Latest News

Friday 28 December 2018

Muhyiddin: Bersatu takkan ubah haluan lepas era Dr M


WAWANCARA | Bersatu akan tetap bertahan walaupun selepas berakhirnya era pengasasnya, kata presiden parti Muhyiddin Yassin.

Ketika wawancara khas pada hari Isnin lalu, beliau berkata Bersatu ialah wadah perjuangan dan bukan berjuang untuk pemimpinnya.

“Ia takkan berubah selagi ada matahari dan bulan, selagi bintang bersinar, selagi bunga masih mengembang, maka perjuangan kita masih kekal abadi,” katanya yang merujuk lambang bunga raya pada logo Bersatu.

“Walaupun pemimpin akan datang silih berganti. Macam lain-lain parti politik, presidennya takkan kekal berpuluh tahun, akan silih berganti. Jadi Dr Mahathir Mohamad sudah menggariskan landasan.

“Saya juga akan meninggalkan, dalam satu tempoh tak berapa lama lagi akan diambil alih orang baru

“Apa yang dia nak buat? Takkan (hendak) berhenti bila pemimpin itu tak ada lagi. Itu tak bermakna perjuangan.

“Kita mesti konsisten, mesti istiqamah, mesti ada lurus haluan kita dan jelas," kata beliau ketika sesi temu bual yang diadakan sempena perhimpunan agung Bersatu yang bermula hari ini.

Para pemimpin lama akan undur

Menurut Muhyiddin lagi, Bersatu tidak kekurangan pemimpin muda yang akan mewarisi perjuangan parti itu.

Beliau memberi contoh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pelapis kepimpinan parti hari ini.



“Saya tidak bimbang sangat dengan barisan pelapis kepimpinan parti kerana mereka akan muncul. Anak muda yang kami yakini dan ada di kalangan anak muda di dalam majlis tertinggi parti tidak diberikan jawatan (kerajaan) sehinggalah pada masa akan datang.

“Masa depan pelapis memang penting kita mahu supaya parti menjana tenaga yang sentiasa baru. Pemimpin-pemimpin lama akan berundur sampai masa saya akan berundur, Tun (Dr Mahathir Mohamad) mungkin akan berundur, yang muda akan ambil alih.

Bersatu amal demokrasi

Bercakap mengenai perubahan kepimpinan, Muhyiddin memberitahu pemberita cukup penting parti politik seperti Bersatu untuk mengamalkan demokrasi.

Beliau berkata anggota parti bebas memilih sesiapapun sebagai pemimpin.

“Tahun depan ada pemilihan, dan kita amalkan sistem demokrasi, dan sesiapa saja nak pilih siapa jadi apa itu terserlah pada perwakilan akan datang. Jadi di situ kalau ada perubahan, pasti akan ada perubahan.

“Di peringkat Armada (Pemuda Bersatu) akan berlaku, Srikandi (Wanita) akan berlaku. Saya fikir ahli akan lebih tahu apa yang mereka mahu.

"Kalau mereka memikirkan pemimpin tak lagi diperlukan, perlu diganti, mereka akan memutuskan bukan saya,” katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai khabar angin bahawa beliau mungkin akan menjadi pengerusi parti, manakala Mukhriz Mahathir pula akan mengambil alih jawatan presiden Bersatu.

Bersatu bukan Umno 2.0

Bersatu, atau nama pendaftaran rasminya Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ditubuhkan pada September 2016 oleh Mahathir, Muhyiddin dan beberapa pimpinan Umno yang meninggalkan parti itu selepas hilang keyakinan dengan perjuangannya.

Bersama, tiga anggota Pakatan Harapan, PKR, DAP and Amanah, Bersatu mencipta sejarah apabila gabungan itu mengalahkan Barisan Nasional pada PRU14mbagi membentuk kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, selepas mengalahkan BN, pemimpin Bersatu dilihat telah menerima ahli-ahli Umno termasuk beberapa pemimpin dalam parti itu. Ia suatu perkembangan yang menimbulkan kesangsian sesetengah pihak bahawa Bersatu berubah menjadi versi kedua Umno.

Muhyiddin bertegas menolak hal ini, walaupun mengakui hakikat terdapat ramai bekas Umno telah diterima masuk menjadi ahli Bersatu.

“Tak betul. Saya dah sebut berulang-ulang kali ini adalah PPBM (Bersatu), namanya pun, perlembagaan pun, dasar perjuangan pun telah dijelaskan. Tak sebut dalam (dasar Bersatu) itu Umno.



“Tapi saya bekas Umno, Dr Mahathir bekas umno, Muhkriz bekas Umno, tetapi kita sudah berhijrah tinggalkan perjuangan yang lampau dan lapuk sudah tidak memenuhi tuntutan asal nak bela agama, bangsa dan negara yang sebenarnya banyak kerosakan dilakukan rasuah yang bertimbun-timbun dan isu penyalahgunaan kuasa… jadi kita sudah hijrah tubuhkan PPBM," katanya lagi.

Muhyiddin menjelaskan meski pun terdapat ramai orang yang biasanya dikenali sebagai wajah Umno, beliau berkata perjuangan Bersatu telah memberi nafas baru kepada mereka.

Menurut beliau, sebahagian besar bekas anggota Umno yang menyertai parti itu kerana ramai yang sedar atau insaf.

Mungkin sesetengah berhasrat untuk menyertai kita, bukan jadi apa-apa tetapi bersama-sama dengan saf baru yang kita bentuk dalam Bersatu.

“Dasar kita dasar terbuka siapa sahaja berminat boleh sertai asalkan mereka patuh dengan perlembagaan, setia kepada pimpinan dan parti, sanggup berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.

“Maka mereka boleh minta masuk. Sebab itu kita sedia menerima. Kita juga ada dasar penerimaan ahli supaya orang tidak menjenamakan kita sebagai Umno 2.0,” tegasnya.

Jelasnya, parti itu berbeza dengan Umno dari sudut mereka mengamalkan pendekatan berbeza berhubung ketelusan dan rasuah.

“Itu cara perdekatan berbeda, kita mengamalkan sikap ketelusan, tentang rasuah.

Umno tak pernah sebut tentang rasuah, kita tentang rasuah dari pangkal ke hujung. Kita tentukan urus tadbir yang baik, kita laksanakan dalam kerajaan,” katanya.

Laporan Malaysia Kini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Muhyiddin: Bersatu takkan ubah haluan lepas era Dr M Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top