Sebelum itu Dato Seri Mukhriz mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Shahidan. Turut Serta dalam majlis ini adalah Datuk Abu Hasan Sarif yang juga Adun Kota Seputeh.
Allahyarham Shahidan sebelum ini tidak dapat dikesan bersama seorang lagi jemaah haji Malaysia iaitu Allahyarham Abdul Habib Lahman,68 dari Sik Kedah namun pada 20 September lalu tabung Haji mengesahkan mereka berdua terkorban dan proses pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga masing-masing.
Laporan Akhbar mengenai kedua-dua jenazah ini
Dua jemaah Malaysia yang hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas, disahkan turut terkorban, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Proses pengecaman jenazah dua jemaah berkenaan - Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah, dilakukan waris dan anggota keluarga mangsa di rumah mayat Muaissem di Mina.
"Pada 10 malam tadi, waktu Arab Saudi (3 pagi tadi waktu Malaysia), pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan kepada Tabung Haji berkenaan penemuan 2 lagi mayat tragedi kren berkenaan.
"Pihak perubatan TH bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk membuat pengecaman dan pengesahan awal, sebelum membawa waris jemaah berkenaan untuk pengesahan," katanya kepada pemberita di Mekah.
Makluman lengkap berkenaan tempat dan waktu penemuan mayat belum dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.
"Jenazah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang masih ada pada jenazah khususnya gelang, lencana dan barangan peribadi mangsa," katanya.
Waris Shahidan iaitu abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim serta Mohamad Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di Mekah pada Jumaat bagi melakukan ujian padanan DNA dengan jenazah yang terdapat di rumah mayat Muaissem.
Dr Asyraf Wajdi berkata ketika ini pihak TH sedang menumpukan kepada usaha mempercepatkan proses pengurusan pengebumian jenazah bersama pihak Muassasah Asia Tenggara.
Sebelum ini, 5 jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku dan Zainun Taha, 69, berasal dari Ampang, Selangor.
Dalam kejadian 5 petang pada 11 September lepas itu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren berkenaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat Asar.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran. – Bernama, 21 September, 2015.
0 comments:
Post a Comment