Latest News

Sunday 14 October 2018

Tak mungkin Dr Mahathir jadi PM sampai umur 100 tahun - Mukhriz



ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi tempoh untuk mentadbir dan membersihkan sistem kerajaan terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Perdana Menteri ketika ini, mempunyai banyak tugas penting perlu diselesaikan segera demi memastikan masa depan negara dan rakyat terjamin.

Katanya, berikutan itu semua pihak harus bersabar dalam memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar mengikut masa yang sesuai.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan, maka sudah pastinya ruang yang seluasnya perlu diberikan kepada Dr Mahathir sebelum kerajaan yang bebas masalah dapat diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia mungkin memakan masa dua tahun, atau kurang ataupun lebih. Saya tidak tahu ketetapan masa yang sesuai dan semua pihak perlulah bersabar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Anwar yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam, disebut bakal menggantikan Dr Mahathir dalam masa dua tahun, malah Perdana Menteri itu sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa jangka masa untuk peralihan berkenaan adalah fleksibel.

Bagaimanapun, Anwar ada memaklumkan perjanjian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak menetapkan had Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, walaupun perjanjian itu menyebut Anwar adalah Perdana Menteri kelapan.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, Dr Mahathir bukan menjadi Perdana Menteri untuk berseronok, tetapi demi memulihkan kerajaan sedia ada yang mewarisi banyak kepincangan.

“Beliau sendiri meluahkan apabila menjadi Perdana Menteri selepas Tun Hussein Onn, tidak banyak masalah dihadapinya kerana perkhidmatan awam ketika itu berjalan cantik dan yang bertukar hanya Perdana Menteri.

“Beliau mengambil alih pentadbiran yang matang dan berjalan elok, tetapi kali ini beliau menerima kerajaan kleptokrasi yang sudah pastinya beliau perlu melihat siapa yang dapat bekerjasama, siapa yang boleh diyakini dan dipercayai dalam usaha membersihkan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz sebagai anak tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya melihat Dr Mahathir yang kelihatan masih sihat dan kuat oleh rakyat sedangkan hakikat sebenar hanya diketahui ahli keluarganya sahaja.

“Dr Mahathir selalu mengingatkan dirinya sudah berusia 93 tahun dan jika tempoh peralihan selepas dua tahun, ia bermaksud beliau akan bersara pada usia 95 tahun. Dan jika mahu tunggu sepenggal, usianya 98 tahun... ia hampir 100 tahun.

“Saya akui, kita (rakyat) bergantung harap kepada beliau dan beliau sendiri tahu dirinya sudah lanjut usia. Melihat keadaan itu, kita semua harus bantu Dr Mahathir menjayakan hasrat mengukuh dan mempersiapkan kerajaan yang mempunyai urus tadbir yang baik sebelum diserahkan kepada kepemimpinan baharu,” katanya.




  Sumber : Berita Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tak mungkin Dr Mahathir jadi PM sampai umur 100 tahun - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top