PUTRAJAYA - Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat usaha pihak tertentu yang dilihat cuba untuk menggagalkan pendaftaran Harapan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Calon Perdana Menteri Harapan itu juga melahirkan kehairanan mengenai surat aduan yang dihantar lebih 400 ahli Bersatu kepada ROS yang mempertikaikan Mesyuarat Agung Bersatu (AGM) kononnya tidak sah
“Sudah tentu ROS berpendapat bahawa AGM tak sah, maka permohonan untuk mendaftar Harapan akan terganggu dan tidak diluluskan.
“Kita hairan mengapa terdapat sehingga lebih 400 ahli Bersatu membuat laporan yang sama dengan perkataan yang sama kepada ROS.
“Jadi nampak macam ada satu usaha, entah daripada pihak mana saya tidak tahu yang memberi alasan kepada ROS supaya tidak meluluskan permohonan untuk Harapan didaftarkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Tun Mahathir berkata, isu sama yang dihadapi DAP berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), juga masih belum mendapat maklum balas daripada ROS.
“Bila kita jumpa ROS, dia sebut secara tidak langsung, tidak terangkan ada masalah dengan DAP dan Bersatu. Saya nampak DAP dah selesai (CEC), Tetapi masih tidak dapat surat apa pun. Bersatu pun tidak dapat surat.
“Saya khuatir, dengan ini kelulusan tidak akan diberi kepada penubuhan Harapan. Ini sudah tentu satu cara untuk BN menang dengan mengganggu pendaftaran Harapan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment