Latest News

Thursday 27 December 2018

Orang ramai puas hati dengan PM - Tinjauan UIAM



Orang ramai kekal berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menurut tinjauan yang dibuat Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Dapatan penyelidikan UIA tersebut berbeza dengan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini bahawa tahap kepuasan hati orang ramai terhadap perdana menteri telah menjunam jatuh.

Tinjauan itu merumuskan tidak ada perubahan ketara dalam tahap kepuasan orang ramai terhadap Dr Mahathir sebagai pemimpin politik dan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang memerintah sejak Ogos lepas, lapor Bernama hari ini.

Dr Mahathir masih mendapat sokongan daripada sebilangan besar rakyat tanpa mengira kaum, pendapatan, pendidikan dan jantina, dengan 62 peratus daripada responden menyatakan kepuasan mereka kepada beliau pada Ogos dan Disember.

Tinjauan ini merupakan kesinambungan daripada tinjauan pertama yang dijalankan pada Ogos 2018 mengenai isu-isu semasa nasional.

Pada 19 Disember, Rafizi memetik hasil tinjauan Invoke, sebuah NGO yang diasaskannya, mendakwa tahap kepuasan hati orang ramai terhadap Mahathir merosot daripada 72 peratus pada Jun lalu kepada 53 peratus bulan ini.

Mahathir menolak dakwaan Rafizi dengan membangkitkan ramalan Rafizi mengenai keputusan PRU14. Bekas MP Pandan itu berkata PAS tidak akan menang satu kerusi pun dalam pilihan raya umum itu.

Pada 9 Mei lalu, PAS menang 18 kerusi parlimen, 90 kerusi DUN dan menawan dua negeri.

Tinjauan terbaru UIA ini juga mendapati tahap kepuasan terhadap pemimpin lain iaitu Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas perdana menteri Najib Razak meningkat atau turun sebanyak satu peratus atau kekal pada tahap sama seperti pada Ogos 2018.

Bagaimanapun, hanya Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP mencatatkan peningkatan tahap kepuasan orang ramai daripada 36 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh yang sama.

Apabila responden ditanya parti mana yang akan mereka undi jika pilihan raya diadakan hari ini, 55 peratus memilih Pakatan Harapan (termasuk Warisan), Barisan Nasional (24 peratus) dan PAS (16 peratus).

Dalam tinjauan awal pada Ogos, 56 peratus menyatakan bahawa mereka lebih suka memilih untuk mengundi PH, berbanding BN (24 peratus) dan PAS (14 peratus).

Seperti tinjauan terdahulu, sokongan paling tinggi untuk PH ialah daripada masyarakat Cina (73 peratus) diikuti kaum India (56 peratus). Sebanyak 42 peratus masyarakat Melayu dan Bumiputera memilih PH, peratusan yang sama seperti pada Ogos.

Tinjauan pada Disember melibatkan 1469 responden manakala tinjauan pada Ogos melibatkan 1,500 responden.

Laporan Malaysia Kini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Orang ramai puas hati dengan PM - Tinjauan UIAM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top