Latest News

Thursday 16 August 2018

Kerajaan Negeri kaji semula Tuisyen Barakah - Exco



16 Ogos - Program Tuisyen Barakah yang diperkenalkan Kerajaan BN dahulu di bawah bekas Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan dikaji semula dari segi keberkesanan sebelum diputuskan sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

Exco Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said berkata program Tuisyen Barakah ini perlu dikaji semula kerana ianya hanya memberi manfaat kepada sejumlah kecil pelajar sahaja.

Katanya, program tuisyen itu hanya melibatkan seramai 2,000 pelajar sahaja, sedangkan jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah ramai.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari YB. Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) yang meminta program Tuisyen Barakah untuk dikaji semula kerana ianya hanya memberi manfaat kepada sejumlah kecil pelajar sahaja.

Dr Salmee menjelaskan, Kerajaan Pakatan Harapan hanya menyediakan peruntukan untuk program tuisyen bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Inisiatif kelas tambahan kepada pelajar Tingkatan Lima bersama GPMS ini melibatkan 36 sekolah dan 2000 pelajar terlibat.

"Guru yang terlibat dengan tuisyen GPMS diberi elaun RM30 sejam bagi satu subjek". katanya Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-14, hari ini.

Terdahulu, Dr Salmee menjawab soalan daripada YB. Dato’ Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) yang ingin tahu adakah Kerajaan negeri ini berhasrat untuk mengiktiraf UEC (United Examination Certificate) seperti diputuskan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut Dr Salmee, Kerajaan Negeri akan menunggu kajian dasar yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sehingga keputusan dasar dibuat oleh Kerajaan berdasarkan dapatan kajian tersebut, dasar sedia ada berhubung perkara itu masih dikekalkan,” katanya.

MMFC News 



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Negeri kaji semula Tuisyen Barakah - Exco Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top