Latest News

Saturday 24 November 2018

Ucapan Penuh YAB Menteri Besar di Majlis Pemasyhuran Jerai Geopark



UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR NEGERI KEDAH DARUL ALAM

PEMASYHURAN JERAI GEOPARK
SEMPENA PERTABALAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
AL AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN KE-29

SABTU | 24HB NOVEMBER 2018 | 9.40 PAGI


Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, salawat serta salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan kaum kerabat Baginda serta para sahabat.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun.

1. Patik bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Jerai Geopark bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29.

2. Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua ke majlis ini amatlah besar ertinya buat patik-patik sekalian, khususnya warga Jerai Geopark dan sudah pastilah akan menjadikan majlis pada hari ini lebih bermakna lagi.

Menjunjung kasih Tuanku.

Ampun Tuanku.

3. Patik memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik mengalu-alukan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah serta meraikan keberangkatan Tetamu DiRaja, dan seterusnya menyembah ucapan di majlis yang bersejarah ini.

Ampun Tuanku.

Menghadap Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Menghadap Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.

Menghadap Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah.

Ampun Tuanku.

Yang Berhormat Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Yang Berhormat Dato’ Ammar Bin Sheikh Mahmood Naim, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Berbahagia Datin

Yang Berhormat Ahli - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah

Yang Berbahagia Dato’ / Tuan / Puan Pegawai-Pegawai Daerah

Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Yang Berbahagia Tan Sri / Puan Sri / Dato’ Seri / Datin Seri / Dato’-Dato’ / Datin-Datin

Seterusnya, para hadirin yang dihormati sekalian.

4. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah Subhanahu Wataala di atas qada dan qadarnya maka telah selamat dan sempurna berlangsungnya Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 22 haribulan Oktober yang lalu.

5. Patik-patik sekalian merafak sembah tahniah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Kedah Darul Aman.

6. Sesungguhnya limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Jerai Geopark sangat memberi makna yang besar kepada agenda yang dibawa oleh Jerai Geopark.

Ampun Tuanku,

7. Geopark bermaksud satu kawasan tertentu yang telah dikenalpasti keunikan sumber warisan semulajadinya. Ianya juga mementingkan aspek pengurusan pembangunan secara lestari dan mapan.

8. Selain itu, konsep geopark ini menggalakkan penglibatan rakyat untuk turut sama meraih manfaat melalui program-program yang dijalankan di dalam sesebuah geopark bagi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. 

9. Secara umumnya terdapat dua kategori geopark, yakni Geopark Kebangsaan dan UNESCO Global Geopark. Namun begitu, bagi setiap geopark yang telah menerima pengiktirafan sebagai samada Geopark Kebangsaan ataupun UNESCO Global Geopark, ciri-ciri setiap satunya adalah unik dan istimewa.

10. Pembentukan Jerai Geopark adalah terdiri daripada tiga elemen penting, yakni keunikan warisan geologi, warisan arkeologi dan warisan biodiversiti yang meliputi kawasan seluas 500 kilometer persegi di daratan dan 800 kilometer persegi secara keseluruhannya yang meliputi empat buah pulau, yang mengunjur dari Daerah Yan di sebelah utara dan Daerah Kuala Muda di selatan, dan dipisahkan oleh Gunung Jerai yang menjulang tinggi membelah awan tinggi di tengahnya.

11. Warisan geologi Jerai Geopark adalah unik dengan kejadian pembentukan Gunung Jerai itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai jenis batuan unik berusia sehingga 550 juta tahun. Batuan Gunung Jerai juga adalah amat istimewa dengan kewujudan batuan berkualiti setara permata atau “semi-precious gemstone” seperti “tourmaline”, “quartz”, “topaz”, ”garnet”.

12. Keunikan Jerai Geopark bertambah terserlah dan menakjubkan apabila terbongkar rahsia yang merubah catatan sejarah Nusantara. Jerai Geopark menyimpan rahsia besar Kerajaan Kedah Tua; tamadun silam Bangsa Kedah yang gemilang dan agung.

13. Penemuan penting warisan arkeologi di Sungai Batu di kawasan Lembah Bujang menyingkap rahsia keagungan kerajaan Negeri Kedah yang berusia lebih Dua Ribu Lima Ratus Tahun yang lalu iaitu seawal Tahun 586 Sebelum Masihi.

14. Penemuan fakta arkeologi ini bukan sahaja mendedahkan kewujudan sebuah Kerajaan Kedah yang sangat tua tetapi hasil kajian ke atas artifak-artifak yang ditemui telah mendorong pakar-pakar arkeologi tempatan dan dunia untuk memperakui bahawa Kerajaan Kedah Tua merupakan pusat perdagangan dan ekonomi serta pentadbiran yang penting di Alam Nusantara.

Ampun Tuanku,

15. Tamadun Kerajaan Kedah Tua telah dibukti dan disahkan wujud seusia tamadun-tamadun lain yang gah seperti Tamadun Rom, Yunani dan Mayan. Malahan, Kerajaan Kedah Tua sudah berkembang ratusan tahun lebih awal dari Angkor Wat di Cambodia dan Borobodur di Indonesia.

16. Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu pula menyimpan rahsia kehebatan teknologi purba dalam pembuatan besi. Penemuan taburan relau-relau tradisional dan bijih besi yang sangat banyak telah membuktikan perihal pentingannya Tamadun Sungai Batu dari segi ekonomi.

17. Ini telah dibuktikan dengan catatan-catatan purba tentang kehebatan kegiatan aktiviti melebur besi di sini dengan penghasilan bijih besi bermutu tertinggi sehingga tempat ini dikenali dengan pelbagai nama seperti “Chieh Cha” dalam catatan China, “Kadaram” dalam catatan India dan “Qadaha” dalam catatan Arab.

18. Di Jerai Geopark juga tersimpan khazanah flora dan fauna yang sangat unik dan kaya. Kepelbagaian flora dan fauna ini mampu menjadi tarikan kepada mereka yang ingin melihat keunikan spesis yang wujud dan hidup di dalam kawasan Jerai Geopark. Khazanah alam ini adalah aset penting bagi negeri dan negara.

19. Hutan paya bakau Sungai Merbok, contohnya, menyimpan 64 daripada 81 spesis bakau di Malaysia, dengan beberapa spesis unik dan terancam tumbuh di sini seperti spesis Berus Mata Buaya, selain beberapa spesis bakau hibrid.

20. Jerai Geopark turut menjadi habitat pelbagai spesis monyet serta hidupan liar lain seperti tapir, harimau akar dan spesis burung yang unik seperti Helang dan Enggang Badak.

21. Dari sudut pelancongan, kawasan Jerai Geopark menawarkan pelbagai tarikan yang sesuai untuk seisi keluarga. Dengan berkunjung ke sini, kita boleh menikmati percutian tanah tinggi dan menikmati udara yang sejuk dan nyaman di Gunung Jerai, menunggang kuda dan aktiviti ekstrem “para-gliding”, sambil menghayati pemandangan hamparan sawah padi dan laut yang terbentang luas.

22. Di sini terdapat banyak air terjun yang cantik dan selamat untuk mandi-manda dan berkelah. Kawasan Jerai Geopark turut menawarkan aktiviti menyusuri Sungai Merbok dan melawat kelong nelayan dan ternakan tiram, menikmati pelbagai jenis makanan laut di Tanjung Dawai, melakukan aktiviti “snorkeling” dan memancing di Pulau Songsong, selain mengenali budaya tempatan dengan menginap di inap desa.

23. Jerai Geopark telah mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Malaysia pada 18 Ogos yang lalu, dan kini bersama-sama dengan Langkawi UNESCO Global Geopark, Negeri Kedah telah mempunyai dua buah geopark.

Ampun Tuanku,

24. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Kedah agar Jerai Geopark suatu hari nanti diangkat statusnya sebagai UNESCO Global Geopark. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku beriltizam untuk mengembleng segala usaha bagi memelihara dengan sebaik-baiknya khazanah alam yang tidak ternilai di Negeri Kedah Darul Aman ini. Pelan pembangunan negeri menjamin kelestarian alam semula jadi melalui pemerkasaan sektor pelancongan yang diharap dapat meningkatkan kemakmuran negeri dan rakyatnya, Inshaa-Allah.

25. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyelidik dan Jawatankuasa Promosi Jerai Geopark atas usaha gigih sehingga menjadikan Jerai Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan dan majlis pemasyhuran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Sultan Kedah pada hari ini satu kenyataan. Ucapan terima kasih juga kepada Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan atas pengiktirafan kepada Jerai Geopark sebagai Geopark Kebangsaan.

Ampun Tuanku,

26. Mengakhiri persembahan ucapan patik, di kesempatan ini, patik mewakili seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat jelata khususnya masyarakat di dalam kawasan Jerai Geopark ini, sekali lagi menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku berdua mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Jerai Geopark bersempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

27. Patik dan sekalian rakyat juga memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilimpahi rahmat yang luas dengan kesihatan yang berpanjangan untuk terus bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran dan kedaulatan.

Amin Yarobbal Alamin.

DAULAT TUANKU.
DIRGAHAYU TUANKU.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh YAB Menteri Besar di Majlis Pemasyhuran Jerai Geopark Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top