Latest News

Saturday 22 November 2014

MB #Kedah Lancar Perumahan Darulaman Perdana di Sungai Petani..



YAB Menteri Besar Kedah, Dato Seri Hj Mukhriz Mahathir di Majlis Pelancaran Pembangunan Darulaman Perdana, Sungai Petani.

Turut disertakan ucapan penuh YAB MB..

Assalammualaikum..

Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata.

1.    Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat serta izinNya dapat kita semua hadir di majlis ini pagi ini, bagi bersama-sama menyempurnakan perasmian Karnival Darulaman Realty dan seterusnya melancarkan Darulaman Perdana: Ultimate Living in Style. Saya percaya projek ini akan menjadi tanda aras baharu dalam industri hartanah kediaman di negeri Kedah, inshaa-Allah.

2.  Pertama sekali tahniah dan terima kasih kepada Darulaman Realty Sdn Bhd, tidak hanya untuk pelancaran Darulaman Perdana ini tetapi di atas segala usaha gigih komitmen dan sokongan penuh yang diberi terhadap semua misi dan aspirasi Kerajaan Negeri dalam membangunkan Kedah Darul Aman.

3.     Sesungguhnya, pembangunan rapi, komprehensif dan teratur penting untuk kesejahteraan rakyat.
 Rekod cemerlang Darulaman Realty Sdn Bhd di Bandar Darulaman Jitra dan Darulaman Utama Kuala Ketil sebelum ini terbukti berhasil dalam menjayakan aspirasi tersebut, sekali gus memberi faedah besar kepada semua pihak berkepentingan dan rakyat khususnya. Tahniah dan Syabas.

4.  Dengan melihat kepada kejayaan mereka membangunkan prasarana Jitra serta Kuala Ketil, saya tidak khuatir dengan masa depan Darulaman Perdana ini, malah sebaliknya yakin bahawa mereka akan lebih komited merealisasikan perancangan pembangunan komprehensif yang tidak sekadar berteraskan margin keuntungan semata-mata, tetapi lebih penting, menyahut aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman mampu milik yang pada masa sama, menepati keperluan sosial pasaran penduduk berbilang kaum di Sungai Petani ini.
5.     Justeru, hadiran dan hadirat sekalian, saya melihat keputusan Darulaman Realty Sdn Bhd untuk mula mewujudkan "brand personality" menerusi tagline tertentu kepada pembangunan hartanah perumahannya adalah "refreshing", satu keputusan yang bijak kerana perniagaan hartanah adalah satu bentuk perniagaan berperingkat, dan menggunakan "brand personality" untuk menjelaskan DNA keseluruhan konsep adalah strategi yang mampu merangsang proses jual beli.

6.     Sekali lagi, Tahniah, dan sayamendoakan semoga cubaan pertama melalui tagline “Ultimate Living in Style” ini dapat dimanfaatkan semaksimumnya dalam pemasaran serta jualan Darulaman Perdana, dan seterusnya direalisasikan sepenuhnya pada tahun 2020, sebagaimana janji Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman, Dato’ Izham Yusoff menerusi ucapannya sebentar tadi.

7.     Sesungguhnya, saya melihat usaha ini sebagai satu bentuk transformasi atau tanda aras baharu dalam perniagaan hartanah perumahan di Kedah ini khususnya, di mana rakyat diberi lebih pilihan dalam aspek pemilikan rumah. Maksud saya, membeli rumah bukan berdasarkan rekabentuknya semata-mata, tetapi membeli rumah yang dibangunkan seiring prasarana sosial dan konsep gaya hidup keseluruhan.

8.     Saya benar-benar mahu melihat projek ini berjaya dan seterusnya menjadi tanda aras baharu bagi pembangunan hartanah perumahan di negeri Kedah. Justeru, hadirin dan hadirat sekalian, inshaa-Allah, saya akan pastikan pembangunan Darulaman Perdana dipantau Kerajaan Negeri, dan sekali gus memastikan perumahan dengan konsep gaya hidup ini siap sepenuhnya dan brand personality “Ultimate Living in Style” ini dapat dirasai pada tahun 2020.

9.     Misi ini penting, kerana saya melihat Darulaman Perdana sebagai satu elemen yang mampu menyuntik wajah baharu kepada Sungai Petani serta Kedah khususnya, dan selanjutnya mewujudkan peluang berangkai sebagai pembolehubah untuk menarik pelaburan luar masuk ke negeri ini.

10.    Sebagaimana semua tahu, semenjak mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, fokus saya di negeri ini melalui Barisan Nasional ialah untuk memperkasakan ekonomi rakyat. Syukur Alhamdulillah, kadar kemiskinan penduduk Kedah berjaya diturunkan tahun ini, dan 36.79 peratus kumpulan yang sebelumnya tersenarai sebagai termiskin telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu tersebut.

11.    Fokus kita selanjutnya ialah mencipta dan menyediakan lebih banyak inisiatif yang pelbagai bagi menarik pelaburan luar masuk ke negeri ini, sekali gus menyumbang kepada kewujudan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat. Inilah yang saya maksudkan dengan ekonomi modal memakmurkan rakyat yang digariskan dalam Bajet Negeri Kedah bagi tahun 2015 yang dibentangkan di Dewan Undangan Isnin lalu.

12.    Selari tujuan tersebut, kerjasama di antara Majlis Perbandaran Sungai Petani dengan Darulaman Realty Sdn Bhd mesti dipererat, dan semua jabatan kerajaan, baik secaral angsung mahupun menerusi agensinya perlu membantu demi memastikan kejayaan pembangunan Darulaman Perdana Sungai Petani ini.

13.    Dalam kata lain, Darulaman Perdana harus dilihat sebagai satu antara pengisian transformasi Kedah, dan sekali gus menjadi satu antara KPI bagi masa depan Kedah. Ia bukan hanya pemacu ekonomi, tetapi lebih daripada itu, Darulaman Perdana menzahirkan produk kediaman mampu milik dalam satu bentuk kehidupan gaya baharu. Pendek kata, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

14.    Akhir kata, tahniah sekali lagi kepada Darulaman Realty Sdn Bhd, dan dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Darulaman Realty dan melancarkan Darulaman Perdana: Ultimate Living in Stye.

15.    Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Waramatullahi Wabarakatu.

#MMFC #BDB #KedahSerataRata #Kedah #SP




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: MB #Kedah Lancar Perumahan Darulaman Perdana di Sungai Petani.. Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top