Latest News

Wednesday 12 December 2018

Kedah bangun zon khas sektor aeroangkasa




Kerajaan negeri Kedah akan membangunkan sebuah zon khas bagi sektor aeroangkasa di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), di Bukit Kayu Hitam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam industri terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya melihat sektor komponen pembuatan kapal terbang banyak menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara, maka Kedah harus mengambil peluang itu dengan menyediakan kawasan khusus bagi tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara inisiatif bagi menarik pelaburan khususnya dalam industri aeroangkasa yang boleh dilakukan negeri ialah menyediakan tenaga kerja mahir dan lokasi manakala, daripada aspek insentif pula dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.

"Salah satu komponen dalam KSTP ialah adanya zon bagi aeroangkasa dengan harapan dapat menarik lebih banyak syarikat yang mengeluarkan komponen pesawat untuk melabur dan menempatkan kilang pemprosesan mereka di sini.

"Ini kerana kita dapat lihat dua sektor dalam aeroangkasa iaitu segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) menyumbang RM6.23 bilion, manakala material komposit pula RM6.6 bilion dalam pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Aerospace Composites Malaysia (ACM) Sdn Bhd dengan empat institusi pendidikan di Kedah dan Perlis bagi meningkatkan kemahiran golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan bernilai tinggi dalam industri aeroangkasa.

Empat institusi pendidikan itu ialah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP); Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS); Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra.

Mukhriz berkata, buat masa ini, pihaknya meminta bantuan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) termasuk khidmat nasihat dalam menarik pelaburan melalui industri aeroangkasa di Kedah.

Katanya, beliau percaya kedatangan pelabur dalam industri aeroangkasa mampu melonjakkan ekonomi negeri khususnya dalam menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada golongan muda.

"Kita masih di peringkat awal dalam usaha mendapatkan pelabur ke sini justeru kita meminta bantuan dari agensi Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan maklumat sektor mana dalam aeroangkasa yang sesuai kita bawa ke sini.

"Namun, saya percaya permintaan teknologi seperti ini akan meningkat khususnya dengan terlaksananya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kelak," katanya.

#KedahAmanMakmur
#KedahSerataRata
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah bangun zon khas sektor aeroangkasa Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top