Latest News

Monday 4 March 2019

Bina lebuh raya Perak-Kedah bantu majukan Baling, Sik: Mukhriz


KOTA BHARU: Kerajaan Kedah mencadangkan pembinaan lebuh raya menghubungkan negeri itu dan Perak tanpa melalui Pulau Pinang, yang dijangka memberi impak besar terhadap sosio-ekonomi penduduk di pedalaman terutama di Baling.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata cadangan berkenaan akan dibawa kepada Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dan berharap ia dapat dilaksanakan.

“Orang Perak mahu ke Kedah biasanya akan melalui Pulau Pinang dahulu. Jadi, kami rasa tidak sepatutnya begitu dan perlu ada laluan kedua yang membabitkan kawasan pedalaman. Saya fikir itu akan membuka ruang pengangkutan kepada kedua-dua negeri.

“Bagi kawasan Baling dan Sik, tumpuan utama yang perlu diberikan adalah infrastruktur terlebih dahulu kerana kawasan berkenaan berada di pedalaman. Dengan adanya kemudahan berkenaan, ia sekali gus mampu memberi impak besar kepada sosio ekonomi.

“Malah, kita juga yakin rakyat mahukan perubahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-49 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Majlis pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mukhriz turut dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau mengulas laporan BH mengenai nasib penduduk Baling tidak banyak berubah sejak peristiwa Demonstrasi Baling 1974, malah majoriti mereka yang bekerja sebagai penoreh getah masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Kehidupan bagi lebih 133,000 penduduk daerah yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Alor Setar itu, masih boleh diibaratkan umpama ‘kais pagi makan pagi’, malah keadaan mereka lebih teruk setiap kali musim hujan.

Susulan laporan itu, kelmarin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata Baling antara daerah di Kedah yang bakal menyaksikan perubahan menerusi pelancaran program Desa Harapan, bulan depan.

Beliau dilaporkan berkata, setiap daerah mempunyai keunikan tersendiri yang berupaya digunakan sebagai penjana pendapatan, sekali gus berupaya mengubah keadaan kehidupan penduduk.

Justeru, katanya, antara gerak kerja awal yang akan dilaksanakan ialah dengan menyiapkan profil kawasan di Baling bagi mengenal pasti teras ‘kekuatannya’, sama ada membabitkan industri pelancongan, perusahaan hiliran dan sebagainya.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, kerajaan negeri prihatin berkaitan kawasan luar bandar termasuk di Baling.

“Selain kemudahan infrastruktur, kerajaan negeri juga bercadang mengezonkan kawasan berkenaan mengikut keperluan dan kelebihan, berbanding kawasan lain.

“Sektor pertanian di Baling dan Sik kita lihat menjadi sumber pendapatan mereka dan cara yang terbaik kita memastikan dengan kaedah moden di mana rakyat mendapat manfaat,” katanya.

Mengulas cadangan Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Russayani Ismail yang mahu Baling jadi pusat pertanian, Mukhriz berkata kerajaan negeri menyokong cadangan berkenaan.

Dalam masa yang sama, katanya, kemudahan pengangkutan perlu juga disegerakan agar ia memberi impak maksimum terhadap ekonomi masyarakat setempat.

"Kami ada bercadang untuk membina lapangan terbang kargo dan ini tidak jauh dari Baling. Saya yakin jika jalan (dan) lapangan itu (dapat dibina) maka kawasan seperti Baling dan Sik yang berada di kawasan pedalaman ini akan terbuka," katanya.

Berita Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bina lebuh raya Perak-Kedah bantu majukan Baling, Sik: Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top