Latest News

Wednesday 23 October 2019

KEDAH MOHON PERTIMBANGAN PERSEKUTUAN UBAH PINJAMAN AIR KEPADA GERAN




RABU (23.10.2019)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengharapkan pertimbangan kerajaan Persekutuan untuk mengubah pinjaman yang dibuat negeri ini bagi perbelanjaan infrastruktur air luar bandar sebelum 2001, kepada bentuk geran.


Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan dibuat Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyatakan, hanya infrastruktur air luar bandar dari 2001 hingga 2018 saja boleh dipertimbangkan untuk diubah daripada menjadi pinjaman kepada geran.

"Tetapi banyak juga infrastruktur air luar bandar di Kedah ini yang dibina sebelum 2001 antaranya empangan Ahning yang masih lagi didefinisikan sebagai hutang dalam 'buku' kerajaan negeri dan 'buku' Kementerian kewangan.

"Ini yang kita nak minta kerajaan Pusat pertimbangkan sebagai geran. Begitu pun timbul masalah kerana pinjaman dibuat pada masa itu adalah dari peminjam luar negara dan perkara itu menimbulkan kesulitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd. Samat (Pas-Sungai Limau) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Mohd. Azam mempersoalkan mengapa hutang untuk pembekalan air di negeri ini terlalu tinggi biar pun kebanyakan projek melibatkan infrastruktur luar bandar dan layak mendapat geran.
Terdahulu ketika menjawab soalan Mohd Isa Shafie (Pas-Belantek) yang bertanyakan mengenai hutang negeri kepada kerajaan pusat, Mukhriz berkata jumlah keseluruhan baki pinjaman yang masih belum selesai sehingga September 2019 adalah sebanyak RM2.68 bilion.

Menurutnya, jumlah pinjaman bekalan air mencatat angka terbesar iaitu RM1.83 bilion diikuti hutang pelbagai berjumlah RM416 juta.

"Hutang lain melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berjumlah RM416.2 juta diikuti pinjaman Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) sebanyak RM170.6 juta," katanya.

Mukhriz menambah, pembayaran hutang tersebut dilakukan mengikut kemampuan kerajaan negeri bagi memastikan tanggungjawab kepada kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan.

"Ini bukan perkara pelik kerana setiap negeri termasuk yang kaya sekali pun memang berhutang dengan kerajaan Persekutuan. Tetapi sebagai sebuah negeri berpendapatan rendah, jumlah di Kedah lebih sedikit," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KEDAH MOHON PERTIMBANGAN PERSEKUTUAN UBAH PINJAMAN AIR KEPADA GERAN Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top