Latest News

Thursday, 17 March 2016

Blok Ketiga Pakatan Untuk Selamatkan Najib?



Apa sebenarnya permainan diantara Pas dan Ikatan ni?

Dalam mana-mana politik dunia, yang terbaik selalu kita dengar ialah sistem dua parti yang boleh bertukar ganti iaitu satu pihak menjadi pemerintah dan satu pihak lagi menjadi pembangkang.

Lebih baik lagi jika pemerintah dan pembangkang itu sama-sama kuat, fleksibel dan seimbang yang akhirnya menjadikan kedua-dua parti berebut-rebut menawarkan perkhidmatan dan program yang terbaik untuk rakyat.

Mana-mana parti yang diberi peluang untuk berkuasa, mereka sentiasa bersedia untuk dipintas oleh pesaingnya dalam satu persaingan yang akhirnya akan menguntungkan rakyat.

Dengan ini, parti yang berkuasa akan cuba sedaya upaya mempertahankan kuasanya melalui khidmat dan program yang dapat memberi kepuasan maksimum kepada rakyat.

Yang gagal akan memperbaiki kelemahan dan kesalahan mereka agar di lain-lain masa dapat diterima semula. Yang pernah berkuasa tetapi kemudian ditewaskan pula akan dapat belajar erti kelemahan dan cuba memperbaikinya.

Dalam sesebuah negara, tidak ada peranan ketiga yang boleh ditawarkan oleh mana-mana parti. Yang ada sama ada menjadi pemerintah atau pembangkang saja.

Blok ketiga selalunya menjadi picisan, kacau daun atau untuk mengambil kesempatan semata-mata. Blok ketiga bukan sebuah perjuangan sebenarnya.

Oleh itu, hasrat Pas menubuhkan blok ketiga ini agak menghairankan dan menimbulkan lebih kekeliruan.

Jika Pas berhasrat mahukan perubahan dalam sistem dan institusi pentadbiran negara yang dilihat tidak betul dalam kerajaan sekarang, pilihan mereka seharusnya ialah bersama-sama dengan blok pembangkang sedia ada.

Dengan itu, jika menang dan berjaya mengambil alih kuasa, Pas dapat sama-sama menyumbang apa yang diperjuangkan itu.

Tetapi kenapa perlu blok ketiga? Apakah blok ini jenis malu-malu tapi mahu?

Kiranya bersetuju dan ingin berpasangan dengan kerajaan sedia ada, Pas tidak harus malu-malu untuk mengaku dan berterus-terang untuk menyertai parti pemerintah.

Oleh kerana BN dan PH boleh dikata hampir seimbang kekuatannya, kewujudan blok ketiga Pas ini tidak ternampak ada kebaikannya dari segi mewujudkan perubahan, melainkan memberi kelebihan untuk kekalnya kerajaan sedia ada untuk terus berkuasa atau melompat kepada sesiapa yang menang selepas pilihanraya.

Walaupun Pas turut mengatakan mereka adalah juga pembangkang yang bukan saja ingin menumbangkan Najib, malah mahu merubah sistem dalam negara, tetapi perbuatan menubuhkan blok baharu ini seratus peratus bertentangan dengan matlamat tersebut.

Dengan pembangkang lagi berpecah, maka pemerintahlah yang dapat untungnya.

Mungkinkah ini yang menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pantas menyambut baik penubuhan blok ketiga itu sebagai suatu kematangan dan mewarnai lagi dunia politik negara?
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Blok Ketiga Pakatan Untuk Selamatkan Najib? Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top