Latest News

Wednesday 9 October 2019

MBI KEDAH JALIN KERJASAMA BANGUNKAN SEKTOR TENAGA HIJAU DAN TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI



RABU (09.10.2019)

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) hari ini menjalin dua kerjasama bagi membangunkan sektor Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui di negeri Kedah.

Jalinan kerjasama ini membabitkan MBI Kedah bersama Lembaga Pertanian Muda (MADA) dan MBI Kedah bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan GreenTech Malaysia.

Majlis yang diadakan sempena 10th International GreenTech & Eco Products Exhibition & Conference disaksikan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin serta Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ooi Tze Min.

MBI Kedah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mahadi Mohamad, manakala MADA diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Syed Zainuddin Syed Zain.

Bagi jalinan kerjasama kedua, GreenTech diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ahmad Syed Mustafa manakala LADA diwakili Ketua Penolong Pengurus Kanan Bahagian Pelancongan, Norazhar Anas.

Jalinan kerjasama antara MBI Kedah dan MADA adalah bagi membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui di dalam kawasan MADA, manakala kerjasama bersama dua agensi lain bertujuan membangunkan mobiliti lestari di Pulau Langkawi.

Pembangunan ini termaktub di dalam rangka Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperharui Negeri Kedah yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Julai lalu.

Pelan induk tersebut menggariskan beberapa aktiviti utama dalam pembangunan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui di Kedah, termasuklah solar, biomas, biogas dan tenaga hidro sebagai salah satu cara bagi memastikan kelestarian alam selain menjana pendapatan baharu untuk negeri.

Bagi kerjasama bersama MADA, MBI Kedah berhasrat membangunkan beberapa projek antaranya solar terapung, tenaga hidro serta meneroka potensi pembinaan turbin angin di kawasan sekitar Tasik Pedu, Tasik Ahning dan Tasik Muda.

Ketiga-tiga kawasan yang berada di bawah seliaan MADA itu berpotensi untuk dibangunkan dengan projek berkenaan kerana memiliki kawasan takungan air yang luas selain bentuk muka bumi yang berbukit.

Pembangunan projek ini mampu menyelesaikan isu tanah selain mendatangkan pelbagai manfaat antaranya pemerkasaan sosio-ekonomi setempat. Langkah itu juga mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat selain memanfaatkan mereka yang terlibat dalam sektor ternakan dan pertanian.

Selain itu, kerajaan negeri turut bercadang untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat kecemerlangan bagi penyelidikan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui untuk dimanfaatkan mana-mana pihak termasuk sektor kerajaan, swasta mahu pun institusi pengajian tinggi.

Kolaborasi ini selaras dengan matlamat utama MADA untuk mendidik golongan petani agar dapat menerima transformasi baharu dari aspek amalan, teknologi moden dan pendekatan diambil dalam sektor pertanian.

Manakala bagi usahasama di Langkawi, MBI Kedah berhasrat menjadikan pulau legenda itu sebagai kawasan rendah karbon, sesuai dengan statusnya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Pembangunan ini juga selaras dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah baru-baru ini, yang menyarankan supaya Langkawi dijadikan sebagai pulau rendah karbon bagi mengekalkan statusnya sebagai antara 10 pulau peranginan terbaik di dunia.

Kerjasama antara ketiga-tiga pihak ini akan menumpukan kepada pengangkutan darat terutamanya kenderaan milik kerajaan serta pengangkutan awam. Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan persekitaran yang baik dan melestarikan alam sekitar di pulau tersebut.

Menerusi kerjasama ini, MBI Kedah bersama dengan LADA dan GreenTech berhasrat untuk menjadi katalis dalam pembangungan mobiliti lestari di pulau legenda tersebut.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab memacu pembangunan Langkawi, LADA mampu memainkan peranan dengan mengeluarkan polisi untuk memberi ruang kepada penggunaan lebih banyak kenderaan elektrik, bagi mengurangkan pengeluaran karbon di pulau tersebut.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: MBI KEDAH JALIN KERJASAMA BANGUNKAN SEKTOR TENAGA HIJAU DAN TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top