Latest News

Monday 13 August 2018

Raja dan Rakyat berpisah tiada – Tuanku Sultan Kedah


13 ogos - Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah bahawa peranan institusi raja sebagai penaung kepada kelangsungan peradaban bangsa telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dan juga di dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, Perkara 34(1).

Sehubungan itu, Baginda meminta semua pihak untuk tidak mengusik semua perkara yang sudah termaktub di dalam kedua-dua undang-undang itu yang sepatutnya dijadikan sebagai rujukan dan sumber penting oleh pemimpin dan rakyat.

Titah baginda, ini termasuklah kewujudan institusi diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.

Baginda juga khuatir dengan wujudnya kecenderungan untuk mengganggu gugat perpaduan rakyat selain menyentuh isu nostalgia bangsa, sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan yang ditimbulkan secara sengaja.

“Walaupun ianya dilakukan atas dasar liberisme, keterbukaan serta kebebasan bersuara, namun perlembagaan sedia ada perlu dihormati dan diberi keutamaan,” Sultan Sallehuddin bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Sementara itu, Baginda bertitah, Kelestarian Kerajaan Kedah yang merupakan kerajaan tertua di Malaysia dan mampu bertahan dengan begitu lama adalah hasil manifestasi ungkapan “raja dan rakyat berpisah tiada”.

Jelas Baginda, hubungan resiprokal inilah yang berupaya mengekalkan keamanan, kerharmonian, dan kestabilan hingga ke hari ini.

Dalam pada itu Tuanku Sultan Kedah juga telah mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, yang kembali menerajui Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman setelah berjaya mendapat kepercayaan rakyat semasa pilihanraya ke-14 baru-baru ini.

Baginda terdahulu berkenan memeriksa kawalan kehormat Polis, Pasukan Simpanan Persekutuan di Dataran Wisma Darul Aman.

- MMFC News
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Raja dan Rakyat berpisah tiada – Tuanku Sultan Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top