Latest News

Sunday 13 October 2019

KEDAH SAMBUT BAIK LANGKAH PENGUKUHAN TVET



ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyambut baik pembentangan Bajet 2020 oleh kerajaan Persekutuan kelmarin yang turut memberi tumpuan terhadap pengukuhan usaha bagi mengarus perdanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu penting bagi memastikan kalangan anak tempatan mampu mengisi peluang-peluang pekerjaan ketika kerajaan negeri kian rancak menarik kedatangan pelabur dari dalam dan luar negara.

"Kerajaan negeri sangat berminat apabila disebutkan ada peruntukan tambahan khusus untuk TVET kerana ia amat diperlukan bagi mempersiapkan warga negara ini, untuk mengisi peluang pekerjaan disediakan kerajaan.

"Kita tak mahu lagi bergantung kepada pekerja asing dengan langkah ini saya percaya turut akan membantu menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Sebagai langkah susulan, kita akan mengadakan program padanan antara para siswazah dengan peluang pekerjaan yang tersedia nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pasca Bajet 2020 anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (Ecofi) dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) di Hotel TH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan pembentangan bajet itu mampu membantu pertumbuhan negara.

Menurutnya, pendekatan diambil sangat baik biar pun kerajaan Persekutuan terpaksa menghadapi cabaran hutang amat besar berjumlah RM1.1 trilion.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan khusus bagi menambah infrastruktur diperlukan untuk Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam.

"Kita lihat penekanan diberi kepada usaha menggalakkan pelaburan asing dan domestik.

"Sebagai sebuah negara pedagang, kita mesti berusaha meningkatkan lebih banyak produk dan perkhidmatan eksport kerana ini akan memberikan hasil termasuk dari sudut pertukaran mata wang. Kerajaan negeri menyambut baik hasrat itu dengan harapan supaya lebih banyak taman industri dapat diwujudkan, hasil bantuan serta peruntukan kerajaan Pusat bagi menarik kedatangan pelabur tempatan dan asing," katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri turut menyambut baik langkah diambil kerajaan bagi memperkasakan golongan nelayan dan petani.

"Bantuan diberikan kerajaan melalui Bajet 2020 bukan sekadar memberi wang tunai untuk digunakan begitu saja malah turut merangkumi usaha bagi memperbaiki kehidupan mereka. Golongan ini diberi lebih peluang untuk menerokai sumber baharu dan tidak terlalu bergantung kepada pendekatan konvensional.

"Sebagai contoh di Langkawi kerajaan Persekutuan berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdananya menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta. Bajet untuk mempromosikan minyak sawit kita ke peringkat antarabangsa turut disediakan dan semua ini saya fikir sedikit sebanyak mengangkat martabat petani, nelayan serta peladang," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KEDAH SAMBUT BAIK LANGKAH PENGUKUHAN TVET Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top