Latest News

Tuesday 18 November 2014

#BajetKedah2015: Pertanian Sumber Utama #Kedah


Sektor pertanian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Negeri Kedah sekian lama. Pelbagai program dirangka untuk memperkasakan sektor pertanian, khususnya dalam penanaman padi. Inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan dayamaju sektor ini kebanyakannya diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Umpamanya, menaiktaraf sistem pengairan dan saliran bagi kawasan MADA. 

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memperuntukkan sebanyak RM24.7 juta bagi melaksanakan pembangunan pertanian melalui Jabatan Pertanian, Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan peruntukan yang telah dan akan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri percaya ianya akan memberi manfaat yang besar kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar. Peruntukan yang diberi ini adalah bagi melengkapi atau menampung sedikit sebanyak kemudahan yang tidak diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi memperlengkapkan kemudahan infrastruktur pertanian di luar kawasan MADA, sebanyak RM14.79 juta diperuntukkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini meliputi program pemulihan, pengindahan dan pemuliharaan sungai, program tebatan banjir, program pemulihan kerosakan akibat banjir, program peningkatan sistem pengairan dan saliran dan lain-lain program pembangunan bagi menyokong projek pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. 


Di kesempatan ini, Menteri Besar mewakili seluruh rakyat Negeri Kedah mengucapkan setinggi penghargaan kepada pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah meluluskan projek menaiktaraf saliran air estet-estet MADA yang bernilai RM2.2 bilion untuk meningkatkan hasil pertanian.

Kerajaan tetap meneruskan program pembangunan industri padi dengan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu meningkatkan hasil tanaman padi melalui perluasan Program Sawah Gemilang dan peningkatan kemudahan jalan ladang. Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited dalam membantu pembangunan industri asas tani dan buah-buahan di mana sebanyak RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi tujuan ini. Sebahagian besar daripada manfaat peruntukan ini akan dapat dinikmati oleh golongan petani tradisional.

Setiap tahun kita terpaksa mengimport beribu ternakan yang bernilai jutaan ringgit daripada luar negeri dan luar negara bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bagi mengatasi masalah ini, sebanyak RM4.4 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Veterinar bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan haiwan ternakan, pengeluaran bahan makanan dan industri ternakan ruminan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments
Item Reviewed: #BajetKedah2015: Pertanian Sumber Utama #Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top