Latest News

Sunday 11 November 2018

Bajet Kedah 2019 (Ucapan Penuh)



ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER DAN AHLI-AHLI YANG BERHORMAT SEKALIAN

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahuwataala, kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun bersama-sama pada pagi ini untuk menzahirkan satu lagi tugasan penting yang diamanahkan oleh rakyat.

2. Sebagai sebuah kerajaan yang pedulikan rakyat, Kerajaan Pakatan Harapan Kedah mengutama dan mencari pendekatan terbaik demi kesejahteraan setiap lapisan masyarakat.

3. Walaupun mewarisi pelbagai kekurangan, khususnya sumber kewangan, Kerajaan Negeri ini tidak melihat keadaan itu sebagai halangan, sebaliknya menerima situasi ini sebagai cabaran yang mendorong usaha untuk membangunkan negeri.

4. Yang diutamakan adalah rakyat Negeri Kedah dapat menikmati kemakmuran dan hidup sejahtera hasil setiap kejayaan yang dicipta. Demi memenuhi hasrat dan harapan rakyat, Kerajaan Negeri bertekad mencari jalan terbaik untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka bidang keberhasilan baharu untuk dinikmati semua pemegang taruh.


PERTABALAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN KEDAH KE-29


YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

5. Sebelum pembentangan Bajet 2019 dimulakan, izinkan saya mewakili rakyat jelata dan Ahli-ahli Yang Berhormat merafak sembah tahniah dan junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah atas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29 pada 22 Oktober 2018 yang lalu.

6. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sentiasa dilimpahi keafiatan yang berpanjangan, dan terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, memayungi seluruh rakyat jelata dengan penuh kebesaran dan kedaulatan.

Dirgahayu Tuanku
.

7. Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-29 telah berlangsung dengan penuh kebesaran adat istiadat dan kedaulatan Kesultanan Kedah pada 22 Oktober. Bersempena dengan pertabalan tersebut, beberapa istiadat dan acara telah disusun rapi. Bermula dengan Istiadat Letak Kerja disusuli dengan Istiadat Ziarah Makam serta Istiadat Siram Tabal diikuti Majlis Bacaan Yasin di Masjid Zahir. Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan turut diadakan dengan penuh warna-warni dan gilang-gemilang.

8. Majlis Santapan Diraja telah diadakan dengan penuh kemeriahan dengan keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Tuan-Tuan Yang Terutama dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri.

9. Sebagai memperingati istiadat pertabalan yang penuh bersejarah ini, setem kenangan dan medallion pertabalan telah dilancarkan pada 15 Oktober 2018 untuk kenang-kenangan seluruh rakyat jelata.

10. Turut diadakan Pesta Rakyat di Taman Jubli Emas, yang bertujuan bagi meraikan Istiadat Pertabalan dengan seluruh rakyat Negeri Kedah.

SENARIO PERUBAHAN TAMPUK PENTADBIRAN NEGARA DAN NEGERI

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

11. Seperti yang kita semua sedia maklum, Bajet 2019 adalah bajet sulung Kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan negeri melalui Pilihanraya Umum ke-14 pada bulan Mei lepas.

12. Bagi memenuhi amanah yang telah diberikan, Kerajaan Pakatan Harapan mengambil pendekatan yang ampuh dengan menggunakan Bajet 2019 sebagai pemangkin untuk mengoptimumkan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat Negeri Kedah.

13. Rakyat telah meletakkan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri ini, maka memenuhi aspirasi Rakyat menjadi keutamaan Kerajaan ini.

14. Kerajaan baharu di peringkat pusat dan negeri membuka peluang untuk menilai semula dasar-dasar sediada, kaedah penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat. Yang jernih kita ambil, yang keruh kita buang. Kita tidak mahu lagi terikat kepada proses dan mekanisma yang lapuk tetapi berupaya berfikir di luar kotak dengan idea-idea baharu yang lebih segar dan bernas. Dalam kata lain, Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan negeri sedang melakukan pembersihan kepada sistem lapuk yang membebankan, sarat dengan permasalahan dan tidak efektif.

15. Maka, perubahan drastik kepada mekanisma dan pendekatan dalam pentadbiran, pengurusan, sistem penyampaian perlu dibuat demi memastikan urus tadbir Kerajaan Negeri yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

16. Dalam rangka Bajet 2019 Kerajaan Negeri berpaksikan kepada agenda nasional seperti yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menentukan hala tuju yang sama.

INPUT BAJET NASIONAL 2019

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

17. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberikan peruntukan sejumlah RM 25 juta melalui Bajet Persekutuan 2019 bagi tujuan memulakan projek Kota Perdana di Special Border Economic Zone, Bukit Kayu Hitam.
18. Peruntukan tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di bandar sempadan. Hal ini selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membuka pintu sempadan Malaysia-Thailand 24 jam dalam sehari.

19. Lanjutan daripada itu, Majlis Daerah Kubang Pasu yang telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran pada 22 Oktober 2018 yang lalu diharap akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatannya, bagi memacu pembangunan lestari Daerah Kubang Pasu.

20. Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan 50 peratus daripada kutipan hasil perkhidmatan pelancongan di Negeri Kedah. Ini akan membantu melonjakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.

21. Dalam mengejar pembangunan duniawi, tuntutan ukhrawi tidak dilupakan. Bagi hal ehwal pengajian agama, Bajet Nasional 2019 memperuntukkan sebanyak RM 50 juta untuk sekolah tahfiz dan RM 25 juta untuk sekolah pondok bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf insfrastrukturnya di seluruh negara. Kedah berhasrat untuk memohon sebahagian peruntukan tersebut.

22. Pengumuman ini semestinya disambut baik oleh setiap warga sekolah tahfiz dan pondok di Negeri Kedah. Diharapkan agihan peruntukan ini meningkatkan suasana pembelajaran menjadi lebih kondusif dan komprehensif.

23. Selain daripada itu, keputusan Kerajaan Pusat untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang digantikan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Setelah SST diperkenalkan semula, jumlah barangan yang dikenakan cukai hanya satu per empat berbanding ketika regim percukaian GST.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

24. Dari intipati Bajet Nasional 2019, didapati tiada bantuan khusus atau langsung diumumkan untuk para penoreh getah. Namun begitu, ini tidak bermakna bebanan hidup yang ditanggung para penoreh getah disebabkan harga yang rendah tidak dipedulikan. Kerajaan Negeri benar-benar bersimpati dan merasai kepayahan yang dihadapi para penoreh.

25. Namun hakikatnya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menghulurkan bantuan ketika ini. Tidaklah pula Kerajaan Negeri akan membiarkan keadaan itu begitu sahaja. Kerajaan Pakatan Harapan Kedah berikrar akan berusaha gigih untuk menangani masalah ini, bermula dengan merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya dapat memperuntukkan bantuan bagi melegakan tekanan hidup yang dihadapi para penoreh getah.

PRINSIP BAJET NEGERI KEDAH 2019

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

26. Pembentukan Bajet 2019 Negeri Kedah berasaskan kepada belanjawan yang akan memberi impak secara langsung dari aspek ekonomi dan kebajikan rakyat, sejajar dengan slogan ‘Harapan Bersama, Makmurkan Kedah’.

27. Dalam Bajet 2019, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada perbelanjaan realistik melalui pengurusan kewangan yang efisyen dan berhemah. Hal ini membolehkan peningkatan hasil negeri dengan mengoptimumkan perbelanjaan, dan seterusnya akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

28. Bajet 2019 berlandaskan kepada LIMA tunjang asas, iaitu:

Pertama, pengagihan sumber kekayaan dan kemakmuran secara adil dan saksama kepada rakyat;


Kedua, penerapan prinsip maqasid syariah khususnya menerusi keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang seimbang;

Ketiga, peningkatan pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui keterbukaan peluang pelaburan;

Keempat, perbelanjaan telus berdasarkan ‘value for money’, dengan izin, untuk setiap butiran yang dibelanjakan; dan

Kelima, pembangunan bakat, mendaya modal insan dan menerap nilai murni melalui pemantapan sistem pendidikan, latihan dan kemahiran.

29. Falsafah Bajet Berhemah Demi Kemakmuran Rakyat, yang didasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), akan diaplikasikan dalam Bajet 2019 kelak. Penekanan terhadap prinsip ini penting untuk mendepani agenda pembangunan dan ekonomi negeri bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

INTIPATI BAJET 2019

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

30. Bagi Bajet 2019, saya suka untuk mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM 768 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM 108 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

31. Di bawah peruntukan mengurus, pecahan yang diperuntukkan adalah seperti berikut:

RM 248 juta bagi pembayaran emolumen;

RM 162 juta bagi pembayaran perkhidmatan dan bekalan;

RM 153 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap;

RM 16 juta
bagi pembelian aset;

RM 5.8 juta bagi lain-lain perbelanjaan; dan

RM 75 juta bagi bayaran tertanggung Kerajaan Negeri.

32. Sebagai memenuhi perbelanjaan berhemah, serta bagi memastikan bajet yang realistik mampu dicapai berdasarkan kemampuan semasa, anggaran perbelanjaan mengurus untuk tahun 2019 menunjukkan pengurangan sebanyak 10.61 peratus berbanding dengan tahun 2018.

33. Anggaran hasil pada tahun 2019 adalah sebanyak RM 710 juta. Jumlah ini meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 295 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 215 juta, dan RM 200 juta bagi Terimaan Bukan Hasil.

34. Anggaran ini dijangka lebih realistik untuk dicapai berbanding RM 779.5 juta yang dianggarkan bagi tahun 2018. Setakat 5 November, 2018, jumlah hasil sebenar yang dicatat adalah RM 475.35 juta, iaitu 60.98 peratus dari yang dianggarkan dalam Bajet 2018.

35. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Bajet 2019 menganggarkan defisit sejumlah RM 57.78 juta, atau 8.14 peratus, yakni penurunan berbanding 10.19 peratus pada tahun 2018.

36. Saya juga memohon untuk mencadangkan sejumlah RM 194 juta bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2019. Untuk projek pembangunan bekalan air pula, diperuntukkan sebanyak RM 158 juta melalui peruntukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

37. Bagi merealisasikan slogan ‘Harapan Bersama, Makmurkan Kedah’, strategi Bajet Negeri Kedah bagi tahun 2019 adalah:

• Mensejahterakan dan Memakmurkan Rakyat
• Meningkatkan Pertumbuhan Koridor Ekonomi Negeri
• Mengupayakan Modal Insan
• Menggilap Kecemerlangan Bakat
• Menerapkan Maqasid Syariah
• Mengamalkan Amalan Terbaik Global atau ‘Global Best Practices’, dengan izin.

STRATEGI BAJET 2019

STRATEGI 1: MENSEJAHTERAKAN DAN MEMAKMURKAN RAKYAT


YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,


INFRASTRUKTUR ASAS

38. Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sejumlah RM 66.75 juta bagi menambah baik infrastruktur sedia ada, selain menyediakan keperluan infrastruktur yang baharu.

Jaringan Jalan Raya

39. Dari aspek jaringan jalan raya, Kerajaan Negeri telah meneliti beberapa projek yang sudah dan sedang dilaksanakan. Salah satunya ialah yang melibatkan projek menaik taraf Jalan Suka Menanti. Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk meneruskan projek jalan tersebut memandangkan ianya merupakan laluan penting bagi kegunaan awam dan beberapa jabatan utama.

40. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pembinaan jalan masuk utama Skim Perumahan Penjawat Awam di Bukit Pinang untuk kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.

41. Kerajaan Negeri turut menyiapkan projek bagi menggantikan jambatan sempit di Sungai Beruk, Kampung Gajah Putih di Daerah Sik, dan jambatan Pekan Kuala Pegang di Daerah Baling.

42. Kedua-dua projek jambatan ini pastinya akan memberi manfaat jangka panjang kepada ribuan pengguna.

43. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM 10 juta bagi kerja-kerja menaik taraf khususnya melibatkan projek pelebaran 30 jalan dan jambatan di seluruh negeri.

44. Selain itu, Kerajaan Persekutuan pula telah meluluskan projek jalan dari Kampung Sungai Batu melalui Kampung Sungai Pasir ke Ladang Dublin, Daerah Bandar Baharu yang dianggarkan bernilai RM 27 juta.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

Pengairan dan Saliran

45. Bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dicapai, segala usaha ke arah menangani masalah banjir turut diberi perhatian serius.

46. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 15 juta untuk mengadakan program tebatan banjir, program pemulihan kerosakan akibat banjir, program pemuliharaan muara sungai, program mencegah hakisan pantai, serta menambah baik peralatan elektrikal dan mekanikal sistem pengairan dan saliran. Projek-projek ini akan dilaksanakan secara bersama dengan jabatan-jabatan berkaitan di peringkat pusat.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

BEKALAN AIR


47. Menyedari keperluan untuk menyediakan bekalan air terawat kepada rakyat, Kerajaan Pakatan Harapan Kedah komited dalam mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlarutan sekian lama. Ternyata kerosakan yang berlaku dalam sistem bekalan air memerlukan beberapa pendekatan agresif dan intensif untuk memulihkan keadaan.

48. Sejumlah 500 ribu akaun domestik sedang menikmati air, manakala sekitar 50 ribu warga Kedah pula sedang menghadapi masalah tekanan rendah. Sejumlah 6 ribu akaun yang telah terputus bekalan ketika peralihan kuasa di Kedah telah ditangani dengan penyediaan “mini booster pumps” di 10 lokasi untuk menyalurkan air, walaupun pada tekanan yang masih rendah.

49. Pendekatan intensif juga sedang diusahakan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk melaksanakan program Air Tidak Terhasil atau ‘Non Revenue Water’ (NRW), dengan izin, untuk mengatasi masalah air yang bocor di pertengahan aliran. Pendekatan 1 telahpun di peringkat tender terbuka dan sedia untuk perolehan. Seterusnya program NRW Pendekatan 2 akan menyusul kemudian. Ia dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

50. Komitmen Kerajaan Negeri seterusnya adalah untuk membina loji rawatan air mengikut keutamaan serta penggantian paip untuk memastikan NRW lebih rendah dan tekanan boleh ditingkatkan. Kesemua perolehan ini akan dilaksanakan mengikut polisi tender terbuka.

51. Dalam usaha menangani masalah bekalan air terawat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 158 juta bagi melaksanakan pelbagai projek menaik taraf bekalan air melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan. Usaha ini akan memberi tumpuan kepada 2 projek yang telahpun diluluskan sebelum ini, iaitu Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang dan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Jenun Baharu.

52. Bagaimanapun, baki 3 lagi projek yang telah diluluskan, iaitu Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau; Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Sungai Limau; dan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama akan diteruskan selepas projek menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang dan Jenun Baharu selesai.

53. Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang merupakan satu keperluan kepada pembangunan projek-projek ekonomi berskala besar di Negeri Kedah. Hasil daripada pelaksanaan projek ini, keperluan rakyat yang mendesak di kawasan Kuala Kedah dan kawasan sekitarnya akan dapat diatasi. Selain itu, loji ini juga akan dapat membekalkan air terawat ke Kota Perdana di Special Border Economic Zone (SBEZ), dan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PERUMAHAN
54. Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan program Rancangan Perumahan Awam Negeri Kedah (RPA-K) dan Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi polisi Satu Rumah Satu Keluarga. Program ini akan memberi peluang kepada rakyat terutamanya golongan muda untuk memiliki rumah sendiri.

55. Untuk menjayakan dasar ini, Kerajaan Negeri telahpun memohon kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

56. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan pihak swasta dan institusi kewangan supaya pembangunan projek perumahan dan pembiayaan pemilikan rumah tersebut dapat direalisasikan dengan lebih mudah.

57. Inisiatif ini akan menggunakan prinsip pemudah cara melalui kerjasama ketiga-tiga pihak.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

KESIHATAN

58. Kerajaan Negeri optimis bahawa projek Hospital Pendang akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi melalui peruntukan daripada Kementerian Kesihatan. Hospital ini akan memanfaatkan penduduk di Daerah Pendang selain mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Sesungguhnya projek Hospital Pendang sudah lama dinantikan oleh penduduk setempat.

59. Selain itu, sebuah Pusat Pakar Kanser yang telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan bagi wilayah utara akan didirikan di Sungai Petani.

60. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah subsidi kepada Pusat-pusat Hemodialisis sebagai usaha meringankan bebanan rakyat Kedah yang kurang mampu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

61. Dalam pada itu, bagi meringankan beban para pesakit, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Tabung Penyakit Kronik dengan peruntukan permulaan sebanyak RM 500,000.00.

62. Program ini merupakan usaha sama dengan Jabatan Kerja Sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PEMBANGUNAN SOSIAL


63. Kerajaan Negeri bertanggungjawab dalam memastikan kehidupan rakyat terbela tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Aspek kebajikan rakyat amat dititikberatkan dalam usaha untuk mencapai keadilan sosial.

64. Maka, sejumlah RM 19.9 juta diperuntukkan dalam Bajet 2019 bagi merangkumi pelaksanaan Projek Kecil Kemajuan Luar Bandar, Projek Pembangunan Sosial, Projek Pembangunan Masyarakat, Projek Basmi Kemiskinan, serta Projek Peningkatan Pendapatan dan Kemakmuran Rakyat. Peruntukan ini akan disalurkan menerusi Pejabat Daerah di seluruh Negeri Kedah.


STRATEGI 2: MENINGKATKAN PERTUMBUHAN KORIDOR EKONOMI NEGERI

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PERTUMBUHAN PROJEK EKONOMI BERIMPAK TINGGI

Kedah Rubber City (KRC)

65. Kerajaan Negeri bertekad untuk menjayakan projek Kedah Rubber City seperti yang dirancangkan memandangkan Kerajaan Pusat telah memberikan komitmen kewangan terhadap projek tersebut.

66. Proses pengambilan tanah bagi projek di Bukit Ketapang, Mukim Padang Terap Kiri, Padang Terap ini telah selesai dilaksanakan.

67. Projek ini amat penting dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi Negeri Kedah khususnya, dan Malaysia amnya.

Kedah Scien
ce and Technology Park (KSTP)

68. Projek Pembangunan Kedah Science and Technology Park (KSTP) berkeluasan 1,938 ekar di Bukit Kayu Hitam akan diteruskan. Projek ini akan melengkapi projek Kota Perdana di Special Border Economic Zone.

Kota Perdana di Special Border Economic Zone (SBEZ)

69. Pembangunan Kota Perdana ini adalah merupakan sebahagian daripada komponen Bandar Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam yang akan merubah lanskap ekonomi atau merupakan ‘economic game changer’, dengan izin, di utara tanah air. Peruntukan awal sebanyak RM 25 Juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk Depo Pengangkutan atau ‘Truck Depot’, dengan izin, adalah merupakan projek pemula ke arah pembangunan pelabuhan darat dan hub logistik.

70. Projek ini dijangka dapat memberikan limpahan ekonomi yang besar untuk negeri ini kerana pelabuhan darat ini bakal menerima kemasukan barangan dagangan melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

71. Kerajaan Negeri terlibat di dalam perbincangan bersama Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk menyediakan perkhidmatan pengisytiharan dan pemeriksaan kastam setempat, atau single customs clearance, dengan izin, untuk kontena yang masuk melalui Thailand sebelum menuju ke pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Kelang dan sebagainya.

Kulim International Airport (KXP)

72. Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan lanjut yang positif dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta untuk meneruskan cadangan pembinaan Lapanganterbang Antarabangsa Kulim atau Kulim International Airport (KXP), dengan izin, sebagai hub kargo udara yang baharu di utara Malaysia. Kemungkinan besar projek ini akan dibiayai oleh pihak swasta.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PEMBANGUNAN INDUSTRI PERTANIAN DAN PENTERNAKAN
73. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 9.8 juta bagi memastikan program pembangunan industri pertanian dapat direalisasikan. Program ini akan memfokuskan kepada dua sektor utama industri pertanian, iaitu industri padi dan industri agro.

Industri Padi

74. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha membangunkan industri padi melalui Projek Estet Padi agar hasil pengeluaran sebanyak 10 tan sehektar dapat dicapai dengan penggunaan peralatan moden dan berteknologi tinggi. Pada masa yang sama, tanaman alternatif yang memberi pulangan hasil yang tinggi seperti sorghum akan dikaji untuk diperkenalkan di negeri ini.

75. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk meningkatkan pengeluaran padi organik di Sik dan Padang Terap sebagai sokongan kepada pengeluaran padi biasa. Padi organik didapati dapat menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi selain baik untuk kesihatan.

Industri Agro

76. Dengan peruntukan sebanyak RM 2.4 juta, galakan dan dorongan akan turut diberikan kepada industri buah-buahan, industri sayur-sayuran dan tanaman ladang, industri asas tani, serta pembangunan tanaman industri dan komoditi yang berpotensi tinggi.

77. Bagi menjayakan hasrat tersebut, tanah-tanah di luar kawasan MADA akan diusahakan dengan tanaman alternatif, bagi mempelbagaikan sumber pendapatan peserta.

78. Melalui bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Kedah, penghasilan Durian Duri Hitam di Daerah Bandar Baharu akan ditingkatkan untuk pasaran dalam negara dan antarabangsa.

Industri Penternakan

79. Pembangunan industri penternakan turut diberi perhatian, dan beberapa program telah dikenal pasti.

80. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 4.27 juta bagi memenuhi projek penternakan lembu tenusu, penternakan ayam itik dan program kemajuan padang ragut.

81. Kluster Tenusu Kedah akan diperkasakan agar perbekalan keperluan susu di pasaran dalam dan luar negara dapat ditingkatkan.

82. Selain itu, penghasilan produk berasaskan tenusu dapat dikembangkan sebagai hasil sampingan.

83. Bagi tujuan tersebut, input bantuan seperti lembu tenusu dan peralatan yang berteknologi tinggi akan disediakan sebagai salah satu elemen galakan kepada para penternak.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PELANCONGAN
84. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM 8.45 juta bagi mengembangkan lagi kegiatan sektor pelancongan.

85. Fokus pelancongan negeri pada tahun 2019 akan ditumpukan kepada beberapa kategori:

Pelancongan Sukan

86. Pelancongan sukan merupakan salah satu cabang yang boleh menarik lebih ramai pelancong, di samping akan turut meningkatkan aliran masuk ekonomi ke negeri Kedah.

87. Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkenalkan beberapa program sukan pelancongan seperti:

Sedim International Extreme Challenge di Sungai Sedim, Daerah Kulim;

International Boat Competition (Perahu Panjang, Perahu Naga dan Formula 3 Power Boat) di Sungai Kedah, Bandaraya Alor Setar dan lokasi-lokasi lain;

Langkawi International Triathlon dan Langkawi International Mountain Bike Challenge di Langkawi; dan

Sik International Jamboree MTB di Daerah Sik.



Geopark Negeri (Langkawi dan Jerai)
88. Sungai Batu yang terletak di Daerah Kuala Muda merupakan tapak arkeologi yang berusia 2,000 tahun, dan merupakan tamadun yang tertua di Asia Tenggara.

89. Sungai Batu juga merupakan salah satu daripada 26 geotapak di dalam Jerai Geopark.

90. Jerai Geopark, yang akan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman, akan menjadi mercu tanda geopark negeri yang kedua di Kedah dan sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Malaysia, selain Langkawi UNESCO Global Geopark.

91. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan membangunkan beberapa program pelancongan yang bertujuan untuk memperkenalkan Geopark Negeri (Jerai dan Langkawi) ke persada dunia agar dapat menarik lebih ramai pelancong asing.

The Heritage Trail Of Kedah Sultanate
92. Kesultanan Kedah juga merupakan antara kesultanan tertua di Asia Tenggara.

93. Sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Negeri Kedah yang ke-29, dan bagi menelusuri sejarah peradaban Kesultanan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri akan menyusun program pelancongan yang dapat menceritakan sejarah Kesultanan Negeri Kedah kepada masyarakat awam.

94. Antara program pelancongan yang akan diadakan ialah THE HERITAGE TRAIL OF KEDAH SULTANATE.

95. Program ini juga merupakan satu bentuk perjalanan yang bertujuan untuk mempelajari sejarah dan susur galur Kesultanan Negeri Kedah, bermula dari Kesultanan Sultan Mudzaffar Shah sehingga kini.

Pelancongan Agro
96. Selari dengan matlamat pembangunan lestari, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan program pelancongan agro dan pelancongan eko di kawasan hutan simpan dan kawasan luar hutan simpan. Pelaksanaan hasrat ini adalah bagi menjana hasil baharu sebagai gantian hasil pembalakan.

97. Penghasilan tanaman pelbagai jenis herba boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan baharu pelancongan di Kedah. Sebuah kawasan khusus akan dibangunkan di Lubuk Semilang, Langkawi, sebagai kawasan pengeluaran herba bagi tujuan bekalan ubat-ubatan tradisional-moden, dan pada masa yang sama sebagai satu pilihan destinasi pelancongan.

98. Bagi menyerlahkan lagi potensi Gunung Jerai sebagai salah satu tarikan pelancongan, Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan sebuah taman flora dan fauna di kawasan tanah tinggi tersebut.

Pelancongan Eko

99. Bagi memastikan kelestarian alam semula jadi, pelancongan eko turut diberi perhatian untuk dibangunkan sebagai sumber hasil baharu bagi menggantikan hasil pembalakan yang dihentikan. Pelancongan yang berasaskan alam semula jadi ini akan menyumbang kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam dan hidupan liar.

100. Oleh itu, kawasan Ulu Muda akan dibangunkan sebagai lokasi pelancongan eko.

101. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti beberapa kawasan hutan yang kaya dengan khazanah alam. Terdapat banyak lokasi air terjun yang indah dan boleh diperkenalkan sebagai daya tarikan pelancongan.

102. Kedah juga mempunyai banjaran gunung ganang hebat dan menawan, seperti Banjaran Bintang yang terletaknya Gunung Bintang dan Gunung Inas. Kawasan-kawasan berkenaan akan dibangunkan secara lestari dan dikomersilkan sebagai tempat tarikan pelancongan utama untuk menjana hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.

103. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk memohon peruntukan dari Kerajaan Persekutuan bagi memulihara hutan simpan seperti yang diumum Menteri Kewangan dalam Bajet Nasional 2019.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)

104. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 500 ribu bagi tujuan menaik taraf kawasan industri sedia ada, dan membangunkan kawasan industri yang baharu dengan memfokuskan kepada pertumbuhan industri PKS.

105. Antara bidang tumpuan yang diberi penekanan ialah penghasilan produk halal dan patuh syariah.

106. Kerajaan Negeri bercadang untuk merapatkan hubungan dagang melalui Segitiga Pertumbuhan Ekonomi - Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang melibatkan PKS dari ketiga-tiga negara.

107. PKS Kedah akan diperkemaskan supaya mampu bersaing di persada antarabangsa.

108. Program seperti Rundingan Meja Bulat dan Pemadanan Perniagaan akan diadakan bagi membuka peluang kepada PKS Kedah memasarkan produk-produk keluaran mereka ke Indonesia dan Thailand.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

109. Demi memastikan pertumbuhan industri PKS Kedah dapat berkembang dengan baik dan pesat, pemerkasaan kolaborasi melalui platform ‘Quadruple Helix’, dengan izin, perlu diutamakan.

110. Model seumpama ini dapat bergerak seiring dengan inovasi yang lebih terbuka, atau ‘Open Innovation’, dengan izin, melalui hubungan dan sinergi antara pihak Kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi, pemain industri dan masyarakat.

111. Hasilnya, isu dan masalah yang dihadapi oleh PKS dapat diketahui dan diatasi bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan.

112. Selain itu, Kerajaan Negeri akan memperkasakan Tabung Pinjaman Mikrokredit di bawah seliaan Unit Pembangunan Usahawan Kedah, yang akan membantu pengembangan industri PKS. Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri juga akan terus dilibatkan.

STRATEGI 3: PENGUPAYAAN MODAL INSAN


YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PENDIDIKAN DAN LATIHAN

113. Kerajaan Negeri akan memastikan anak Kedah tidak tercicir dalam pendidikan, malah berpeluang mendapat pendidikan yang baik meliputi pelbagai bidang ilmu.

114. Menerusi inisiatif tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 2.5 juta untuk program pendidikan yang menyumbang kepada peningkatan penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada anak-anak Kedah.

115. Bagi menempuhi zaman yang semakin mencabar, bidang pendidikan seharusnya diberi tumpuan utama sejajar dengan pepatah ‘Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya’.

116. Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan pasaran di Kedah seperti kejuruteraan kimia untuk Kedah Rubber City; robotik dan “artificial intelligence” (AI) untuk Kedah Science and Technology Park; aero-angkasa untuk Kulim International Airport; pengurusan logistik untuk Special Border Economic Zone; dan lain-lain.

117. Pendekatan pendidikan Kedah juga akan melahirkan graduan-graduan yang bersedia untuk mengaplikasikan Dasar Nasional Industri 4.0 (Industry 4WRD) seperti yang dilancarkan oleh Kerajaan Pusat.

118. Bagi menterjemahkan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Projek Perintis Kelas Pintar di sekolah-sekolah terpilih sebagai kemudahan untuk mempelajari, mendalami dan mengalami sendiri perubahan yang dimaksudkan oleh “The Fourth Industrial Revolution, IR4.0”.
119. Selain itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dijadikan sebagai “Pilot Spot IR4.0” bagi tujuan kajian dan pengaplikasian IR4.0.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

BELIA TUNGGAK NEGERI


120. Sebagai galakan kepada anak-anak muda untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, Kerajaan Negeri merancang untuk mewujudkan “Youth Town”, dengan izin, di beberapa kawasan perbandaran terpilih.

121. Bagi menghidupkan suasana malam di bandar-bandar utama, konsep Kafe Jalanan atau “Street Cafe”, dengan izin, akan diwujudkan dan diusahakan oleh para belia.

122. Konsep “Street Cafe” akan diselaraskan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar pelaksanaannya kelak dapat dizahirkan sebaik mungkin.

123. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM 4.0 juta bagi membina dan menaik taraf ruang niaga di kawasan-kawasan PBT.

STRATEGI 4: PEMBANGUNAN KECEMERLANGAN BAKAT
YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

MEMACU INDUSTRI SUKAN

124. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 14.9 juta bagi memacu pembangunan industri sukan.

125. Peruntukan ini merangkumi pewujudan program pengembangan bakat sedia ada dan pencarian bakat-bakat baharu. Antara kegiatan yang akan dijalankan ialah pembangunan atlet dan jurulatih, menaik taraf prasarana sukan, dan pembinaan kompleks sukan berpusat.

126. Selain itu, pembangunan program sukan utama akan melibatkan jenis sukan seperti bola sepak, badminton, skuasy, tenis, bola keranjang, hoki dan lain-lain.

127. Bagi memenuhi hasrat tersebut, fungsi Majlis Sukan Negeri Kedah perlu diperkemaskan. Pengurusan sukan juga perlu distruktur semula agar matlamat pembangunan sukan yang dihasratkan dapat direalisasikan.

128. Negeri Kedah juga sedang berada di landasan yang tepat untuk melangkah ke arah penghasilan pelumba motosikal bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. Langkah ini akan semakin terserlah apabila pembinaan Kompleks Litar Sukan Bermotor di Sungai Petani pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai RM 70 juta siap kelak. Bagi memastikan projek ini disiapkan dengan sempurna, kepakaran Sepang International Circuit telah dilibatkan semula.

129. Litar lumba ini bukan sahaja dapat memacu pembangunan industri sukan bermotor, malah turut menyumbang kepada pengaliran masuk para pelancong asing. Litar lumba ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

130. Serentak dengan itu, hasil dari industri hiliran berkaitan sukan pemotoran juga dapat dijana.

131. “E-Sports”, dengan izin, atau sukan elektronik, ialah sukan baharu pada abad ini.

132. Bagi menyahut seruan Kerajaan Persekutuan yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub E-Sukan di Asia, Kerajaan Negeri akan menyediakan prasarana asas dan program tertentu selaras dengan seruan tersebut.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PEMERKASAAN WANITA

133. Bagi memastikan wanita berkerjaya berasa tenang ketika keluar bekerja, Kerajaan Negeri akan meneruskan pembinaan pusat kemudahan penjagaan bayi dan anak-anak kecil.

134. Maka, sejumlah RM 200 ribu akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat penjagaan tersebut di lokasi terpilih. Selain itu, perolehan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan juga akan diusahakan bagi maksud yang sama.

135. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membuka peluang kepada wanita di Kedah supaya terlibat dalam program keusahawanan dan perniagaan kecil. Hal ini akan dilakukan melalui pembangunan modul latihan, termasuklah memberikan sejumlah modal permulaan perniagaan.

136. Program ini akan diselia oleh Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK).

137. Kerajaan Negeri juga akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memperkemaskan lagi pelaksanaannya.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

INSTITUSI AGAMA

138. Dalam usaha untuk memperkasakan lagi fungsi masjid sebagai pusat kecemerlangan masyarakat, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 2.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf institusi tersebut.

139. Oleh yang demikian, masjid diharapkan menjadi pusat rujukan dan aktiviti setempat kepada seluruh masyarakat.

140. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan sebarang permasalahan yang timbul berkait dengan umat Islam dapat diatasi dan diselesaikan dengan sebaik mungkin. Oleh itu, RM 2.0 juta diperuntukkan bagi memperkemaskan struktur pengurusan, serta menaik taraf Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah.

141. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Mahkamah Syariah Bergerak (myReCourt) bagi tujuan pendaftaran kes berkaitan syariah di semua daerah.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

PERPADUAN KAUM


142. Prinsip Maqasid Syariah yang menekankan keharmonian antara kaum dan agama perlu dititikberatkan. Hal ini bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

143. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM 1.5 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan program muhibah antara kaum, dan menaik taraf tempat ibadat sedia ada.

STRATEGI 6: AMALAN TERBAIK GLOBAL (GLOBAL BEST PRACTICES)

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

144. Perancangan merupakan elemen terpenting dalam pentadbiran. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri memerlukan satu lonjakan perubahan bagi memenuhi cabaran hari-hari mendatang.

145. Maka, satu pelan hala tuju yang komprehensif dan strategik perlu dibentuk agar pentadbiran negeri akan lebih fokus kepada pencapaian disasarkan atau ‘expected outcomes’, dengan izin.

PELAN PEMBANGUNAN KEDAH


146. Sebagai titik tolak kepada pencapaian hasrat tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 850,000.00 untuk membangun dan melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah di bawah teraju Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

147. Dengan wujudnya pelan hala tuju yang komprehensif ini, pentadbiran negeri akan berubah ke arah Amalan Terbaik Global (Global Best Practices) yang memfokuskan kepada urus tadbir yang lebih cekap, berakauntabiliti, dan mementingkan ketelusan, selain responsif. Fokus ini mestilah mengutamakan keperluan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan terbaik.

148. Pelan Pembangunan Kedah ini berasaskan kepada 6 teras strategik, iaitu:

1. Meningkatkan Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat;
2. Memperkukuhkan Pertumbuhan Ekonomi Strategi;
3. Memacu Perniagaan, Keusahawanan dan Pelaburan;
4. Memperkasakan Amalan Terbaik Global;
5. Mempercepatkan Transformasi Digital; dan
6. Memantapkan Pembangunan Modal Insan dan Bakat.

149. Pelan ini akan bermula di peringkat Kerajaan Negeri, dan diperluaskan ke semua daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi kerajaan yang lain.

150. Perancangan pembangunan akan ditumpukan kepada prinsip kebolehlaksanaan pembangunan agar keberkesanan pelaksanaannya dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan.

151. Semua ini akan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih rancak.

“PENINGKATAN PENGETAHUAN”

152. Peruntukan khas juga akan diadakan bagi menyediakan satu platform meningkatkan pengetahuan dan ilmu kepada Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengurus di Syarikat-syarikat Berkait Kerajaan ‘Government Linked Companies’ (GLCs) Kerajaan Negeri.

153. Platform ini akan dimanfaatkan sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk mengembangkan dan menambah ilmu pengetahuan, selain mengasah bakat kepemimpinan para pegawai agar dapat memantapkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat .

154. Individu yang berpengetahuan luas dan berpandangan jauh amat diperlukan pada masa ini. Mereka merupakan kelompok penggerak yang berfikir di luar kotak, serta yakin dan berani membuat perubahan ke arah pembangunan dan pentadbiran yang kekal relevan dengan perkembangan dunia.

155. Keberanian dan kesediaan kita untuk meningkatkan daya saing menerusi penerokaan bidang baharu, selain merebut peluang yang ada, akan dapat diseimbangkan dengan penggunaan ilmu yang dipelajari.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

E-KERAJAAN


156. Kelangsungan kepada usaha untuk merapatkan jurang digital dalam pentadbiran, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan infrastruktur asas kepada pembentukan E-Kerajaan. Matlamatnya adalah untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih efisyen dan efektif.

157. Maka, RM 3.9 juta diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf prasarana sedia ada. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk membangunkan sistem E-Kerajaan supaya matlamatnya boleh dicapai.

PENUTUP


Terima kasih kepada penjawat awam

158. Sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada 2 November 2018 yang lalu, Kerajaan Negeri mencadangkan bayaran khas sebanyak RM 500 kepada semua penjawat awam lantikan negeri bagi Gred 54 dan ke bawah.

159. Pembayaran akan dibuat pada Disember 2018. Bayaran khas ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam negeri selain membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

160. Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang bertujuan untuk mewujudkan kesefahaman dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai agama harus dikekalkan.

161. Visi dan misi Kerajaan Negeri ialah kemajuan dan kemakmuran negeri dapat dilangsungkan secara adil dan saksama. Sehubungan itu, mengambil kira hubungan baik yang sedia terjalin dengan negara jiran, Thailand, Kerajaan Kedah berhasrat meningkatkan usahasama dalam projek-projek khusus untuk manfaat kedua-dua pihak.

162. Kerajaan Negeri yakin bahawa pendekatan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi Kedah untuk jangka masa panjang.

163. Adalah hasrat Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kedah untuk melihat pendapatan isirumah rakyat Kedah meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh 15 tahun akan datang, Insha Allah. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

164. Kerajaan Negeri mengakui bahawa jumlah wang dalam kantung negeri tidak banyak dan perlu mengehadkan perbelanjaan kepada sektor-sektor utama sahaja ketika ini.

165. Walaupun dalam kesempitan dana, Kerajaan Negeri tidak mahu menjadikan pembalakan sebagai sumber untuk menambah pendapatan. Tidak sekali-kali kerajaan ini berhasrat untuk menggadai khazanah hutan kerana implikasinya terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk amat buruk sekali. Kita juga sedar betapa aktiviti pembalakan menggugat eko-sistem serta menyebab berlakunya banjir dan mencemar sumber air.

166. Kerajaan Negeri sedar bahawa Bajet 2019 yang dibentangkan ini tidaklah luar biasa dan menakjubkan. Tetapi, begitulah hakikat sebenar mengenai kedudukan kewangan negeri ketika ini. Sebanyak itu sahaja wang yang kita ada, maka kita mengambil pendekatan yang realistik dan berhemah dalam menguruskan perbelanjaan negeri. Kerajaan Negeri tidak mahu merangka belanjawan yang “syok sendiri”, dengan mengumumkan pelbagai projek mega dan peruntukan besar padahal dana untuk menunaikan janji-janji tersebut tidak mencukupi.

167. Semoga rakyat memahami keadaan sebenar dan menyokong iltizam kerajaan untuk memakmurkan Negeri Kedah dan mensejahterakan kehidupan warganya.

168. Berbekalkan doa daripada seluruh rakyat, serta niat yang kukuh terpasak di jiwa, marilah kita bersama bernaung di bawah satu pakatan, dan sederap menuju harapan jaya.

169. Kepada Allah jualah kita berserah, agar semuanya berakhir dengan takdir yang indah.

170. Hasrat kerajaan ini hanya satu, Harapan Bersama, Makmurkan Kedah.

YANG BERHORMAT DATO’ SPEAKER,

Saya Mohon Mencadang.


SEKIAN.

WABILLAHITAUFIQ WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bajet Kedah 2019 (Ucapan Penuh) Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top