Latest News

Sunday 20 October 2019

Ucapan Penuh YAB MB ( Bajet Kedah 2020 )



(SIDANG BAJET 2020 )

UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI UTAMA HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH

AHAD, 20 OKTOBER 2019

Bismillahirrohmanirrahim

Alhamdulillah Hi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbiya’ Iwalmursalin, Saidina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wasallam, Wa’ala Alihi Washohbihi Ajmain

Assalamualaikum Warahmatullahi Hi Taala Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Salam Kedah Aman Makmur - Harapan Bersama Makmurkan Kedah

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Para Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Serta, hadirin yang dihormati sekalian,

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua Ahli Yang Berhormat dapat hadir di dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-14.

2. Pada pagi ini, saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana berkesempatan untuk membentangkan Bajet Negeri Kedah bagi tahun 2020. Dalam merangka Bajet ini, perancangan yang teliti telah dibuat bagi memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri ikhlas dan mencuba sebaik mungkin untuk menyantuni dan memenuhi keperluan rakyat secara keseluruhannya.

3. Dalam merangka Bajet ini, Kerajaan Negeri juga mengambil kira beberapa faktor, termasuklah kekangan dari segi sumber pendapatan yang dapat dijana, selain keberhasilan dari projek yang sedang dilaksanakan dan bebanan hutang yang perlu ditanggung oleh Kerajaan.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

4. Suasana aman makmur yang dinikmati rakyat di bawah Kerajaan Pakatan Harapan membolehkan semua pihak menumpukan usaha dan tenaga dalam melaksanakan tugas dan amanah masing-masing.

5. Berbeza kaum dan agama bukanlah penghalang keharmonian malah merupakan kekuatan kepada negeri ini. Ini terbukti apabila semua pihak berjaya memainkan peranan masing-masing dalam memaju dan memakmurkan Negeri Kedah.

6. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Ar-Ruum Ayat 22 yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan ”.

7. Semangat persaudaraan dan perpaduan yang akrab di antara warga negeri ini jelas dapat dilihat di saat Negeri Kedah menghadapi ujian dan bencana. Bermula dengan kejadian ribut yang melanda daerah Pendang pada bulan Julai yang melibatkan 95 keluarga, diikuti dengan Bencana Taufan Lekima yang melibatkan 2,304 buah rumah, dan baru-baru ini banjir di Baling (48 keluarga), Sik (11 keluarga), Kulim (30 keluarga) dan Kubang Pasu (8 keluarga), Kerajaan Negeri dan ahli masyarakat bersatu tenaga memberi bantuan kewangan dan memperbaiki kerosakan rumah mangsa-mangsa bencana ini.

PENDAHULUAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

8. Negeri Kedah merupakan negeri yang mempunyai sumber hasil yang terhad. Kerajaan Pakatan Harapan, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, telah menyediakan perancangan yang menyeluruh untuk memajukan negeri ini. Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada perbelanjaan secara berhemah, mengelakkan apa sahaja bentuk pembaziran, dan mengutamakan petunjuk keberhasilan utama (key result indicators) dan tidak lagi petunjuk prestasi utama (key performance indicators) dalam setiap perbelanjaan.

9. Perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri akan dilaksanakan sebaik mungkin dan kita juga akan bekerjasama bagi memastikan perkara-perkara di bawah Kerajaan Persekutuan tetap disempurnakan bagi memenuhi aspirasi rakyat.

10. Menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, penekanan diberikan untuk merapatkan jurang ekonomi di antara negeri-negeri. Sebagai salah sebuah dari enam negeri yang tergolong sebagai negeri miskin, Kedah perlu lebih proaktif dalam mencari peluang dan ruang yang ditawarkan untuk membantu meningkatkan ekonomi negeri.

11. Kerajaan Negeri sedang mengurangkan bebanan hutang yang ditanggung berjumlah RM 2.68 bilion. Sebahagian besar hutang ini yang berjumlah RM 1.78 bilion adalah untuk membiayai projek prasarana bekalan air. Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk menukar skim pembiayaan daripada pinjaman kepada geran, setakat ini, sebanyak RM 698.99 juta bagi projek Bekalan Air Luar Bandar, tertakluk kepada keputusan Kerajaan Negeri untuk migrasi perkhidmatan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

12. Kerajaan Negeri masih memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempertimbangkan senarai tambahan pinjaman projek bekalan air untuk dijadikan geran bagi mengelakkan kesulitan kewangan kepada SADA.

13. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga mencari jalan membuat pembayaran hutang sedia ada secara berperingkat, berbanding amalan lalu yang membayar hutang apabila mempunyai kemampuan atau pun “payable when able”. Bagi maksud ini, sejumlah peruntukan perlu disediakan dalam Bajet tahunan.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

14. Sepanjang tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menggembleng tenaga melalui pelbagai jabatan, badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dalam melaksanakan semua inisiatif pentadbiran dan pembangunan Negeri Kedah yang terkandung di dalam Bajet Negeri Kedah Tahun 2019.

15. Secara keseluruhannya, Kedah mencapai prestasi ekonomi yang baik. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah pada tahun 2018 berkembang 4.2 peratus setahun berbanding KDNK Malaysia sebanyak 5.0 peratus pada tahun yang sama. Sektor perkhidmatan dan pembuatan turut mencatat pertumbuhan yang kukuh. Kedua-dua sektor ini menyumbang sebanyak 84.6 peratus kepada KDNK Kedah.

16. Pendapatan per kapita terus meningkat daripada RM 19,800 pada tahun 2016 kepada RM 21,410 pada tahun 2018. Walaupun kedudukan Negeri Kedah masih rendah daripada purata nasional sebanyak RM 44,682, Kerajaan Negeri melihat perkara ini sebagai pendorong untuk berusaha lebih gigih bagi memajukan ekonomi negeri demi manfaat rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

17. Sukacita saya melaporkan bahawa beberapa projek ikonik yang dirancang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah telah mula dilaksanakan.

18. Projek pembangunan Kedah Rubber City misalnya, akan dimulakan dengan kerja-kerja infrastruktur bagi fasa pertama yang melibatkan keluasan 504 ekar. Ini bagi memenuhi perancangan pembangunan tujuh kluster industri iaitu produk lateks termaju, tayar dan produk berkaitan tayar, produk kejuruteraan getah, getah termaju dan bahan getah, komponen getah automotif, bioteknologi serta perkhidmatan dan sokongan. Jangkaan nilai pelaburan bagi fasa pertama adalah sebanyak RM 780 juta dengan penyertaaan lapan (8) buah syarikat yang boleh menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada 400 orang.

19. Kerajaan Negeri menyasarkan kemasukan 20 sehingga 30 syarikat luar sebagai yang berpotensi untuk melabur (potential investors) berikutan sambutan yang diterima ketika Kerajaan Negeri menyertai pameran “19th International Exhibition on Rubber Technology” di Shanghai, China pada September yang lalu.

20. Bagi pembangunan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) yang merangkumi zon perindustrian bebas, pusat perniagaan komersial, pelabuhan darat dan landasan keretapi, sukacita saya memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan, kerja-kerja bagi membina depo trak bernilai RM 25 juta telah pun dimulakan.

21. Kerajaan Persekutuan terus menyokong projek tersebut dengan memperuntukkan RM 50 juta menerusi Belanjawan 2020 untuk membiayai komponen lain dalam projek ini. Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Northern Gateway Sdn Bhd sedang melaksanakan kajian mengenai cadangan membina landasan keretapi Spur Line Bukit Kayu Hitam. Cadangan tersebut akan dimuktamadkan akhir tahun ini.

22. Kerajaan Negeri yakin projek pembangunan Bukit Kayu Hitam SBEZ akan memangkin pertumbuhan pesat di kawasan bandar sempadan, dan limpahan serta manfaat dari pembangunan ini akan dirasai di seluruh Negeri Kedah dan wilayah utara Semenanjung Malaysia. Pembangunan Bukit Kayu Hitam SBEZ dijangka menawarkan 4,460 peluang pekerjaan.

23. Bagi projek Kedah Science and Technology Park (KSTP), kerja-kerja awalan fasa pertama seluas 283 ekar daripada keluasan 1,952.99 ekar telah dimulakan. Projek ini diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

24. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju menerima tawaran pelabur dari China untuk menjalankan aktiviti pembangunan bagi kluster Agro Sains, berkeluasan 665 ekar di dalam Fasa 1B KSTP, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak 450 juta Dolar Amerika.

25. Alhamdulillah, kesungguhan Kerajaan Negeri turut disokong oleh Kerajaan Persekutuan yang telah memberi kelulusan khas ke atas Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Lebuhraya Koridor Utara dari Bandar Baharu ke Sungai Petani bernilai RM 1.7 bilion dan Kawasan Industri di Sidam seluas 1,600 ekar. Pembangunan projek-projek ini dijangka menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan.

26. Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kerajaan Negeri telah menerima kemasukan pelaburan berjumlah RM 7.71 billion bagi tempoh Januari hingga Jun 2019. Pencapaian ini sangat memberangsangkan, berbanding jumlah pelaburan yang diterima dalam tempoh yang sama tahun 2018, sebanyak RM 2.3 bilion.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

27. Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan pembangunan kemudahan bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk Negeri Kedah. Sejajar dengan keperluan situasi bekalan air yang agak kritikal buat masa sekarang, sejumlah RM 939.57 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf projek berikut :

a) Loji Rawatan Air Pelubang
b) Loji Rawatan Air Jenun Baru
c) Loji Rawatan Air Bukit Selambau
d) Loji Rawatan Air Sungai Limau, dan
e) Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama.

28. Kerajaan mengakui berlaku kelewatan dalam pelaksanaan. Ini disebabkan perubahan polisi pembiayaan projek, daripada pinjaman kepada pembiayaan secara geran, dan perubahan skop projek. Pada masa ini, persediaan untuk pengambilan balik tanah dan proses tender sedang diuruskan.

29. Usaha juga dibuat untuk menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi di daerah Langkawi. Pada tahun 2020, Kerajaan akan melaksanakan Projek Peningkatan Sistem Pengepaman di Padang Mat Sirat yang bernilai RM 8 juta.

30. Pembangunan Skim Pemindahan Air Jeniang Kedah atau “Jeniang Transfer” Fasa Pertama juga sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap mengikut jadual pada pertengahan tahun hadapan. Pembangunan Skim Jeniang Transfer yang melibatkan daerah Sik, Pendang dan Kuala Muda dengan kos pembangunan sebanyak RM 960 juta oleh Kerajaan Persekutuan dijangka akan memberi manfaat kepada 18,000 petani apabila disiapkan kelak.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

PRESTASI 2019

Hasil Tahun 2019

31. Pada Februari 2019, Kerajaan Negeri telah mengadakan Lab Peningkatan Hasil Negeri Kedah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memperkemaskan kutipan hasil. Lab ini disertai kakitangan dan pegawai dari pentadbiran tanah, daerah, hutan dan pelbagai jabatan yang setiap hari berurusan secara terus dengan kutipan hasil harian. Usaha ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan baharu ke arah memudahkan pembayaran dan penambahan hasil.

32. Langkah-langkah yang telah dilaksanakan pada tahun ini adalah :

Pertama, Kerajaan Negeri menggalakkan pembayaran hasil melalui kad debit atau secara atas talian. Lanjutan daripada itu, satu kempen Pembayaran Hasil Melalui Terminal Kad MyDebit telah diadakan di semua jabatan pemungut hasil negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula 15 Mac hingga 15 Ogos 2019. Seramai 478,259 pembayar cukai telah membuat bayaran hasil melalui kempen tersebut dengan jumlah kutipan sebanyak RM 82 juta.

Kedua, mengurangkan kadar duti hiburan dari 25 peratus kepada 7.5 peratus bagi pengusaha taman tema di Langkawi. Langkah ini dapat menggalakkan aktiviti pelancongan bagi pengusaha taman tema, sekaligus dapat mempromosikan Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.

Ketiga, bagi kutipan premium tanah, Pejabat Tanah dan Galian telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis tuntutan kepada pemohon yang telah tamat tempoh supaya pihak pemohon tanah Kerajaan dapat menjelaskan bayaran premium tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

33. Bajet 2019 yang lepas menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM 710 juta. Sehingga 15 Oktober 2019, jumlah kutipan sebenar hasil Kerajaan Negeri Kedah adalah RM 486.54 juta bersamaan 68 peratus daripada jumlah yang dianggarkan. Pada tempoh yang sama tahun 2018, kutipan hasil negeri adalah sebanyak RM 473.49 juta. Ini menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak RM 13 juta.

Perbelanjaan Mengurus Tahun 2019

34. Sehingga Oktober 2019, perbelanjaan bagi Kumpulan Wang Disatukan bagi peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM 427.86 juta atau 56 peratus daripada anggaran perbelanjaan tahun 2019 sebanyak RM 767.79 juta.

35. Perbelanjaan terbesar adalah untuk pembayaran Emolumen, sebanyak RM 179.1 juta atau 71 peratus daripada anggaran perbelanjaan. Sejumlah RM 90.9 juta atau 56 peratus dibelanjakan untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM 3.7 juta bersamaan 23 peratus untuk pembelian Aset, RM152.14 juta atau 47 peratus untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, manakala Lain-Lain Perbelanjaan adalah berjumlah RM 2.11 juta atau 13 peratus daripada anggaran perbelanjaan.

36. Perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Pembangunan pula adalah sebanyak RM 67.75 juta atau 35 peratus daripada anggaran peruntukan pembangunan bagi tahun 2019. Perbelanjaan peruntukan pembangunan ini ditampung oleh terimaan hasil daripada Pemberian Persekutuan dan Peruntukan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan, Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) berjumlah RM 33.6 juta.



FOKUS BAJET 2020

37. Dalam merangka Bajet 2020 pula, Kerajaan Negeri buat kali pertama memberi ruang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam penyediaan Bajet kali ini. Sesi libat urus telah diadakan dengan semua Jabatan Negeri, Peringkat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Berkanun Negeri dan GLC. Dialog Bajet 2020 telah diadakan pada 27 Ogos 2019, yang dihadiri oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan lain-lain pihak berkepentingan. Dialog Bajet ini telah membincangkan hala tuju dan bidang keutamaan tahun 2020 bagi Negeri Kedah. Kerajaan Negeri telah mengambil kira semua pandangan yang diterima dalam merangka Bajet 2020 Negeri Kedah Darul Aman.

38. Bajet Negeri Kedah Tahun 2020 adalah bertemakan “Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Bersama”.

ANGGARAN HASIL 2020

39. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM 701.94 juta. Daripada jumlah ini, hasil cukai menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM 322.11 juta, bersamaan 45.89 peratus. Hasil bukan cukai pula menyumbang sebanyak RM 235.49 juta atau 33.55 peratus. Di samping itu, terimaan bukan hasil pula dianggarkan sebanyak RM144.34 juta atau 20.56 peratus.

40. Secara keseluruhannya, anggaran hasil bagi tahun 2020 adalah lebih rendah berbanding 2019, kerana :

a) Anggaran sumbangan daripada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dikurangkan daripada RM 15 juta kepada RM 1.5 juta berdasarkan prestasi anak-anak syarikat, dan memberi ruang kepada mereka untuk memulihkan perniagaan. Kita akui GLC memberi sumbangan secara langsung kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat yang ditetapkan oleh kerajaan; dan

b) Pengurangan hasil hutan yang disebabkan oleh keputusan Kerajaan Negeri mengutamakan pengekalan kawasan tadahan air.

41. Anggaran Hasil 2020 telah dibuat secara realistik berdasarkan keadaan semasa dengan mengambil kira semua punca hasil, punca kuasa sedia ada, data-data terperinci dan juga prestasi semasa kutipan hasil. Dalam memastikan Anggaran Hasil Tahun 2020 dapat dicapai, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada tiga (3) teras peningkatan hasil iaitu kutipan maksimum ke atas hasil patut kutip, menambah baik Operasi Prosedur Standard (SOP) dan penerokaan hasil baharu.

42. Antara perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan kutipan hasil 2020 dapat dicapai ialah :

Pertama, bagi hasil hutan, Kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengambil alih pengurusan Jeti Pengkalan Gubir dan Kuala Labua di Hutan Simpan Ulu Muda, Pusat Pelancongan Sungai Sedim di Kulim, dan Gunung Jerai di Yan. Bagi tujuan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan mengenakan permit masuk hutan dan permit penggunaan kawasan tersebut. Pengenaan permit ini juga akan diperluaskan di semua pintu masuk Hutan Simpan Negeri.

Kedua, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan semakan semula kadar yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah. Kadar tersebut meliputi caj bayaran rawatan dan fi perkhidmatan, termasuk penetapan harga jualan hasil ternakan, produk ternakan, sewaan jentera dan peralatan.

Ketiga, bagi Pentadbiran Tanah, kutipan luar akan diperbanyakkan termasuk mengadakan kerjasama dengan PBT. Selain itu, langkah awal hebahan jadual pelaksanaan kutipan luar diperluaskan dengan menggunakan medium media sosial.

Keempat, bagi menyelesaikan isu tunggakan cukai tanah yang berjumlah RM 89.1 juta, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan penguatkuasaan melalui pengeluaran Notis Tuntutan: Tunggakan Sewa (Borang 6A) kepada tuan punya tanah yang masih enggan menjelaskan tunggakan.

Kelima, pelaksanaan penguatkuasaan terhadap papan iklan dan menara telekomunikasi yang dibina di atas simpanan jalan dan tanah-tanah kerajaan tanpa lesen.

Keenam, bagi memudahkan pembayaran cukai, Kerajaan akan melaksanakan kemudahan pembayaran secara atas talian menggunakan “Kedah Payment Gateway” mulai Januari 2020.

43. Kerajaan mengharapkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat menyokong tindakan tegas dalam penguatkuasaan kutipan hasil negeri.

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS 2020

44. Bagi Bajet 2020, saya mencadangkan Peruntukan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM 759.49 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM 75.71 juta diperuntukkan sebagai Caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Di bawah Peruntukan Mengurus, pecahan yang diperuntukkan adalah seperti berikut :

a) Perbelanjaan Tanggungan RM 73.52 juta
b) Perbelanjaan Perbekalan RM 685.97 juta

45. Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2020 berkurangan sebanyak 1.08 peratus berbanding tahun 2019. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri bagi memastikan bajet realistik dapat dicapai berdasarkan kemampuan kewangan semasa.

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN 2020

46. Saya juga mohon mencadangkan Peruntukan Pembangunan berjumlah RM 182.21 juta bagi tahun 2020. Peruntukan ini lebih rendah 6.26 peratus berbanding tahun 2019 memandangkan tahun 2020 merupakan tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-11. Peruntukan yang disediakan adalah terhad kepada baki siling peruntukan bagi setiap jabatan.

47. Projek Pembangunan Bekalan Air pula diperuntukkan sebanyak RM 155.47 juta yang menggunakan peruntukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

48. Anggaran keseluruhan perbelanjaan Negeri Kedah tahun 2020 adalah sebanyak RM 1.097 bilion, merangkumi perbelanjaan mengurus, pembangunan negeri dan pembangunan bekalan air.

49. Dengan mengambil kira Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, Bajet 2020 menganggarkan defisit berjumlah RM 57,547,862 atau 8.20 peratus.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

BAJET 2020

50. Bajet 2020 Kerajaan Negeri Kedah yang bertemakan “Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Bersama” akan menumpukan kepada 6 fokus berikut :

FOKUS 1 : MERANCAKKAN EKONOMI

FOKUS 2 : PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INSAN SEPADAN KEPERLUAN PASARAN

FOKUS 3 : MEMBINA KEMAKMURAN RAKYAT

FOKUS 4 : MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

FOKUS 5 : MENGIMBANGI PEMBANGUNAN SOSIAL

FOKUS 6 : TADBIR URUS YANG BERINTEGRITI

FOKUS 1 : MERANCAKKAN EKONOMI

Kemudahan Jaringan Perhubungan Jalan
Jabatan Kerja Raya Negeri

51. Kerancakan pertumbuhan ekonomi bergantung kepada jaringan perhubungan jalan raya yang baik. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 42.8 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah bagi mengukuhkan jaringan perhubungan jalan raya yang akan menyokong pembangunan negeri. Bagi tahun 2020, Kerajaan meneruskan Projek Menaik Taraf Jalan Suka Menanti, dengan bayaran kemajuan pada tahun hadapan dianggarkan sebanyak RM 33.4 juta. Selain itu, Kerajaan merancang projek-projek baharu untuk menaik taraf Jalan Kota Sarang Semut ke pekan Pendang. Kerja ukur, reka bentuk dan pelan pengambilan tanah dijangka siap pada Disember ini. Kerajaan menjangkakan kerja membesarkan jalan daripada satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala akan dapat dimulakan pada pertengahan tahun hadapan.

52. Selain itu, sejumlah RM 5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan-jalan negeri, termasuk melebar dan membaharui muka jalan, menaik taraf pembentung dan sistem perparitan tepi jalan.

53. Kerajaan Negeri juga menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek jalan luar bandar seperti berikut :

i. Membina jalan dan jambatan baharu Alor Ganu / Alor Madi / Titi Gajah di daerah Kota Setar bernilai RM 40 juta.

ii. Membina jalan baharu dari Batu Lintang ke Pantai Merdeka di daerah Kuala Muda bernilai RM 97.7 juta.

iii. Membina jalan dari Tanah Merah ke Guar Kepayang di Pendang bernilai RM 75.7 juta.

54. Ketiga-tiga projek ini akan dimulakan tahun hadapan dan bakal memberi kemudahan kepada penduduk tempatan serta membuka peluang perniagaan yang baharu.

55. Kerajaan menyedari kemalangan jalan raya yang berlaku sering dikaitkan dengan keadaan jalan yang rosak dan tidak dilengkapi kemudahan yang sepatutnya. Bagi menangani isu ini, Kerajaan telah melancarkan Program Jalan Selamat mulai tahun 2019. Jalan yang menjadi “hotspot” telah dikenal pasti dan disenggara oleh JKR. Program ini akan diperluaskan tahun hadapan.

56. Sejumlah RM 1.5 juta turut disediakan untuk pemasangan lampu isyarat, pemasangan lampu jalan di persimpangan dan kawasan yang gelap; dan pemasangan lintasan pejalan kaki “pushbutton”. Kemudahan ini disediakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri

57. Sesunguhnya Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan jalan raya, jalan kampung, jalan pertanian dan jalan perbandaran sentiasa dalam keadaan yang baik dan selamat. Sehubungan itu, sebanyak RM 217 juta daripada peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri akan disediakan untuk tujuan tersebut.

Pembangunan Kemudahan Pengairan dan Saliran
Jabatan Pengairan dan Saliran

58. Bagi pembangunan kemudahan pengairan dan saliran, Kerajaan memperuntukkan RM 10.98 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah.

59. Dalam usaha meningkatkan pengeluaran Padi Luar Jelapang, kemudahan yang disediakan ialah menaik taraf tali air dan saliran sedia ada, mencuci tali air dan saliran, menaik taraf rangkaian jalan ladang, menyelenggara rumah pam di 10 skim pengairan dan 33 di luar skim pengairan.

60. Sejumlah RM 3.85 juta diperuntukkan bagi program pengairan dan saliran luar kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) yang meliputi lebih 34,594.75 ekar melibatkan kira-kira 10,000 orang petani. Langkah ini bertujuan membantu pesawah mendapat bekalan air yang mencukupi dan meningkatkan hasil pengeluaran padi.

61. Kerajaan juga prihatin mengenai kejadian banjir. Bagi mencegah kejadian itu terus berulang, sejumlah RM 3.38 juta disediakan pada tahun 2020 untuk program tebatan banjir. Antara kawasan yang dimaksudkan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kob di Kulim, Sungai Padang Pelanduk di Kubang Pasu dan naik taraf saliran Alor Wisma di Kota Setar.

Pembangunan Usahawan Agro
Jabatan Pertanian

62. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 5.88 juta untuk Jabatan Pertanian bagi memberi fokus pembangunan pertanian kepada tanaman mengikut kluster yang ditetapkan seperti berikut :

• Langkawi - Kelapa Pandan
Padi Pulut

• Kubang Pasu - Mangga Harumanis
Nanas
Jagung

• Pokok Sena - Pisang
Mangga Harumanis

• Padang Terap - Padi Wangi
Cendawan

• Pendang - Nangka Madu
Sayuran

• Kuala Muda - Padi
Nanas

• Sik - Padi Organik

• Baling - Rambutan

• Kulim/Bandar Baharu - Durian

• Yan - Durian

63. Jabatan Pertanian juga akan memberi khidmat nasihat teknikal dan bantuan. Petani dan usahawan tani yang telah menceburi sesuatu projek akan diberi bantuan untuk mengembang dan mendaya maju projek tersebut.

64. Beberapa usahawan telah berjaya hasil bimbingan Jabatan Pertanian. Sebagai contoh, usahawan tani di Semeling yang mengusahakan tanaman cili fertigasi yang terbesar di Kedah dengan jumlah 100,000 pokok dan hasil pengeluaran purata sebanyak 200 tan semusim.

65. Kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan penanaman padi pulut di Langkawi. Projek ini yang dimulakan di kawasan seluas 93.9 ekar pada tahun ini dan akan berkembang menjadi 4,942 ekar pada tahun 2021.

66. Kerajaan akan memajukan lagi pusat-pusat pertanian yang sedia ada sebagai pusat rujukan utama. Contohnya, Pusat Latihan Mangga di Sala Kanan dan Pusat Latihan Durian di Batu Seketul, Sik akan dimajukan sebagai pusat sehenti untuk tanaman berkenaan bagi kemudahan para petani dan pelancong.

67. Selain MADA yang membantu pesawah-pesawah padi, Kerajaan juga mendapat penglibatan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memajukan sektor pertanian secara kaedah pertanian moden. Terdapat 4 projek utama, iaitu :

a) “Superfruits” di Kampung Bukit Kura, Padang Terap

b) Tiram di Sungai Merbok, Kuala Muda

c) Padi organik di Kampung Lintang, Sik

d) “Hemp” di Bukit Tangga, Kubang Pasu

68. Projek-projek ini bakal dilaksanakan pada tahun 2020. Kerajaan Negeri juga bersetuju menubuhkan Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu Kedah (INSPEK) menerusi kerjasama antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), NCIA, Universiti Utara Malaysia (UUM), Syarikat Sri Lovely dan Koperasi Agro Belantik. INSPEK bakal menjadi Pusat Latihan Padi Organik yang pertama di negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar

69. Pembangunan veterinar turut tidak dilupakan. Sejumlah RM 2.25 juta diperuntukkan bagi pembangunan veterinar merangkumi pembangunan ternakan unggas, pengeluaran bahan makanan ternakan, industri ternakan ruminan, ternakan tenusu, industri asas tani dan industri aneka haiwan.

70. Strategi yang akan digunakan adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada import input pertanian dengan inisiatif membangunkan padang ragut, pembangunan kawasan tanaman “homeplot” berprotein tinggi, dan potensi pengolahan penggunaan sisa pertanian sebagai bahan makanan ternakan.

71. Pembangunan padang ragut Bukit Kura dilihat sebagai peneraju bagi penanaman pelbagai komoditi seperti jagung bijirin, napier, nanas dan penternakan lembu fidlot.

72. Bagi tujuan menambah baik baka “genetic upgrading”, induk-induk ternakan di ladang jabatan akan dimasukkan dengan induk gantian baharu bagi mendapatkan baka berkualiti dan mampu milik oleh penternak di negeri ini. Kajian pelaksanaan “Jelapang Sado” turut dirancang, bertujuan untuk memperluaskan potensi ternakan hibrid kepada penternak.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Pelancongan

73. Negeri Kedah sebenarnya kaya dengan pelbagai tarikan semula jadi yang belum diterokai dan berpotensi menggamit kehadiran pelancong. Kerajaan akan berusaha memperkasakan pembangunan dan promosi produk pelancongan melalui inisiatif seperti berikut :

i. Menubuhkan Syarikat Kedah Tourism Sdn. Bhd. yang akan menyelaras dan menggerakkan promosi serta penganjuran acara-acara pelancongan di Kedah. Sejumlah RM 1 juta disediakan bagi maksud ini.

ii. Menyediakan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi menaik taraf Muzium Negeri.

iii. Menambah kemudahan pelancongan di Jerai Geopark seperti membina Pusat Informasi di kaki Gunung Jerai, mewujudkan Pusat Jualan Produk Komuniti di Semeling dan memperkemaskan pusat-pusat makanan di pekan Yan, Guar Chempedak dan Kota Kuala Muda.

iv. Menyediakan dosir untuk mencalonkan Jerai Geopark diiktiraf sebagai “Unesco Global Geopark” pada tahun 2021.

v. Merangka Pelan Induk Pelancongan Kedah (Kedah Tourism Master Plan).

vi. Membina kemudahan pelancongan di Pusat Arkeologi Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu yang berjumlah RM 10 juta.

vii. Memperkemaskan pengurusan aktiviti rekreasi sukan air di Pantai Chenang.
viii. Menambah bilangan penerbangan terus antarabangsa ke Langkawi.

ix. Menambah baik kemudahan pelancongan di Pusat Pelancongan Eko Rimba Sedim di Kulim dan Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling.

x. Menyediakan kemudahan asas untuk aktiviti mendaki Gunung Bintang, Gunung Baling dan Gunung Pulai; dan

xi. Menggalakkan penglibatan pihak swasta membina hotel serta produk pelancongan di Langkawi dan tanah besar Kedah.

74. Kerajaan menjangka dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, sektor pelancongan akan memberi impak dalam peningkatan kedatangan pelancong dan menjadi pemangkin bagi menyokong pelaburan baharu swasta. Di samping itu, langkah ini dapat meningkatkan keselesaan pelancong melalui pembangunan infrastruktur asas, mempelbagaikan produk pelancongan baharu dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

75. Kita semua sedia maklum bahawa ekonomi digital semakin berkembang pesat dan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di masa hadapan. Kerajaan Negeri bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan pelan untuk melonjakkan Negeri Kedah di dalam Era Ekonomi Digital di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilancarkan pertengahan tahun ini. Beberapa inisiatif akan dilaksanakan, antaranya :

a. Meningkatkan liputan jalur lebar yang menyeluruh dan pantas iaitu capaian 500mbps, khasnya, di kawasan ibu negeri dan kawasan industri yang terpilih menjelang 2021

b. Meningkatkan rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus kawasan kemudahan awam menjelang 2022

c. Meningkatkan kelajuan purata 30 peratus di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023; dan

d. Menubuhkan Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri untuk menyelaras dan memudah cara pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.

76. Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan inisiatif pihak swasta di dalam pembinaan infrastruktur telekomunikasi. Beberapa pindaan di dalam proses kelulusan membina infrastruktur telekomunikasi telah dikaji, yang bertujuan mempercepatkan pembinaan menara telekomunikasi.

77. Peranan PBT akan terus ditambah baik untuk mempercepatkan kelulusan pembinaan menara telekomunikasi. Kerajaan bekerjasama dengan SKMM bagi membantu semua PBT berkongsi maklumat geospatial, pengurusan permit dan program pemutihan bagi struktur menara. Program ini dapat membantu PBT mengawal selia pembinaan menara tersebut di kawasan masing-masing.

78. Dalam menggerakkan ekonomi digital dan menggalakkan penglibatan usahawan muda, Kerajaan akan menubuhkan Kedah Digital Hub di Ukir Mall, Alor Setar. Kemudahan ini dapat dimanfaatkan bagi mengembangkan perniagaan atas talian yang mereka usahakan.

79. Bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai manfaat ekonomi digital, Karnival Digital akan diadakan pada setiap tahun. Selain itu, Kerajaan akan mendapatkan bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia Malaysia (MDEC) untuk mewujudkan pusat peningkatan digital sehenti Negeri Kedah.

80. Pemerkasaan peniaga-peniaga kecil terus menjadi agenda Kerajaan. Sebanyak RM 1 juta diperuntukkan kepada Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) bagi menyediakan dana, latihan dan bantuan pemasaran kepada mereka. UPUK turut menyediakan Skim Pinjaman Mikrokredit sebanyak RM10,000 bagi seorang peniaga kecil menjalankan perniagaan.

81. Bagi menyokong penglibatan belia dalam perniagaan, peruntukan sebanyak RM 2 juta disediakan untuk Projek “Youth Town” di beberapa lokasi terpilih.

82. Sebanyak RM 2 juta diperuntukkan kepada Invest Kedah bagi menerajui misi galakan pelabur ke Negeri Kedah.

FOKUS 2 : PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INSAN SEPADAN KEPERLUAN PASARAN

83. Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada program pendidikan dan pembangunan insan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir di masa hadapan. Kerajaan juga telah menstrukturkan semula program pembiayaan pendidikan agar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Institut Al Quran Darul Aman (IQDAR) muncul sebagai institusi pendidikan utama kepada warga Kedah.

UniSHAMS

84. Jumlah pelajar UniSHAMS dijangka meningkat daripada 4,300 orang pada masa ini kepada lebih 5,000 orang pada pengambilan bulan Disember ini. Kerajaan berusaha untuk menambah kemasukan pelajar ke UniSHAMS, khususnya dalam bidang perubatan dan lepasan ijazah. Untuk itu, Kerajaan berusaha menggiatkan program tajaan daripada pelbagai pihak seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Rakyat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.

85. Untuk tahun 2020, Yayasan Islam Negeri Kedah bersedia menawarkan pinjaman sebanyak RM275,000 seorang sepanjang tempoh pengajian kepada 20 orang pelajar perubatan dari Kedah, manakala Lembaga Zakat Negeri Kedah menyediakan RM 2.7 juta untuk tajaannya bagi bidang pengajian yang sama di UniSHAMS. Lembaga Biasiswa Negeri Kedah pula bersedia menawarkan pinjaman kepada 10 pelajar UniSHAMS mengikut kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan.

86. Langkah membantu pelajar daripada keluarga B40 juga dilaksanakan di UniSHAMS. Pengajian secara percuma disediakan kepada 400 pelajar asasi oleh Kerajaan Negeri, dengan syarat mereka mesti menyambung pengajian di peringkat ijazah di UniSHAMS.

87. Kerajaan meneruskan pemberian bantuan mengurus kepada UniSHAMS sebanyak RM 10 juta. Kerajaan juga akan memulakan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan kampus tetap UniSHAMS di Kuala Ketil, berjumlah RM 15 juta pada tahun hadapan.

INSTITUT AL QURAN DARUL AMAN (IQDAR)

88. Bagi memastikan IQDAR yang kini memiliki 143 orang pelajar terus diperkukuhkan, Kerajaan Negeri merancang untuk menambah kemudahan iaitu membina bangunan asrama. Kerajaan menyediakan RM 3.2 juta untuk kos pengurusan IQDAR tahun hadapan. Selain itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah juga menyediakan biasiswa kepada 50 orang pelajar, manakala Baitulmal membiayai 10 pelajar.

Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET)

89. Bagi menyediakan tenaga mahir di masa hadapan, Kerajaan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah untuk cenderung dan minat kepada Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pelajar sekolah menengah akan diberi pendedahan melalui program-program peningkatan TVET di semua sekolah. Antaranya, karnival TVET Negeri Kedah, pertandingan, projek dan kemahiran bakat yang akan dikelolakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri. Sejumlah RM 0.5 juta disediakan untuk maksud tersebut.

Pendidikan Menengah dan Rendah

90. Sejumlah RM 30 juta diperuntukan kepada Lembaga Maktab Mahmud, yang merangkumi pembayaran pengurusan dan pembangunan pelajar. Peruntukan ini juga termasuk bagi tujuan pengambilan balik tanah Maktab Mahmud di Yan. Manakala, RM 11 juta diperuntukkan bagi Sekolah Menengah Agama di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bagi menanggung pembayaraan, emolumen, pengurusan sekolah dan aktiviti pelajar.

91. Kerajaan menyediakan RM 350,000 sebagai biasiswa kecil untuk membantu pelajar sekolah menengah daripada kalangan keluarga B40. Peruntukan ini dijangka memanfaatkan lebih 300 orang pelajar.

92. Kerajaan juga menyokong rancangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang menetapkan semua sekolah menengah di setiap daerah menumpukan aktiviti mengikut kluster seperti berikut:

• Kota Setar - Keusahawanan
• Kuala Muda/Yan - Bahasa Inggeris
• Langkawi - Robotik
• Kulim/Bandar Baharu - TVET
• Padang Terap - Sains Polimer
• Baling - Pengajian Islam
• Sik - Pertanian
• Kubang Pasu - Logistik

Pendidikan Pra-Sekolah

93. Kerajaan memperuntukkan RM 5.6 juta bagi memperkemas dan menambah baik pengurusan 39 taska sedia ada yang kebanyakannya dikendalikan di masjid-masjid. Dalam masa yang sama, seramai 45 orang pengasuh di 11 buah pusat jagaan Nury akan diserap sebagai tenaga pengajar taska. Mereka akan diberi latihan kemahiran mengikut standard skim taska.

94. Kedua-dua institusi ini mengasuh seramai 1,987 orang kanak-kanak pada tahun 2019 dengan bilangan guru pengasuh seramai 167 orang.

Sokongan Pendidikan

95. Sejumlah RM 1 juta diperuntukan untuk menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar. Jumlah ini akan dibelanjakan untuk pembaikan asas dan meningkatkan keselamatan sekolah.

96. Bagi membantu operasi sekolah pondok dan tahfiz, Kerajaan akan memberi bantuan pentadbiran melalui Yayasan Pendidikan Islam Darul Aman (YPIDA).

97. Bantuan kepada tiga Sekolah Persendirian Cina diteruskan pada tahun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk setiap sekolah. Kerajaan turut menyediakan RM 1 juta sebagai bantuan kepada institusi pengajian tinggi bawah Lembaga Biasiswa Negeri Kedah yang akan disalurkan melalui Pusat Khidmat DUN.

98. Sementara itu, sejumlah RM 6.3 juta disediakan kepada Perbadanan Perpustakaan Kedah untuk menjalankan program meningkatkan minat membaca di semua perpustakaan daerah dan 105 perpustakaan desa. Antara program yang dirancangkan ialah Pesta Buku, Hari Buku Sedunia, Jom Baca dan “Quran Hour”.

99. Negeri ini beruntung kerana akan memiliki “Kedah Digital Library” di Alor Setar. Ketika ini, reka bentuk kerja-kerja ubahsuai bangunan sedia ada dan membina bangunan tambahan sedang disiapkan. Projek yang bernilai RM 15 juta dijangka dimulakan pada awal tahun 2020.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

FOKUS 3: MEMBINA KEMAKMURAN RAKYAT

Inisiatif Peduli Rakyat
Kasih Ibu Darul Aman (KIDA)

100. Seramai 4,511 orang wanita yang terdiri daripada wanita berkeluarga, ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap yang berdaftar di dalam e-Kasih telah terpilih menerima bantuan kewangan bagi pembelian barang asas di bawah Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

101. Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan bagi Program KIDA daripada Kerajaan Persekutuan yang diselaras oleh NCIA. Setiap pemegang kad KIDA diperuntukkan RM 250 sebulan bagi membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai yang ditetapkan.

102. Sejak dilancarkan pada 20 Mei 2019, seramai 4,362 penerima telah mendapat manfaat dengan perbelanjaan purata sebanyak RM230 sebulan. Antara barangan utama yang dibeli ialah beras, minyak masak, gula, tepung, dan lain-lain barangan untuk memasak.

103. Kerajaan mendapati program KIDA sangat berkesan. Pada masa ini, program pemutihan data sedang dibuat dan nama-nama yang layak akan dipertimbangkan untuk tahun 2020. Bagi melengkapkan program ini, Kerajaan Negeri juga melaksanakan program “empowerment” kepada ahli keluarga penerima KIDA. Mereka yang telah selesai menjalani sesi “profiling” akan diberi latihan kemahiran mengikut bidang yang diminati bermula November ini. Program ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan muda daripada kalangan B40.

Tabung Khas Wanita

104. Dalam pembentangan Bajet 2019, saya telah memaklumkan mengenai bantuan khas kepada golongan wanita yang dikenali sebagai Tabung Khas Wanita Negeri Kedah.

105. Sejak dilancarkan pada bulan Februari 2019, sumbangan telah diberikan kepada 960 orang wanita di 36 DUN berjumlah RM 480,000, bagi kategori wanita yang menjadi ketua isi rumah kerana suami sakit terlantar dan wanita yang menjaga ibu bapa sakit terlantar.

106. Sehingga 30 September 2019, terdapat 642 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negeri dan 3,205 dalam kategori miskin. Kerajaan terus berusaha menghulurkan bantuan kepada golongan ini pada tahun ini. Sebanyak RM 1.9 juta telah dibelanjakan bagi membaiki 157 buah rumah. Lembaga Zakat Negeri Kedah telah membelanjakan sebanyak RM 5 juta bagi maksud yang sama.

107. In shaa Allah, Kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan kepada yang layak pada tahun 2020 dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

Tabung Penyakit Kronik

108. Kerajaan Pakatan Harapan memberi fokus membantu golongan B40 yang tidak mampu menampung kos pembelian peralatan untuk rawatan di hospital mulai Bajet 2019. Kerajaan menyediakan peruntukan di bawah Tabung Penyakit Kronik dengan menyalurkan RM 0.5 juta kepada pihak hospital untuk membiayai program ini.

109. Langkah ini diambil untuk menyediakan kemudahan tambahan kepada program sedia ada iaitu Tabung Bantuan Perubatan dan Peka B40 yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan. Lembaga Zakat Negeri Kedah juga turut membiayai 753 orang pesakit dengan nilai RM 721,000. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Kulim.

110. Kerajaan bercadang meneruskan program murni ini pada tahun 2020 dengan menambah bilangan hospital terlibat iaitu Hospital Sultanah Maliha di Langkawi. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak RM 1 juta disediakan.

Khairat Kematian

111. Kerajaan akan meneruskan bantuan khairat kematian kepada mereka yang memohon melalui Pusat Khidmat DUN Pakatan Harapan pada tahun 2020. Sehingga Oktober 2019, sejumlah RM 1.15 juta telah disalurkan kepada 4,611 orang penerima.

Pelbagai Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

112. Peruntukan sebanyak RM 24.8 juta disediakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk melaksanakan pelbagai skim bantuan. Antara skim bantuan yang disediakan termasuk bantuan am bulanan, bantuan bencana, insentif pendaftaran OKU, elaun latihan sambil belajar, geran bantuan keusahawanan, bantuan kerusi roda, bantuan alat tiruan/sokongan, geran kepada rumah anak yatim dan geran kepada pusat pemulihan dalam komuniti.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Projek Peningkatan Pendapatan Rakyat, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Sosial

113. Kerajaan Negeri tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik, yang miskin dan yang hidup melarat. Bagi Tahun 2020, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 4 juta bagi membantu golongan ini. Antara fokus dalam peruntukan yang disediakan adalah merangkumi projek peningkatan dan kemakmuran rakyat dari segi peningkatan pendapatan, projek pembasmian kemiskinan, projek pembangunan sosial dan projek sumbangan meter air untuk rakyat miskin yang berdaftar dengan Sistem e-Kasih.

Pusat Bekalan Makanan (Food Bank)

114. Dalam memastikan rakyat termiskin mendapat bekalan makanan harian, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah telah menubuhkan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin di 576 buah masjid yang menelan belanja RM 10.5 juta setahun. Harapan kita, tiada lagi rakyat Kedah yang terputus bekalan makanan atau kelaparan. Bahan makanan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan tepung disediakan secara percuma kepada golongan asnaf.

115. Kerajaan Negeri juga prihatin dengan nasib pelajar universiti daripada kalangan keluarga B40 yang menghadapi masalah sara hidup. Melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) dan syarikat swasta, Kerajaan Negeri menubuhkan Food Bank Siswa di UUM yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman pada 15 September 2019. Langkah ini dapat membantu golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan, sekali gus membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

116. Mulai akhir tahun 2019, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan Food Bank Siswa di UniSHAMS. Adalah diharapkan lebih banyak pihak swasta akan tampil menjayakan program ini untuk diteruskan di tahun-tahun berikutnya.

Kesihatan Rakyat

117. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan atau “National Health And Morbidity Survey” (NHMS) 2015 mendapati 25.4 peratus penduduk negeri Kedah mengalami penyakit diabetes, peratusan tertinggi di Malaysia. Sebanyak 37.5 peratus pula mempunyai penyakit darah tinggi, juga yang tertinggi di Malaysia. Sebanyak 53.5 peratus mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, yang kedua tertinggi di Malaysia.

118. Menyedari hakikat ini dan dalam usaha membendung peningkatan peratusan penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat Kedah, Kerajaan Negeri meneruskan program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) yang telah mula dilaksanakan di negeri Kedah sejak tahun 2014 tetapi telah ditangguhkan pelaksanaannya selepas itu.

119. KOSPEN membentuk sekumpulan sukarelawan terlatih dari kalangan masyarakat sebagai agen kesihatan untuk melaksanakan intervensi pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit di lokaliti masing-masing.

120. Pada tahun 2019, program ini telah dimulakan di Wisma Darul Aman. Kerajaan bercadang memperluaskan ke jabatan-jabatan negeri yang lain pada tahun hadapan.

121. Bagi menggalakkan gaya hidup sihat, program kesedaran akan terus dipergiatkan. Jabatan-jabatan Kerajaan digalak menganjurkan aktiviti riadah di kalangan anggota secara berkala.

FOKUS 4: MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

122. Khazanah alam yang sedia ada akan terus dipelihara. Kerajaan memperuntukkan RM 24.42 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk meningkatkan pengurusan, pembangunan semula kawasan hutan simpan dan peningkatan kemudahan di semua hutan lipur.

123. Kerajaan telah menghentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda. Walaupun kehilangan hasil, kepentingan menjaga sumber air lebih diutamakan. Kerajaan telah memohon sumbangan kehilangan hasil daripada Kerajaan Persekutuan.

124. Kerajaan merancang untuk menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda. Kawasan sedia ada yang telah diwartakan adalah seluas 40,102 ekar. Kerajaan bercadang untuk menambah seluas 83,753 ekar, menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda kepada 123,855 ekar. Ini adalah penambahan kawasan tadahan air sebanyak 209 peratus di Ulu Muda sahaja.

125. Selain itu, Kerajaan juga akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air.

126. Untuk mengekalkan warisan hutan semulajadi di masa depan, Kerajaan akan mewujudkan sebuah taman negeri di Hutan Simpan Ulu Muda yang bakal menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan.

127. Mengambil kira kedudukan Negeri Kedah yang hampir dengan garisan Khatulistiwa dan menerima tenaga suria yang banyak, satu Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui dilancarkan Julai lalu. Pelan induk ini adalah bagi menggalakkan beberapa aktiviti tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomass, biogas dan hidro.

128. Sehingga kini, beberapa syarikat swasta telah menjalankan operasi ladang solar di Kuala Ketil, Bukit Selambau, Pendang, Sik, Gurun, Sungai Petani dan Pokok Sena dengan penjanaan kuasa tenaga solar berjumlah lebih 200 megawatt.

129. Bagi menggalakkan aktiviti penjanaan kuasa solar, Kerajaan Negeri memberikan kelonggaran kepada syarikat-syarikat berkenaan untuk mendirikan ladang solar di atas tanah syarat pertanian tanpa perlu mengubah status syarat tanah tersebut.

130. Usaha ini adalah bukti keseriusan Kerajaan Negeri untuk memastikan kelestarian alam semuja jadi selain mengurangkan pelepasan karbon ke atmosfera.

FOKUS 5 : MENGIMBANGI PEMBANGUNAN SOSIAL

Pembangunan Sukan

131. Kejayaan di dalam bidang sukan boleh menaikkan imej negeri dan rakyat. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan pembangunan sukan sebanyak RM 10 juta kepada Majlis Sukan Negeri. Daripada jumlah ini RM 2 juta dikhaskan untuk mempersiapkan Kontinjen Kedah yang akan bertanding di SUKMA 2020 di Johor Bahru. Keringat bakti mereka sangat dihargai dan Kerajaan turut menyediakan insentif kepada para atlet yang berjaya merangkul pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

132. Kejayaan Lang Merah menjuarai Piala FA membolehkan pasukan Kedah mewakili Malaysia bertanding di Kejohanan AFC. Untuk itu, kualiti kemudahan di Stadium Darulaman perlu ditambah baik bagi memenuhi standard yang ditetapkan.

133. Sejumlah RM 5 juta diperuntukkan untuk pembangunan prasarana kemudahan sukan seperti Stadium Darulaman, Stadium Sultan Abdul Halim, Pusat Akuatik dan Padang Hoki. Peruntukan sebanyak RM 2 juta disediakan kepada Perbadanan Stadium untuk membiayai kos operasi semua kemudahan sukan yang ada.

134. Kedah telah melahirkan jaguh skuasy negara seperti Sivasangari Subramaniam, Aifa Azman, Aira Azman dan Anrie Goh yang telah menjuarai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa. Bagi melahirkan lebih ramai jaguh dalam sukan itu, Kompleks Skuasy di Suka Menanti sedang dibina dan dijangka siap pada tahun 2020. Kompleks ini mempunyai lapan (8) gelanggang bertaraf antarabangsa dan merupakan yang terbesar di utara Malaysia.

135. Kerajaan juga telah memohon peruntukan untuk membina sebuah Kompleks Sukan di Sungai Petani. Pada masa ini permohonan itu masih dalam proses pertimbangan Kementerian Belia dan Sukan. Tapak projek seluas 30 ekar telah dibuat pengambilan balik tanah yang berjumlah RM 15 juta.

136. Projek Litar Lumba di Sungai Petani telah dibuat perubahan skop bagi memenuhi standard antarabangsa. Kerajaan telah melantik SIC Sdn Bhd untuk menyediakan reka bentuk terperinci dan pakej pelaksanaannya. Peruntukan pembinaan litar lumba ini yang berjumlah RM 70 juta akan disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Hubungan Antara Kaum

137. Kita semua mengakui bahawa keharmonian antara kaum adalah tunjang kekuatan Negeri Kedah. Kerajaan Negeri akan terus memelihara dan menyuburkan lagi hubungan yang harmoni pelbagai masyarakat majmuk di negeri ini.

138. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 1 juta untuk sambutan perayaan bagi setiap kaum seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Pesta Songkran. Bantuan turut disediakan kepada masyarakat India, Cina dan Siam untuk menaik taraf rumah-rumah ibadat mereka.

Syiar Islam

139. Sebagai agama rasmi Persekutuan dan Negeri, Kerajaan terus memelihara kesucian Agama Islam. Pelbagai program yang meliputi pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam, dakwah, pensijilan halal, pengurusan masjid dan surau, kelas KAFA dan taska dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Sejumlah RM 61.7 juta disediakan bagi tahun 2020 untuk maksud ini.

140. Sebanyak RM 3 juta disediakan untuk pembangunan prasarana masjid dan surau. Kerajaan telah menetapkan dan mewartakan masjid-masjid daerah seperti berikut :

 Daerah Kota Setar
Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar

 Daerah Pokok Sena
Masjid Al-Nur, Kampung Kiew

 Daerah Langkawi
Masjid Al-Hana, Kuah

 Daerah Padang Terap
Masjid Muazzam Shah, Pekan Kuala Nerang

 Daerah Kubang Pasu
Masjid Al-A’la, Pekan Jitra

 Daerah Pendang
Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin

 Daerah Yan
Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan

 Daerah Kuala Muda
Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani

 Daerah Sik
Masjid Al-Rahman, Pekan Sik

 Daerah Baling
Masjid Ridzwaniah, Pekan Baling

 Daerah Kulim
Masjid Kulim Hi-Tech, Kulim

 Daerah Bandar Baharu
Masjid Al-Fateh, Serdang

141. Program dakwah disusun rapi agar masyarakat memahami serta menghayati ajaran Islam yang sebenar. Pejabat Mufti Negeri Kedah diberikan peruntukan sebanyak RM 2.59 juta, manakala Jabatan Kehakiman Syariah diperuntukkan sebanyak RM 9 juta.

142. Mulai tahun ini, Kerajaan perkenalkan Skim Murabbi iaitu skim perlindungan kepada guru KAFA, guru maahad tahfiz dan pondok, serta guru takmir di seluruh negeri. Untuk tahun 2020, Skim Murabbi akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM 60,000 kepada 4,100 orang.

FOKUS 6 : TADBIR URUS BERINTEGRITI

Memperkukuhkan Sistem Penyampaian Dan Tadbir Urus

Peruntukan Ahli-Ahli Yang Berhormat

143. Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah menyediakan peruntukan mengurus dan pembangunan dalam bentuk pemberian dan projek. Peruntukan tahun 2020 disediakan seperti berikut:

i. Sejumlah RM 1.6 juta diperuntukan untuk setiap EXCO

ii. Sejumlah RM 200,000 diperuntukan untuk setiap ADUN Kerajaan

iii. Sejumlah RM 70,000 diperuntukan untuk setiap ADUN Pembangkang

iv. Sejumlah RM 150,000 diperuntukkan untuk setiap Penyelaras DUN

144. Peruntukan ini boleh digunakan untuk maksud bekalan, bantuan dan projek kecil di kawasan masing-masing.

145. Perkembangan ekonomi digital dan telekomunikasi yang pesat memerlukan Kerajaan meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan tadbir urus. Kerajaan Pakatan Harapan berusaha gigih untuk melaksanakan agenda ini melalui kaedah berikut :

a. Memperkemaskan jentera pengurusan dan pemantauan kutipan hasil negeri. Kaedah ini dapat memastikan hasil negeri dikutip sepenuhnya dengan mengurangkan ketirisan, selain mengenal pasti hasil-hasil baharu.

b. Berbelanja secara berhemah. Semua pihak telah diminta mengambil langkah di dalam mengurangkan kos operasi, antaranya melalui amalan mendigitalkan perkhidmatan. Semua Ahli Yang Berhormat juga telah mengemukakan soalan kepada Dewan Undangan Negeri secara atas talian. Perancangan juga telah dibuat untuk menjalankan Persidangan Dewan Undangan Negeri secara digital pada tahun hadapan, In shaa Allah.

c. Menyemak dan memperkemaskan prosedur urusan mendapatkan kelulusan pembangunan.

d. Mengehadkan amalan perolehan secara rundingan terus. Projek-projek pembangunan ditawarkan secara tender terbuka. Sebagai contoh, projek menaik taraf Jalan Suka Menanti yang dibuat secara tender terbuka terbukti menjimatkan peruntukan Kerajaan.

e. Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri bersetuju mengagihkan peruntukan secara kerja undi bagi projek bernilai sehingga RM 150,000 di kalangan 1,000 kontraktor kelas G1 yang berdaftar. Pada tahun 2019, seramai 839 atau 84 peratus kontraktor telah berjaya mendapat projek penyengaraan jalan negeri di seluruh daerah di Negeri Kedah. Memandangkan kaedah ini berkesan dan menerima respon yang baik, Kerajaan akan meneruskannya pada tahun hadapan.

f. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang melaksanakan pindaan ke atas prosedur sedia ada bertujuan untuk memudahkan dan mengurangkan tempoh masa memproses sesuatu permohonan pembangunan tanah. Inisiatif ini akan dilaksanakan pada tahun 2020.

g. Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan Peringkat Negeri bagi mengambil tindakan ke atas pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan. Bagi tujuan itu, peruntukan sejumlah RM 2 juta telah disediakan kepada pentadbiran tanah dan pentadbiran hutan bagi pembelian kenderaan pasukan penguatkuasa. Perolehan bagi sebahagian kenderaan tersebut telah dibuat pada tahun ini.

146. Kerajaan Negeri juga menyambut baik dan melaksanakan aktiviti di bawah Pelan Anti Rasuah di peringkat Negeri. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah menerima Sijil MS ISO 37001:2016 “Anti Bribery Management System”.

147. Bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM 11.53 juta bagi pembelian peralatan jabatan. Sejumlah RM 1.5 juta disediakan untuk pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelbagai jabatan. Sejumlah RM 3.1 juta disediakan bagi pembangunan ICT Negeri, merangkumi Projek Pembangunan Prasarana e-Kerajaan, naik taraf Data Disaster Recovery Centre dan aplikasi e-Kerajaan.

148. Inisiatif baharu akan dilaksanakan dalam penjimatan perbelanjaan pengurusan, iaitu:

Pertama, penggunaan kad korporat bagi pembayaran sewa hotel dan tiket kapal terbang kepada semua jabatan secara atas talian.

Kedua, meminda dan menetapkan kadar-kadar tuntutan tambang gantian dan siling peruntukan untuk penganjuran majlis rasmi, dan

Ketiga, memperkemaskan kawalan dalaman di semua jabatan untuk meningkatkan tahap akauntabiliti.

149. Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan jentera pentadbiran di peringkat akar umbi serta melakukan penambahbaikan institusi penghulu. Selain menambah bilangan penghulu, Kerajaan akan melengkapkan kemudahan pejabat-pejabat penghulu di semua mukim.

150. Peruntukan juga akan disediakan untuk meningkatkan kemahiran dan membiayai aktiviti-aktiviti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Bantuan Khas Kewangan

151. Memahami sumbangan dan jasa kakitangan awam yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi, Kerajaan akan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM 750 untuk semua pegawai, kakitangan dan anggota pentadbiran negeri. Bagi maksud ini, Kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM 5 juta dengan bayaran tersebut akan dilunaskan pada Disember 2019.

PENUTUP

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

152. Kerajaan Negeri Kedah sedar akan cabaran yang kita hadapi dalam merangka Bajet 2020 yang kita harap dapat membantu memacu negeri ke arah lebih berdaya saing dan maju seiring dengan negeri-negeri lain. Sebaik mana Kerajaan Negeri cuba membawa bajet yang lebih realistik, kita sedar akan kekangan yang kita hadapi, terutamanya dari segi bebanan hutang yang perlu kita tanggung hasil dari kesilapan pentadbiran masa lalu.

153. Dalam keadaan kita berdepan kekurangan hasil dan perlu berkorban demi memastikan keselamatan makanan negara terjamin, kita tidak sepatutnya segan mengakui betapa negeri ini masih ketinggalan dari sudut ekonomi sehingga disenarai sebagai antara negeri miskin untuk diberi lebih perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

154. Tetapi, sebagai sebuah negeri yang bermaruah, yang kerajaannya dulu pernah gah seantero nusantara kerana memiliki ketamadunan Kedah Tua yang unggul, Kerajaan yang berada di hadapan Dewan pada hari ini, sama sekali tidak hanya akan berserah kepada nasib semata-mata. Kita akan berusaha mencari sumber-sumber baharu untuk mencorakkan ekonomi yang lebih baik untuk negeri.

155. Bagi menjayakan perancangan pembangunan sosio ekonomi yang disenaraikan menerusi Bajet 2020 ini, Kerajaan mengambil pendekatan bekerjasama dan mengembleng tenaga dengan semua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, PBT, GLC, agensi kerajaan dan juga swasta. Setiap dari kita mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri ini.

156. Semoga usaha kita membangunkan negeri ini mendapat sokongan dan dokongan dari semua pihak, termasuk rakan-rakan di sebelah sana. Kerana sebagai sebuah Kerajaan yang baik, kita memerlukan “check and balance” bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

157. Walaupun sumber hasil negeri sangat terhad, Kerajaan akan berusaha menambah hasil dan mengagihkannya secara saksama. Sama-samalah kita berdoa semoga usaha murni ini mendapat keberkatan demi kemakmuran rakyat Negeri Kedah.

Keris bukan sebarang keris,
Tinggalan warisan panglima silam.
Bajet dibentang elak tertiris,
Membawa makmur seluruh alam.

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, saya mohon mencadangkan.

#BAJETKEDAH2020
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh YAB MB ( Bajet Kedah 2020 ) Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top