Latest News

Friday 8 June 2018

Kenyataan Media YAB Perdana Menteri



Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

Kenyataan Media YAB Perdana Menteri:

USAHA untuk memulihkan Negara telah dimulakan melalui janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan. Usaha ini memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan segera. Kerajaan Harapan komited untuk membebaskan Negara daripada masalah rasuah dengan melaksanakan 21 atau 35% (Lampiran 1) daripada 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan, yang ada kaitan dengan aspek governans, integriti, anti rasuah dan hak asasi manusia.

Bagi merealisasikan pengukuhan komitmen ini, saya telah membuat keputusan agar Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK), yang telah lama tidak berfungsi, diaktifkan semula tetapi dengan dipinda nama kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

Mesyuarat JKKMAR yang kita adakan pada hari ini menjadi sangat penting untuk kita merancang masa depan Malaysia baharu tanpa rasuah.

Berikut adalah perkara-perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat hari ini:

1. JKKMAR akan menyelaras semua cadangan termasuk cadangan-cadangan yang akan diutarakan oleh Jawatankuasa Institutional Reform (IRC) untuk diangkat bagi keputusan diperingkat JKKMAR atau Kabinet.
2. Kerajaan juga telah memutuskan untuk menubuhkan Pusat Goverans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC). Pusat ini akan melapor terus kepada saya bagi membolehkan usaha menyelamatkan negara daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera.

3. Fungsi pusat ini, selain dari menasihati, merancang, menyelaras, memantau, menilai dan melapor semua perkara berkaitan dengan Goverans, Integriti dan Anti Rasuah, juga bertanggungjawab kepada hal-hal yang berkaitan dengan hak asasi manusia bagi pihak kerajaan.

4. Pelan Anti Rasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) akan digubal bagi membolehkan isu-isu Goverans, Integriti dan Anti Rasuah ditangani secara menyeluruh. NACP kelak akan menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang sememang pun telah tiba masa untuk disemak semula.

5. Selain itu, satu dasar bersepadu sebagai Arahan YAB Perdana Menteri akan dikeluarkan segera kepada semua Unit Integriti di setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai hala tuju negara yang diselaraskan oleh GIACC.

6. Kerajaan juga akan merangka satu undang-undang yang boleh mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana kewangan Kerajaan.

7. Semua Kementerian dikehendaki mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga (3) isu atau kelemahan berkaitan undang-undang, dasar atau peraturan sedia ada yang perlu dikaji semula bagi mengurangkan masalah rasuah di Kementerian dan agensi-agensi di bawah kawalannya. Laporan ini perlu dikemukakan kepada GIACC dalam tempoh satu (1) bulan mulai hari ini.

8. Bagi membanteras politik wang, Rang Undang-undang Pembiayaan Politik akan digubal dengan kadar segera.

9. Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk mengadakan satu dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam (melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik). Pada masa sekarang, dasar ini hanya memfokus kepada penjawat awam.

10. Sehubungan itu, saya juga telah mengarahkan supaya Jabatan Perdana Menteri melaksanakan Polisi Tidak Terima Hadiah.

11. Setelah memberi pertimbangan yang khusus, saya menetapkan buat masa ini supaya Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN), Institut Integriti Malaysia (IIM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diletakkan di bawah GIACC. Bagi memastikan struktur dan fungsi baharu ini tidak bertindan, mengambilkira penjimatan kos kerajaan dan penyemakan semula jumlah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, GIACC perlu menyelaras dan mengemukakan input cadangan mekanisme penstrukturan semula agensi-agensi berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh:
• Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri
• Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Menteri Dalam Negeri
• Yang Berhormat Lim Guan Eng, Menteri Kewangan
• Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan
• YBhg Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara
• Ketua-ketua Setiausaha Kementerian
• YBhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pengarah Pusat Goverans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC)
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kenyataan Media YAB Perdana Menteri Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top