Latest News

Thursday, 11 October 2018

Kerajaan Negeri Akan Salur Bantuan Kepada Mangsa Banjir - Mukhriz Mahathir


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di setiap daerah di negeri ini yang melanda sejak beberapa hari lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bantuan berbentuk sumbangan wang itu akan disalurkan dalam masa terdekat.

"Hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan empangan air bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) penuh dan air tersebut terpaksa dilepaskan dan ia memberi kesan kepada penduduk terutamanya di kawasan kampung.


"Kerajaan negeri akan salurkan bantuan dan ada juga agensi lain yang telah turun membantu menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan keperluan harian kepada mangsa yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah yang menempatkan 204 mangsa daripada 66 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.

Mukhriz berkata semua agensi yang terlibat berada dalam siap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan sekiranya keadaan banjir menjadi lebih buruk di negeri itu.

"Pusat informasi yang beroperasi 24 jam telah dibuka bagi menerima semua laporan berkaitan banjir tetapi kadang-kadang ada juga maklumat yang tidak sampai kepada kita. Jadi penduduk yang terjejas banjir boleh laporkan kepada ahli majlis daerah atau penghulu kampung untuk disampaikan kepada kita," katanya.

Sementara itu mangsa banjir, Mahani Mahadi, 31, dari Kampung Alor Senjaya yang sedang berpantang berkata dia bersama suami dan lima anak berumur 16 hari hingga sembilan tahun datang ke pusat pemindahan pada 9 malam tadi.

"Air naik sampai paras betis jadi kami ambil keputusan ke pusat pemindahan kerana bimbang keselamatan anak-anak, tambahan saya tengah berpantang dengan anak kelima Saiful Aryan Danish Saiful Danial baru berusia 16 hari.

"Harap hari ini air surut dan kami boleh pulang ke rumah kerana keadaan di sini tidak berapa selesa tambah apabila hendak mandikan anak yang masih kecil," katanya.

Sebanyak 10 PPS dibuka di daerah Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu yang menempatkan 480 mangsa setakat 12 tengah hari ini. Banjir kilat itu disebabkan hujan lebat yang melanda sejak Isnin. - Bernama


Next
This is the most recent post.
Older Post
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Negeri Akan Salur Bantuan Kepada Mangsa Banjir - Mukhriz Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top