Latest News

Sunday 13 October 2019

KOLABORASI BERSAMA UNIVERSITI TEMPATAN RANGKA PELAN TINDAKAN OPP KEDAH 2020-2035



AHAD (13.10.2019)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah berhasrat mewujudkan kolaborasi penyelidikan, pembangunan serta inovasi bersama universiti tempatan bagi merangka Pelan Tindakan Rangka Rancangan Jangka Panjang (OPP) Kedah 2020-2035.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pelan tindakan yang bakal dirangka itu mampu membantu Kedah untuk mencapai status ekonomi negeri maju.

"OPP baharu perlu dirangka kerana OPP Ketiga (2001-2010) telah pun tamat. Bajet 2020 pula dianggap sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020 manakala Rancangan Malaysia ke-11 juga akan berakhir dalam masa terdekat ini.

"Oleh itu perlu diwujudkan kolaborasi penyelidikan, pembangunan serta inovasi antara pihak universiti dan kerajaan negeri, khususnya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dengan merangka Pelan Tindakan OPP Kedah 2020-2035 bagi membangunkan ekonomi negeri demi mencapai status ekonomi negeri maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Pasca Bajet 2020 anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (Ecofi) dengan kerjasama BPEN di Hotel TH di sini, hari ini.




Hadir sama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani; Pengarah BPEN, Muhamad Mahazi Ibrahim serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Dalam sidang akhbar selepas itu Mukhriz menjelaskan, jalinan usaha sama antara kerajaan negeri dan universiti mampu membawa kemajuan tidak hanya kepada negeri malah kepada negara secara keseluruhan dengan penekanan diberi terhadap aplikasi teknologi terkini dalam urusan harian.

"Sebagai contoh UUM sendiri sangat memberi penekanan terhadap Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Ini satu pendekatan yang amat penting di mana kalau kita tidak menguasainya, kita akan ketinggalan tanpa mampu bersaing dengan negara-negara maju dan membangun.

"Sebaliknya jika kita memberi tumpuan terhadap revolusi industri itu, tidak mustahil untuk Malaysia memintas negara-negara maju yang lain. Cabaran untuk menguasai IR4.0 memang besar namun di sebalik semua itu, ada peluang yang perlu kita manfaatkan," katanya.

Tambahnya, perkara itu telah dibangkitkan dalam pertemuannya bersama pihak UUM dengan harapan agar tumpuan turut diberikan terhadap ekonomi digital dan kecerdasan buatan.

"Dalam bab kewangan contohnya, kebanyakannya sudah didigitalkan. Jadi kita pun jangan sesekali terlepas pandang atau peluang.

"Sebab itu kerjasama universiti dan industri ini sangat penting. Kedua-dua pihak menguruskan sumber yang terhad dan kalau kita gabungkan kedua-duanya, insya Allah kita dapat atasi semua masalah," katanya.




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KOLABORASI BERSAMA UNIVERSITI TEMPATAN RANGKA PELAN TINDAKAN OPP KEDAH 2020-2035 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top