Latest News

Friday 12 June 2015

Ketum Hadapi Masa Hadapan Tidak Menentu


Sejak berdekad lamanya ketum menghulurkan jasa kepada masyarakat terutama di kawasan desa malah ada yang menyifatkan pokoknya sebagai klinik rimba.

Daunnya yang subur menghijau sering menjadi sandaran sebagai ubatan tradisional terutama bagi merawat cirit-birit, demam dan batuk.

Tumbuhan yang turut dikenali sebagai "biak" itu juga dikatakan berkhasiat bagi merawat penyakit cacing, meningkatkan selera makan dan menambahkan tenaga.

Setiap kali kesakitan melanda, para penduduk sanggup meredah hutan meskipun di tengah malam untuk mendapatkan daun ketum sebagai ubat.

Daun ketum boleh dikunyah sebagai satu daripada kaedah rawatan tetapi kerap kali direbus dan air rebusan yang kelat itu diminum pesakit.

Ketaksuban kepada ketum menyebabkan pokok itu tidak lagi dibiarkan menyendiri di tengah hutan sebaliknya benihnya mula dicambah di pinggir-pinggir rumah atau kawasan lapang.

KETUM MASIH BERTAHAN

Meskipun sektor perkhidmatan kesihatan moden yang berkembang pesat kian menghilangkan peranan dukun dan bomoh namun ketum masih kekal bertunjang malah terus popular.

Ketum yang suatu ketika dahulu menjadi penawar dan penyembuh penyakit kini berubah peranannya hingga disalah guna sebagai bahan penagihan yang memudaratkan kesihatan.

Popularitinya turut meningkat apabila ada pihak yang mencipta lagu khas untuk ketum yang kemudiannya disebarkan melalui media sosial sehingga menjadi siulan golongan remaja.

Penulis mengesan beberapa lagu terutama melalui youtube yang menceritakan kisah air rebusan ketum dikenali sebagai "cekoroi" selepas diadun dengan pelbagai bahan lain.

Seorang penduduk, Liah Saad, 74, dari Pendang, Kedah berkata, ketum telah menjadi mangsa kerakusan manusia dan diketengahkan secara tidak bermoral.

"Zaman dahulu ketum direbus untuk menyembuh orang yang sakit tapi kini ketum direbus untuk menyakitkan orang yang sihat," katanya yang mendakwa pernah bergantung kepada ketum.

KETUM DIKOMERSILKAN SECARA HARAM

Daun ketum kini dikomersialkan secara haram oleh pihak tertentu bagi mengaut keutungan mudah tanpa memikirkan kesan buruk terhadap tubuh manusia.

Mereka menggunakan periuk besar untuk merebus daun-daun ketum dalam kuantiti yang besar dan dicampurkan dengan pelbagai bahan yang tidak masuk akal seperti serbuk lingkaran ubat nyamuk.

Banyak yang mula ketagih dengan air rebusan atau jus ketum pelbagai perisa itu sehingga ada yang menganggap hidup tidak bermakna tanpanya.

Gejala itu membimbangkan banyak pihak termasuk Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Wira Mohd Johari Baharum yang mahu penyalahgunaan daun ketum diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 berbanding Akta Racun 1952 yang hukumannya ringan.

Gejala penagihan ketum kini menular kepada para pelajar malah ada ibu bapa yang mengaku tanpa ketum anak mereka tidak boleh belajar dengan sempurna disebabkan ketagihannya.

Mohd Johari, yang juga anggota parlimen Kubang Pasu, mendakwa kononnya jus ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia dan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana mengandungi "mitraginin" yang tahap ketagihannya sama teruk dengan dadah jenis morfin.

KETUM SAMA BAHAYA DENGAN DADAH

Bahaya penyalahgunaan ketum dikatakan setanding dengan pengambilan dadah dan ia tidak seharusnya dipandang remeh oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daun ketum hanya boleh diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 jika terbukti mempunyai unsur dadah yng menyebabkan penagihan berulang.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti laporan daripada Kementerian Kesihatan dan melihat keperluan undang-undang berkaitan dipinda bagi memasukkan ketum di bawah akta itu.

Negeri-negeri di utara Semenanjung dikatakan lokasi popular dengan ketum malah kebimbangan terhadap gejala penyalahgunaannya menyebabkan ada negeri yang mula mengambil tindakan.

Antaranya Kerajaan Negeri Kedah yang telah memberi amaran merampas tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaannya.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata seksyen dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh merampas tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan ladang ketum.

Selain itu Jawatankuasa Fatwa Perlis pula mengharamkan daun ketum dan produknya kerana didapati memudaratkan pengguna.

Keputusan itu dibuat pada 2013 setelah mendapati penyalahgunaan ketum memudaratkan manusia terutama generasi muda termasuk golongan pelajar.

ISU KETUM DIBAWA KE PARLIMEN

Pada April lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014 di Dewan Rakyat yang antara lain untuk menyediakan takrifan baharu bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya.

Cadangan pindaan itu juga meliputi sekatan pengimportan, pengeksportan, pemilikan, penanaman, perusahaan ketum dan mengadakan peruntukan kuasa untuk mengawal selia penghasilan dan urusan berkenaan ketum.

Di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand termasuk Perlis, kegiatan penyeludupan ketum ke negara jiran itu turut berlaku namun kebanyakan kes berjaya dipatahkan.

Antara faktor penyeludupan berpunca daripada harga daun ketum yang lebih tinggi di Thailand dan negara gajah putih itu telah lama mengharamkan penanaman, penjualan dan penggunaannya.

Hukuman ringan di bawah Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan hanya membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya menyebabkan penyeludup tidak bimbang dengan kegiatan mereka.

MASA DEPAN KETUM TIDAK MENENTU

Selain itu rampasan demi rampasan jus ketum dilakukan di beberapa lokasi oleh pihak berkuasa namun keuntungan daripada kegiatan itu menyebabkan kegiatan itu sukar dihapuskan.

Sesungguhnya, sikap rakus manusia mengkormersialkan ketum secara tidak bermoral akan menyebabkan tumbuhan itu bakal menghadapi kemungkinan tersingkir daripada senarai perubatan tradisional.

Yang pasti, jika rang undang-undang itu diluluskan, tanaman itu bakal dimusnahkan dan ramai yang akan rindukannya terutama yang terlalu bergantung kepada klinik rimba itu.

Apa pun hakikatnya ketum sebenarnya telah hadir dalam dunia perubatan tradisional dan pernah terlakar sebagai alternatif kepada perubatan moden.

Persoalannya apakah ketum bakal mengucapkan selamat tinggal kepada para pencinta dan peminatnya?

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ketum Hadapi Masa Hadapan Tidak Menentu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top