Latest News

Sunday 9 June 2019

Hormati Keputusan PM Melantik Latheefa Koya - Mukhriz


ARAU, 9 Jun 2019: Semua pihak hendaklah menerima serta menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu kerana ianya mengikut perlembagaan, kata Timbalan Presiden BERSATU, Dato, Seri Hj. Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Dato' Seri Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah, berkata Latheefa sendiri tidak boleh sesuka hati melepaskan jawatan walaupun didesak pelbagai pihak termasuk daripada parti komponen Pakatan Harapan.


“Tuan punya badan (Latheefa) tidak boleh berundur kerana lantikan beliau adalah daripada Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Mana boleh senang-senang dah lantik dia terus suruh berundur,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu Bahagian Arau di kediaman bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh di sini, hari ini.

Menegaskan pelantikan itu seharusnya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak, Mukhriz berkata: “Tun Dr Mahathir dah kata semalam muktamad. Kita harus menghormati keputusan Perdana Menteri. Lantikan Latheefa itu tidak harus dipersoal dan kita perlu beri peluang kepada dia untuk menjalankan tugas yang sangat berat.

“Beliau (Mahathir) sentiasa mendengar daripada semua pihak. Keputusan telah dibuat. Saya kira ia bukan satu jawatan yang mudah. Beliau melihat Latheefa lebih layak memegang jawatan itu,” kata Mukhriz.

Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lepas diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun, mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memohon untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya lebih awal, sebelum ia tamat pada 17 Mei 2020.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Hormati Keputusan PM Melantik Latheefa Koya - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top