Latest News

Sunday 25 November 2018

DELEGASI MB KEDAH KE BANGKOK TINJAU PELUANG KERJASAMA EKONOMI DENGAN THAILAND





KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN KE BANGKOK, THAILAND 26 - 28 NOVEMBER 2018


“ MENJALIN HUBUNGAN DEMI KEMAKMURAN BERSAMA ”


1. Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir akan melakukan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand selama tiga hari bermula Isnin, 26 November 2018 bagi memperkukuhkan hubungan serta meninjau
peluang pelaburan dan perdagangan dua hala antara Kedah dan Thailand.

2. Delegasi Kerajaan Negeri turut dianggotai Yang Berhormat Tan Kok Yew, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri dan Yang Berhormat Ir. Zamri Yusof, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Negeri.

3. Selain itu, Haji Abdul Rahman Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Dr Muhammad Mahadi Mohamad, Ketua
Pegawai Eksekutif Menteri Besar Kedah Incorporated dan Encik Muhamad Mahazi
Ibrahim, Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri.

4. Lawatan kerja ini berlangsung dua minggu selepas YAB Menteri Besar, semasa pembentangan Bajet Kedah 2019, menyatakan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk meneroka dan memperkasa potensi ekonomi Negeri Kedah dengan melebarkan jaringan perdagangan dan pelaburan, khususnya dengan menarik modal asing ke kawasan perindustrian baharu Kota Perdana di Special Border Economic Zone dan Kedah Science and Technology Park di Bukit Kayu Hitam.

5. Lawatan ini menyusuli lawatan rasmi Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok sebulan yang lalu, yang telah
membangkitkan minat industri, pelabur dan Kerajaan Thailand untuk meningkatkan
usahasama dengan Malaysia, terutamanya bersama negeri-negeri sempadan, khususnya Kedah.

6. Selain negeri-negeri jiran, Kedah melihat prospek kerjasama ekonomi yang luas dengan Thailand, khususnya di daerah utara negeri ini dan Wilayah Selatan Thailand yang sedang membangun dengan pesat.

7. Kerajaan Negeri Kedah berminat menerokai pelbagai bidang dengan Thailand, terutamanya dalam perdagangan, jana tenaga, pelaburan industri
berteknologi tinggi dan pertanian.

8. Semasa di Bangkok, YAB Menteri Besar dan rombongan dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Thailand, Dr Siri Jiraponghan. Turut dijadualkan adalah pertemuan dengan Encik Prachai Leoparat, Ketua Pegawai Eksekutif PTI Polene Power; Encik Kun Aswin, Ketua Pegawai Eksekutif BJC / Big C, rangkaian peruncit terbesar di Thailand.

9. Selain itu, delegasi Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand sebelum ke Rayong untuk berbincang dengan pengurusan kanan PTT Global Chemical, syarikat petroleum, tenaga dan
petro-kimia.

10. Hasil lawatan kerja ini diharap dapat membawa kemakmuran kepada rakyat Negeri Kedah dan Thailand melalui perkongsian sumber, modal, teknologi dan tenaga kerja.

Pejabat Menteri Besar Kedah
Wisma Darul Aman
Alor Setar, Kedah
Tarikh : 25 November 2018
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: DELEGASI MB KEDAH KE BANGKOK TINJAU PELUANG KERJASAMA EKONOMI DENGAN THAILAND Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top