Latest News

Thursday 19 July 2018

Menteri Besar rasmi pelancaran Logo dan Kembara Pertabalan DYMM Sultan Kedah




UCAPAN 
YAB DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR 
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

SEMPENA  MAJLIS PELANCARAN LOGO PERTABALAN DAN 
KEMBARA PERTABALAN SEMPENA PERTABALAN 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA 
SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH 
SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN YANG KE-29

BERTEMPAT 
DI LOBI, BLOK E 
WISMA DARUL AMAN 
ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN

PADA 
PUKUL 9.00 PAGI 
HARI KHAMIS, 19 JULAI 2018 

Assalamualaikum Warahmatullah Hi Ta’ala Hiwabarakatuh.
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat
Dato’ Ahmad bin Kasim,
Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat
Dato’ Paduka Hj. Bakar bin Din,
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia
Dato’/Tuan Pegawai-pegawai Daerah

Yang Berusaha
Tuan / Puan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Tuan / Puan hadirin yang saya hormati sekalian.

1. Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah perkenan dan keizinanNya jua dapatlah kita hadir pada pagi yang bersejarah ini di majlis pelancaran Logo Pertabalan dan Kembara Pertabalan sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang Ke-29.

2. Istiadat Pertabalan ini akan disambut pada hari Isnin, 22 Oktober 2018 dan akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, inshaa Allah.

3. Istiadat pertabalan kali ini amat bersejarah kepada kita sebagai rakyat Negeri Kedah Darul Aman. Tidak ramai daripada kita di sini, termasuk saya sendiri, menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ditabalkan sebelum ini. Yang terakhir, 59 tahun yang lalu apabila Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah ditabal pada hari Jumaat, 20 Februari 1959 sebagai Sultan Kedah Darul Aman yang ke-28.

4. Oleh itu saya mengharapkan, supaya sambutan istiadat pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Ke-29 kali ini dapat disusun dengan sempurna, lancar serta lebih meriah daripada istiadat yang terdahulu.

5. Juga diharapkan agar seluruh rakyat jelata negeri Kedah Darul Aman yang pelbagai agama, bangsa dan lapisan umur dapat mengetahui, terlibat serta menikmati suasana kemeriahan acara-acara sambutan yang telah disusun.

6. Semoga ianya tercatat sebagai peristiwa bersejarah yang tidak dapat dilupakan serta menimbulkan rasa hormat dan menjunjung ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Institusi DiRaja Kesultanan Negeri Kedah Darul Aman sebagai kuasa pemerintah negeri Kedah, khususnya.

7. Jawatankuasa Induk sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ke-29, telahpun dibentuk sejak awal tahun 2018 terdiri dari beberapa Jawatankuasa kerja, jawatankuasa kecil dan Sekretariat Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ke-29 bagi bermesyuarat, merangka dan menyusun acara-acara sempena pertabalan ini yang terdiri daripada tiga (3) segmen iaitu:

1. Acara Pra Pertabalan,
2. Acara Utama, dan
3. Acara Iringan.

8. Manakala mekanisma Pengurusan Program Istiadat Pertabalan ini terbahagi kepada empat 4 iaitu:

1. Jawatankuasa Kerja Pengurusan Acara Pra Pertabalan,
2. Jawatankuasa Kerja Pengurusan Acara Utama,
3. Jawatankuasa Kerja Pengurusan Acara Iringan, dan
4. Jawatankuasa Kerja Pengurusan Logistik dan Perkhidmatan

9. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sangat mengambil berat dan memberi komitmen yang tinggi terhadap persiapan serta perjalanan dan pengisian semua acara-acara yang telah disusun dan dirancangkan agar berlangsung dengan penuh ketelitian dan kesempurnaan serta perbelanjaan yang berhemah.

10. Oleh itu, saya mengharapkan agar semua pihak yang telah dipertanggungjawabkan dapat memberi komitmen yang tinggi bagi melaksanakan semua acara yang telah disusun dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

11. Pada pagi ini, akan berlangsung majlis Pelancaran Logo dan Kembara Pertabalan. Logo Pertabalan sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah melalui beberapa proses penelitian dan pemilihan ke atas semua contoh rekacipta logo yang dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebelum ianya diperkenankan. Logo yang telah diperkenankan ini, telah menepati ketelitian serta memenuhi kehendak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. 

12. Logo Istiadat Pertabalan ini, terdiri daripada beberapa motif yang membawa maksud atau melambangkan sesuatu taksiran.

13. Motif Aigrette Kesultanan Kedah, yang melambangkan kebesaran dan kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dalam Institusi Kesultanan Kedah. Terdapat 12 rumpun batang padi yang melambangkan terdapat 12 daerah di dalam Negeri Kedah Darul Aman yang berada di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

14. Motif Bunga Padi, bentuk Karangan Bunga Padi yang melingkari perisai dan bulan sabit pula melambangkan kemewahan atau kemakmuran di seluruh Negeri Kedah.

15. Motif Perisai, di dalam perisai ini terdapat tulisan Jawi yang membawa maksud “Negeri Kedah”. Ianya melambangkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah sebagai pelindung dan akan mempertahankan seluruh rakyat Negeri Kedah.

16. Motif Bulan Sabit pula membawa maksud dan melambangkan Agama Islam sebagai Agama Rasmi bagi Negeri Kedah.

17. Motif Ikatan pada karangan Bunga Padi pula melambangkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah seorang yang berjiwa rakyat dan seorang Ketua Negeri yang bertanggungjawab untuk menjaga serta memayungi perpaduan rakyat di Negeri Kedah.

18. Motif Warna Keemasan pada keseluruhan jata pertabalan tersebut melambangkan institusi Kesultanan dan juga warna DiRaja.

19. Manakala, Tulisan Rumi di bawah jata pertabalan melambangkan atau membawa maksud akan berlangsungnya upacara Majlis Rasmi Sambutan Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sultan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-29.

20. Selepas daripada majlis pelancaran logo ini juga, akan berlangsung majlis pelancaran Kembara Pertabalan. Kembara Pertabalan ini akan bergerak keseluruh 12 daerah dalam negeri Kedah Darul Aman.

21. Tujuan kembara ini adalah supaya hebahan serta promosi secara langsung dan penglibatan rakyat berkaitan Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Ke-29 dapat disampaikan kepada keseluruhan rakyat jelata di Negeri Kedah Darul Aman khususnya dan negara amnya. Program promosi melalui media sosial dan dokumentari khas yang telah bermula sejak bulan Mac 2018 yang lalu.

22. Saya berharap Yang Berbahagia Dato’ dan Tuan Pegawai-Pegawai Daerah dapat melaksanakan program ini dengan sebaik mungkin di daerah masing-masing dengan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kerja yang berkaitan program ini supaya Istiadat Pertabalan ini dapat dimaklumkan lebil awal kepada rakyat jelata bahawa Istiadat Pertabalan ini akan berlangsung pada 22 Oktober 2018.

23. Akhir kata, dengan Lafaz ‘BISMILLAAHIR RAHMAAN NIRAHIIM’, sukacitalah saya melancarkan LOGO PERTABALAN dan KEMBARA PERTABALAN sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Ke-29.

24. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Menteri Besar rasmi pelancaran Logo dan Kembara Pertabalan DYMM Sultan Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top