Pengurus LTSAH, Puteh Ramli berkata, penutupan landasan di LTSAH mengakibatkan penangguhan beberapa penerbangan dalam negeri oleh syarikat penerbangan.
"Bagaimanapun operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim kini, berjalan seperti biasa. Kami bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memantau keadaan jerebu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, penutupan landasan LTSAH sehingga 10.40 pagi itu, telah mengakibatkan tiga atau empat penerbangan dalam negeri terpaksa ditangguhkan sehingga ia dapat beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, beliau meminta penumpang agar sentiasa berhubung dengan syarikat penerbangan untuk mengemas kini jadual penerbangan mereka.
Jurucakap Malindo Air di LTSAH ketika dihubungi berkata, empat penerbangan Alor Setar ke Subang mengalami sedikit kelewatan akibat penutupan landasan LTSAH berkenaan.
Sementara itu, Ketua Operasi Jeti Kuala Kedah, Abdul Manaf Zainol berkata, operasi feri dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Perjalanan pertama feri ke pulau peranginan pada 7.15 pagi tadi berjalan dengan lancar.
"Sehingga 10 pagi tadi, empat daripada 10 perjalanan telah dilakukan dan feri terakhir adalah pada 7 malam. Semua feri dilengkapi dengan sistem navigasi bagi memudahkan perjalanan feri dengan selamat," katanya.
Operasi feri akan hanya ditangguhkan sekiranya mendapat arahan dari Jabatan Laut Malaysia, katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment