Latest News

Sunday 26 May 2019

Harapan Rakyat — Kasih Ibu Darul Aman (KIDA)



Harapan Rakyat — Kasih Ibu Darul Aman (KIDA)

Seramai 4,511 golongan ibu yang berpendapatan rendah di negeri ini menerima bantuan kewangan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan menerusi program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang dilancarkan hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, penerima yang terpilih akan diberikan bantuan RM250 sebulan untuk membeli barang keperluan asas dan RM500 setahun untuk perbelanjaan rawatan kesihatan sekeluarga.

“Objektif utama KIDA adalah untuk menampung kos hidup melalui bantuan kewangan untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan kepada golongan ibu yang miskin dan miskin tegar di negeri ini.

“Kerajaan persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan program KIDA bagi tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini, hari ini.

Katanya, setiap penerima yang dipilih menerusi sistem eKasih diberikan kad KIDA bernilai RM250 sebulan dan RM500 setahun yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan di 100 kedai runcit dan mendapatkan rawatan di 78 klinik berdaftar di bawah program itu.

“Sistem kad pintar tanpa tunai akan digunakan dan pembelian hanya boleh dibuat di kedai-kedai runcit serta klinik swasta yang dilantik oleh kerajaan negeri. Kita jangkakan jumlah penerima akan meningkat selepas ini tetapi kita akan pilih yang betul-betul layak sahaja.

“Selain itu, senarai penerima KIDA ini juga akan dinilai semula setiap tahun untuk mengkaji dan mempertimbangkan kelayakan penerima,” katanya.

Mukhriz berkata, bagi memastikan pembasmian kemiskinan dapat diatasi secara holistik dan inklusif, NCIA juga akan mencari kaedah baharu dengan memperkenalkan program-program pembangunan modal insan dan keusahawanan termasuk ‘EmpowerNCER@Kedah’ dan ‘Entreprenuer@Kedah’.

“Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga penerima KIDA dengan menyediakan peluang kemahiran dan latihan keusahawanan terutamanya kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mereka keluar daripada kemelut kemiskinan,” katanya. - BERNAMA

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Harapan Rakyat — Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top