Latest News

Friday 15 June 2018

Ucapan Raya YAB Menteri Besar Kedah



UCAPAN YAB. DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR, MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI, 1 SYAWAL 1439H

Assalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh

Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
La Illah Ha Ilallahu Wallahu Akhbar
Allahu Akhbar Walillah Ilhamd.

Tuan-tuan, Puan-puan, Muslimin dan Muslimat, Rakyat Kedah Darul Aman,

1. Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

2. Sesungguhnya, umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut hari kemenangan setelah berjaya melalui Madrasah Ruhiyyah. Mudah-mudahan jihad ma’nawi yang dilaksanakan selama sebulan Ramadan ini, membolehkan sekalian kita beroleh penyucian jiwa dan rohani.

3. Bersyukurlah juga kerana kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dalam suasana yang cukup aman dan sejahtera.

4. Dalam kita bergembira di samping keluarga, janganlah lupa kepada ahli masyarakat — jiran tetangga, sahabat, anak-anak yatim, ibu tunggal — golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan. Hulurkan sumbangan, raikan dan santuni mereka agar sama-sama merasai nikmat di hari yang mulia ini.

Muslimin dan Muslimat, para pendengar sekalian, moga-moga dirahmati Allah SWT.

5. Sejak mengambil alih pentadbiran selepas Pilihanraya Umum Ke-14, Kerajaan Negeri pimpinan saya memberi tumpuan kepada usaha membetulkan kelemahan-kelemahan kerajaan terdahulu. Pelan tindakan dan pendekatan baharu sedang dirangka untuk dilaksanakan dengan segera.

6. Dengan sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kedah bertekad untuk memacu pertumbuhan negeri kita ini agar duduk dan berdirinya kita nanti sama rendah dan sama tinggi dengan negeri-negeri lain.

7. Saya sedar ianya bukan kerja yang mudah. Pelbagai cabaran pasti dihadapi, namun saya percaya hasil sokongan, dokongan dan kerjasama semua pihak, termasuk daripada kalangan rakyat sendiri dapat menjayakan matlamat Kerajaan kita ini.

8. Misi Kerajaan ini yang selari dengan Kerajaan Persekutuan hanyalah satu; merangka dan melaksana dasar dan pelan tindakan yang efektif lagi menyeluruh demi memaju dan membangunkan negeri. Hasil dari kejayaan ini akhirnya nanti melimpah sebagai nikmat untuk rakyat.

9. Adalah menjadi hasrat Kerajaan kita ini untuk meletakkan kembali pentadbirannya di landasan yang betul, yang memenuhi aspirasi Rakyat ketika memberikan mandat pada PRU14 lalu. Ini Kerajaan pilihan rakyat, maka sudah sewajarnya Kerajaan ini dan jentera pentadbirannya berkhidmat untuk rakyat.

10. Kerajaan ini benar-benar menjiwai dan merasai denyut nadi Rakyat, yang bertekad mentadbir negeri secara demokratik, berintegriti, adil dan amanah demi rakyat yang bersatu hati dalam menggapai impian dan harapan bagi Negeri Kedah yang baharu.

11. Saya yakin kita boleh lebih optimistik terhadap daya maju negeri kita dalam pelbagai sektor.

12. Kita mahu menjadikan Negeri Kedah Darul Aman yang kita cintai ini sebuah negeri Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur; sebuah negeri yang aman makmur dan mendapat pengampunan serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wataala.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

13. Saya sukalah mengambil kesempatan ini untuk memberikan jaminan bahawa semua rakyat di negeri ini, tanpa mengira bangsa dan keturunan, mempunyai hak yang sama dalam masyarakat dan akan menerima peluang yang lebih saksama untuk meningkatkan pencapaian hidup masing-masing.

14. Tiada yang akan dipinggirkan, peluang untuk memperkasakan taraf hidup terbuka kepada semua dengan harapan kita dapat menjalani kehidupan dengan aman, makmur dan sejahtera.

15. Pesanan saya, dalam hidup bermasyarakat, kita mestilah menyemai dan menyuburkan semangat muhibbah, toleransi dan bersatu padu agar tidak membantut rancangan kerajaan untuk melaksana pelbagai projek pembangunan untuk manfaat bersama.

16. Kita bersyukur dengan suasana aman dan damai yang kita nikmati kini. Kita harus mendoakan ianya kekal selamanya.

17. Saya mengambil kesempatan ini menyampaikan salam Aidilfitri kepada seluruh anggota pasukan keselamatan yang sedang menunaikan khidmat bakti mengawal keselamatan negeri ini. Sempena hari yang Mulia ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat di Negeri Kedah Darul Aman mengucapkan terima kasih kepada mereka.

18. Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman.

19. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Wisma Darul Aman
Alor Setar, Kedah
Waktu : 9.30 malam

Tarikh : 14 Jun 2018
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Raya YAB Menteri Besar Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top