Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Aminuddin Omar berkata penganjuran kali keempat jelajah sahur sempena Ramadan itu merupakan inisiatif golongan belia di Kedah untuk mengadakan program yang bersifat positif.
"Edaran juadah sahur ini disampaikan kepada anggota keselamatan yang bertugas di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Ibu Pejabat Daerah Kota Setar, Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Balai Polis Trafik IPD Kota Setar dan Hospital Sultanah Bahiyah.
"Juadah sahur yang berbentuk nasi, air, kurma dan makanan ringan ini dibeli hasil kutipan dana yang dikumpulkan oleh 30 kelab kereta yang berada di bawah Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, lebih 200 orang yang menaiki 50 kereta pelbagai jenis mengikuti jelajah sahur selama empat jam yang berakhir di hadapan Masjid Zahir.
Aminuddin berkata program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota keselamatan, petugas awam, pemimpin masyarakat dan golongan belia selain dapat menyemarakkan semangat golongan belia yang positif.
"Program ini menjadi indikasi bahawa bukan semua golongan belia bermasalah tapi ada kumpulan yang boleh menggerakkan pertubuhan ke arah hidup yang positif di kalangan belia," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah Abdul Rahman Ahmad berkata ini merupakan satu daripada program tahunan yang dijalankan oleh kelab itu sejak ia ditubuhkan pada 2012.
"Sehingga kini kami mempunyai lebih 5,000 ahli dalam kelab dan selain jelajah sahur, kami turut mengadakan program lain seperti majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment