Latest News

Saturday 7 April 2018

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PPBM



Perintah pembubaran sementara terhadap PPBM yang dikeluarkan oleh ROS di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 telah digunakan oleh Umno untuk menggambarkan bahawa PPBM sebuah parti yang tidak terurus dan telah melanggar perlembagaannya sendiri. Kononnya, dengan ‘kegagalan’ PPBM mematuhi notis Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, PPBM tidak boleh menyalahkan sesiapa jika dibatalkan pendaftarannya oleh ROS. Ini yang dicanang oleh Umno.

Di dalam notis seksyen 14(2), ROS meminta PPBM mengemukakan maklumat-maklumat mengenai alamat berdaftar parti, jumlah keahlian pada bulan Februari 2018, senarai ahli jawatankuasa di peringkat pusat, bahagian dan cawangan, minit mesyuarat agung tahunan di peringkat pusat, bahagian dan cawangan, penyata kewangan parti yang telah diaudit, dan maklumat mengenai sumber kewangan dan apa-apa harta yang dimiliki oleh PPBM.

Semua maklumat ini sebenarnya telah pun ada dalam rekod ROS. Selepas Perhimpunan Agung Tahunan PPBM diadakan pada 30 Disember 2017, Setiausaha Agung PPBM telah menghantar maklumat yang sama kepada ROS dalam tempoh 60 hari selepas perhimpunan diadakan selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966.

Yang tidak dikemukakan kepada ROS ialah perkara-perkara yang TIDAK TERPAKAI kepada PPBM. Misalnya, ROS meminta supaya PPBM mengemukakan minit mesyuarat agung tahunan cawangan parti. ROS sebagai pihak yang berkuasa mendaftarkan cawangan pertubuhan semestinya tahu bahawa sehingga kini tiada satu pun cawangan PPBM yang telah didaftarkan. Bagaimana mungkin PPBM mengemukakan suatu maklumat mengenai perkara yang tidak wujud? Sudah tentu tidak masuk akal untuk mengatakan PPBM gagal mematuhi arahan ROS dalam perkara ini.

PPBM telah memaklumkan kepada ROS dalam surat bertarikh 29 Mac 2018 bahawa maklumat yang diminta itu tidak terpakai kepada PPBM, dan ROS tidak pula meminta apa-apa maklumat tambahan dalam surat jawapannya kepada PPBM bertarikh 2 April 2018.

Di dalam notis Seksyen 14(2), ROS juga meminta PPBM mengemukakan minit mesyuarat agung bahagian bagi tahun 2016 dan 2017. Perkara ini juga tidak terpakai kepada PPBM. Ini kerana tidak ada satu bahagian pun yang tertubuh pada tahun 2016. Tarikh paling awal bahagian PPBM mendapat sijil penubuhan bahagian daripada ROS ialah pada 24 Julai 2017. Tidakkah ROS menyemak rekodnya sendiri sebelum meminta maklumat ini melalui notis Seksyen 14(2)?

Untuk minit mesyuarat agung tahunan bahagian bagi tahun 2017 pula, telah berkali-kali menerusi surat-surat bertarikh 23 November 2017, 8 Disember 2017 dan 22 Disember 2017, PPBM menjelaskan kepada ROS bahawa bahagian-bahagian PPBM masih belum cukup tempoh setahun penubuhannya pada tahun 2017, dan oleh yang demikian, menurut tafsiran Perlembagaan PPBM yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, semua bahagian PPBM tidak boleh mengadakan persidangan tahunan sehingga cukup tempoh setahun penubuhan. Kami juga berkali-kali mengingatkan ROS di dalam surat-surat tersebut bahawa menurut Perlembagaan PPBM yang diluluskan oleh ROS sendiri, MPT PPBM mempunyai kuasa mutlak untuk mentafsir perlembagaannya. Perkara ini juga semestinya telah berada di dalam pengetahuan ROS.

Inilah dua perkara yang saya sebut TIDAK TERPAKAI kepada PPBM. Tetapi malangnya, sepertimana biasa media massa yang dikuasai oleh UMNO telah memutar belitkan fakta dengan mengatakan PPBM gagal mematuhi arahan notis Seksyen 14(2). Perkara ini diburukkan lagi dengan tindakan ROS mengeluarkan perintah sementara pembubaran PPBM di bawah Seksyen 14(5) kerana kononnya PPBM telah gagal mematuhi perintah di dalam notis Seksyen 14(2).

PPBM sebenarnya telah mengambil pendirian untuk MEMATUHI semua arahahan ROS sejak dari awal lagi. Kerana itu, kami sebelum ini tidak pernah mengambil tindakan undang-undang untuk mengenepikan perintah ROS. Kami percaya sebagai sebuah pertubuhan yang sah berdaftar di sisi undang-undang negara, PPBM mesti mematuhi kehendak undang-undang negara dan perlembagaan parti.

Namun, tindakan ROS mengeluarkan perintah sementara pembubaran PPBM di bawah seksyen 14(5) sedangkan PPBM telah mematuhi notis ROS di bawah

seksyen 14(2) adalah satu tindakan selingkuh yang melampaui kuasanya di bawah undang-undang. Oleh kerana itu, PPBM telah memfailkan satu tindakan semakan kehakiman di mahkamah untuk mencabar keputusan ROS.

Perintah sementara pembubaran PPBM di bawah seksyen 14(5) juga tidak menghalang PPBM untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti parti. PPBM masih boleh berfungsi sebagai sebuah parti politik yang sah. Yang disebut oleh ROS dalam sidang medianya bahawa PPBM tidak boleh melaksanakan aktiviti parti adalah merujuk kepada pertubuhan menyalahi undang-undang yang mana pendaftarannya telah dibatalkan oleh ROS. PPBM sehingga kini TIDAK DIBATALKAN pendaftarannya oleh ROS. Oleh itu PPBM boleh terus berfungsi sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah di sisi undang-undang. Ini pendirian PPBM.

Tindakan ROS mengeluarkan perintahan sementara pembubaran PPBM melambangkan sikap durjana Najib dan UMNO yang merasakan kehadiran PPBM di gelanggang politik negara amat menggugat kedudukannya. Kita akan terus mempertahankan keabsahan PPBM dengan apa cara sekalipun. Kita tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ancaman dan ugutan. Kita yakin kita di pihak yang benar.

Saya menyeru ahli-ahli PPBM supaya terus cekal dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia. Teguhkan semangat, kukuhkan perpaduan, rapatkan barisan untuk melawan kemungkaran. Berjuanglah di dalam satu saf bersama-sama rakan-rakan Pakatan Harapan seumpama sebuah binaan yang tersusun kukuh. Sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Saf, ayat 4:

‎إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ (الصف4)

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.


Gendang perang telah dipalu. Maralah dengan semangat juang yang membara demi menyelamatkan nusa yang tercinta!

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

7 April 2018
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PPBM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top