Latest News

Monday 22 October 2018

Ucapan Sembah Tahniah dan Ikrar Taat Setia Oleh YAB Menteri Besar Kedah



UCAPAN SEMBAH TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR MENTERI BESAR NEGERI KEDAH DARUL AMAN SEMPENA ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL AMINUL KARIM  SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN KE-29 PADA  HARI ISNIN 22 OKTOBER 2018 BERSAMAAN 13 SAFAR 1440H DI ISTANA ANAK BUKIT KEDAH DARUL AMAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

2. Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman.
Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Pohon Diampun.

3. Patik merafak sembah takzim ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di istiadat pertabalan yang penuh barakah ini. Berpaksikan Islam dan bersendikan adat, maka sempurnalah sudah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ditabalkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Kedah Darul Aman Ke-29 pada hari ini, tanggal 22 Oktober tahun 2018 Masehi, bersamaan 13 Safar 1440 Hijri.

4. Dipanjatkan doa ke hadrat Ilahi, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam rahmat dan maghrifah Allah Subhanahuwataala.

Ampun Tuanku,

5. Bersempena istiadat yang penuh berkat ini, patik mewakili Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat jelata dengan penuh takzim menzahirkan kegembiraan dan merafak sembah tahniah, menjunjung kasih serta ikrar taat setia ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena pertabalan Tuanku sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29.

6. Sesungguhnya, pada hari yang penuh kemuliaan ini, tertulislah kesinambungan sejarah sebuah kerajaan dengan daulat kesultanan yang tertua, yang bernama Kedah seperti pernah tercatat dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa. Tradisi negeri bersultan dan rakyat beraja yang diwarisi sejak zaman berzaman ini didoakan akan terus kekal merentasi peredaran masa.

Ampun Tuanku,

7. Izinkan patik menelusuri sejarah pada abad ke-18, dengan memetik bait-bait Syair Sultan Maulana yang menggambarkan pemerintahan seorang Sultan di Negeri Kedah:
Dengarkan tuan suatu madah kisah baginda Sultan di Kedah negerinya ramai terlalu indah
isi negeri semuanya mudah Ismu baginda Sultan Maulana Ahmad Tajuddin gelar rencana ibni Sultan Abdullah yang ghana bangsa di atas takhta kencana Akal baginda sangat sempurna Adil dan murah terlalu bermakna Masyur lempah anta permana Dikasihi oleh mulia dan hina.

8. Demikianlah, gambaran Negeri Kedah yang diperintah ketika itu oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I yang bijak, adil dan pemurah. Beruntunglah rakyat dan negeri yang amat bertuah ini kerana daulat Sultan
dan pemerintahannya selama ini. Maka tidak hairanlah kalau baginda mendapat sokongan daripada setiap lapisan rakyat.

9. Demikian juga pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan dan Raja Pemerintah pada hari yang mulia ini. Sesungguhnya raja dan rakyat itu tidak pernah dipisahkan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan umpama pohon rendang tempat rakyat berteduh, teras keutuhan kerajaan yang berdaulat.

10. Berkat naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang adil dan saksama serta arif lagi bijaksana, mudah- mudahan negeri Kedah Darul Aman berada dalam keadaan aman dan sentosa, bertambah makmur dan sejahtera, Inshaa Allah.

Ampun Tuanku,

11. Sebelum patik mengakhiri sembah ucapan patik pada pagi ini, di kesempatan ini juga patik bagi pihak kerajaan negeri ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keberangkatan:

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Negara Brunei Darussalam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri;

Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan;
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang;

Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri-Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan-Toh Puan;

Duli-Duli Yang Teramat Mulia Raja-Raja Muda dan Raja-Raja Puan Muda serta Yang Amat Mulia-Yang Amat Mulia Wakil-Wakil Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja;

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Binti Mohd Ali;

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim;

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri;

Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Bendahara Kedah;

Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah; Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah;

Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan;

Serta Semua Tetamu-Tetamu Istiadat. Ampun Tuanku,

12. Akhirul kalam, patik bagi pihak Kerajaan Negeri dan sekalian rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman, sentiasa beroleh riayah dan inayah daripada Allah Subhanahuwataala dalam menaungi Negeri Kedah yang tercinta ini.
Daulat Tuanku.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Pohon Diampun.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Sembah Tahniah dan Ikrar Taat Setia Oleh YAB Menteri Besar Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top