khas dalam Ceramah Malam Ambang 100 Hari Harapan itu.

Ceramah Malam Ambang 100 Hari Harapan berkenaan dijangka menjadi tarikan utama Ekspo Suka Menanti 2018 yang diadakan selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Ogos depan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

"Melalui ekspo ini, kami berharap dapat membuktikan komitmen kerjaan baru dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat, sekaligus mengeratkan hubungan antara agensi terlibat," katanya.

Zamri berkata, ekspo itu turut diadakan demi menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan kepada orang ramai berkaitan sains, inovasi, teknologi tinggi, kerja raya, bekalan air, sumber air dan tenaga.

Antara aktiviti termasuklah, pameran air dan kehidupan,pertandingan sepak raga tuju, Master Chef Dapur Ummi, Penalty Challenge, Food Truck dan solat Isyak serta solat hajat berjemaah.

Menurutnya, aktiviti menarik dari Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula seawal 10 pagi hingga 6 petang turut menanti pengunjung ekspo tersebut.

Katanya, pihaknya mensasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dalam ekspo disertai,Syarikat Air Darul Aman (Sada), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), JKR, TNB, JPS, MSN, Pertubuhan Gema Kedah (GEMA) dan Pusat STEM Kedah itu.

Laporan Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: PH bentang prestasi 100 hari di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top