Latest News

Monday 13 August 2018

Jangan calarkan imej negara dengan isu rasuah – Tuanku Sultan Sallehuddin


13 Ogos – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menzahirkan rasa bimbang berikutan keputusan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah atau CPI yang dilaporkan pada tahun 2018.

Titah Baginda, Malaysia berada di prestasi terburuk sejak lima tahun lepas selepas mencatatkan penurunan sebanyak tujuh anak tangga dan kini berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah yang dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International Malaysia (TI-M).

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, Baginda berpandangan bahawa perkara ini perlu dipandang serius dan ditangani segera agar imej Malaysia tidak tercalar di peringkat antarabangsa.

Tuanku Sultan Sallehuddin bertitah, tindakan perlu bermula pada peringkat negeri terlebih dahulu, khususnya di Kedah.

"Rakyat perlu diberi kesedaran sivik dan perlu dididik mengenai keburukan hal-hal tersebut selain memperketat undang-undang anti rasuah.

"Kejujuran dan keikhlasan perlu ada dalam melaksanakan amanah, demi rakyat yang telah memilih kita. Janganlah kita mengecewakan harapan rakyat negeri ini yang mahu melihat perubahan yang bersifat fundamental," titah Baginda ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Sultan Kedah menyifatkan pemimpin dan pentadbir yang tidak memiliki integriti ibarat pohon yang tidak berdaun dan tidak berbuah serta tidak dapat memberi sebarang manfaat.

Baginda menyeru semua pemimpin dan pentadbir di negeri ini untuk menghayati konsep integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

"Integriti ialah amanah, tanggungjawab, ketelusan dan kebijaksanaan. Mereka yang berintegriti ialah mereka yang melaksanakan amanah dengan penuh kebertanggungjawaban, disulami dengan ketelusan dan kebijaksanaan”, titah Baginda.


MMFC News 

Kredit Gambar Page : Kedah Royal Family 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jangan calarkan imej negara dengan isu rasuah – Tuanku Sultan Sallehuddin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top