Latest News

Saturday, 2 April 2016

Bantah GST dan Himpunan akan buat setiap minggu, hingga @NajibRazak Letak Jawatan!


Siang tadi, bantahan keadaan cuaca yang panas terik tidak menghalang lebih daripada 1,500 peserta daripada membanjiri jalan-jalan dari kompleks beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan membantah Cukai dan Perkhidmatan (GST).

Peserta juga menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Suasana yang seolah-olah suatu karnival itu menyaksikan peserta datang dalam baju -T hitam sambil membawa plakad yang mempamerkan bantahan mereka terhadap GST dan Najib.

Gerai jualan barangan anti-GST dan 'Undur Najib' berderetan sepanjang jalan dengan tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk menjual air botol dan makanan ringan.

Berbeza dengan perhimpunan sebelum ini yang bergema dengan slogan 'Bebas Anwar' dan 'Reformasi, kali ini peserta melaungkan 'Mansuh GST' dan juga 'Najib pui!'.

Ketika ini, peserta perhimpunan sedang berlegar-legar di hadapan Dataran Merdeka kerana akses dan laluan mereka telah disekat oleh polis.



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut hadir pada perhimpunan ini.

Ketibaan beliau telah diumumkan oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu yang membuat ucapannya di atas sebuah lori kecil.

Oleh kerana ribuan yang berhimpun, Mohamad menggesa peserta perhimpunan dan media untuk memberi laluan kepada pemimpin berusia 90 tahun itu.

Mahathir kemudiannya mengambil tempatnya di pentas lori dan berkata beliau sendiri telah meminta Najib untuk tidak melaksanakan GST tetapi beliau meneruskan juga rancangan itu kerana mahu "menyelesaikan hutangnya".

“Sebab itu kita mesti jatuhkan Najib, dia lah punca masalah yang dihadapi kita semua sekarang," katanya.

Sambil mengambil contoh 6,000 kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) yang diberhentikan dan 1,000 pekerja Petronas mengalami nasib sama, Mahathir berkata, seolah-olah adalah begitu mudah untuk memecat mereka.

"Saya juga kena buang juga," katanya merujuk kepada pemecatan beliau sebagai penasihat Petronas, sambil disambut gelak ketawa dari orang ramai.

Sementara itu, Mahathir berkata beliau menghargai hakikat bagaimana ribuan berkumpul walaupun panas terik semata-mata untuk mluahkan masalah mereka kepada kerajaan.

"Tetapi malangnya, Najib pekak dan bisu. Apabila ada tunjuk perasaan macam ini, dia tafsir (seolah-olah) orang Cina cuba menjatuhkan kerajaan.

"Ini orang Melayu semua, orang Cina pun ada, India ada. Oleh itu kita kena singkirkan Najib.

"Tolong tandatangani deklarasi, supaya dapat kita hadapkan rintihan rakyat kepada Raja-raja Melayu," katanya.

Yang menarik, perhimpunan hari ini terdiri daripada sebahagian besar peserta Melayu.

Ini bertentangan sama sekali dengan perhimpunan BERSIH 4 tahun lalu yang menyaksikan lebih ramai masyarkat Cina sehingga mencetuskan Gerakan Merah yang dikaitkan dengan Umno membuat perhimpunan susulan selang beberapa minggu kemudian.

Seperti perhimpunan lain yang dianjurkan oleh pembangkang, majlis hari ini menyaksikan pemimpin Pakatan Harapan membuat ucapan terutama mendesak peletakan jawatan Najib dan membidas GST, yang genap setahun dilaksanakan tahun lalu, semalam.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam ucapannya menggesa rakyat untuk berkumpul setiap minggu bagi menuntut perletakan jawatan Najib.

“Kalau kita jumpa setiap minggu, Najib akan undur Kerajaan kuat macam mana pun akan jatuh juga."

Sambil merakamkan penghargaan kepada pihak polis dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rafizi berkata beliau yakin bahawa mereka juga, jauh di dalam hati, mahu Najib meletakkan jawatan.

Video Bantahan GST siang tadi,

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bantah GST dan Himpunan akan buat setiap minggu, hingga @NajibRazak Letak Jawatan! Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top