Latest News

Tuesday 16 December 2014

Basikal Terbang di Pusat Sains Utara?


ALOR SETAR - Bagi ibu bapa yang masih belum memiliki perancangan musim cuti sekolah, Pusat Sains Negara cawangan Wilayah Utara (PSNCWU), di sini, adalah pilihan tepat.

PSNCWU akan membawa pengunjung mengembara ke alam sains melalui seksyen tenaga, Matematik, haba, bunyi, elektrik, cahaya dan bencana alam.

Tidak ketinggalan, pengunjung berpeluang mencuba sendiri adegan basikal terbang di udara bak filem fiksyen sains terkenal 1982 arahan Steven Speilberg, Extra Terrestrial (ET)

Aneh, tetapi benar, pengunjung juga dapat merasai gegaran gempa bumi di rumah gempa, manakala imej objek bergerak di depan mata di teater 3D.


150 bahan pameran

Jurucakap PSNCWU, Mardziah Marzuki berkata, pusat sains berkenaan mempamerkan kira-kira 150 bahan pameran untuk dicuba pengunjung.

“Antara bahan pameran disediakan termasuklah terowong mengujakan, jam matahari, gelombang bunyi, lubang bijirin dan taman sains oryza.

“Setiap bahan pameran ataupun mainan memiliki kelebihan tersendiri, yang mana ia memberi pendedahan awal mengenai konsep sains dalam kehidupan harian,” katanya.

Malah, katanya, pihak PSNCWU turut menyediakan demonstrasi sains unik, seperti burning hand bersama pengunjung pada jam 12 tengah hari dan 3 petang.

Mardziah berkata, pengunjung juga diberi kesempatan bermalam di Pusat Sains untuk mencerap bintang melalui program berkumpulan, seperti kem sains.

Malah, katanya, beberapa kemudahan, seperti perpustakaan, makmal sains, auditorium, surau, kafeteria dan tandas disediakan untuk keselesaan pengunjung.


Galak fikiran kreatif

Pengunjung, Siti Rodhiyah Sapie, 30-an, berkata, dia sengaja membawa empat anaknya untuk melawat Pusat Sains, sekali gus mencuba bahan pameran.

“Malah, anak sulung saya, Adam Ikhmal Ahmad Faizal, 10, tidak melepaskan peluang mencuba basikal kabel pada satu sudut disediakan,” katanya.

Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat Sains, namun dia menyifatkan ia memberi manfaat kepada anaknya.

Menurutnya, bahan pameran disediakan bagus kerana menggalakkan kanak-kanak meneroka dan berfikir lebih kreatif.

Tiada bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung untuk melawati ruang pameran.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Basikal Terbang di Pusat Sains Utara? Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top