Latest News

Sunday, 28 December 2014

#Banjir : Anak Pasangan Lemas Jadi Anak Angkat MB Terengganu



KEMAMAN 27 Dis. –Komitmen mangsa bot terbalik, Norhayati Sulong, 37, yang maut bersama suami­nya, Suhaimi Awang, 37, selepas bergegas pulang ke rumah mereka semata-mata untuk mengambil kertas jawapan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum disemak, menyentuh hati Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif yang juga bekas guru, tergamam seketika setelah mendengar daripada keluarga arwah dan menyifatkan pengorbanan Norhayati sebagai satu penghormatan yang tinggi terhadap profesion perguruan dan memberi jaminan nasib anak-anak yang ditinggalkan akan mendapat pembelaan.

“Dia sanggup menempuh risiko, meninggalkan pusat pemindahan di Sekolah Menengah Geliga seketika untuk menyelamatkan kertas itu dan menyelesaikan tugasnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarah jenazah Suhami di pekarangan bilik mayat Hospital Kemaman di sini hari ini.

Mayat Suhaimi ditemukan hari ini sehari selepas penemuan mayat Norhayati.

Dalam kejadian Rabu lalu, pasangan berkenaan bersama tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir terpaksa berpindah berikutan kediaman mereka ditenggelami air.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan di SK Geliga, bot yang dinaiki terbalik selepas terperangkap dalam pusaran air.

Mayat Norhayati ditemukan tersangkut pada ranting kayu kira-kira pukul 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat dia dan suaminya terjatuh manakala mayat Suhaimi ditemukan kira-kira pukul 12.10 tengah hari ini.

Jenazah Norha­yati dikebumikan petang semalam di tanah perkuburan Jabur Kubur dekat sini manakala jena­zah suaminya dikembumikan bersebelahan selepas solat asar.

Pasangan itu meninggalkan enam orang anak yang masih kecil iaitu Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4 dan Nor Adifa Arissa, 4 bulan.

Ahmad Razif berkata, pihaknya akan mengambil keenam-enam anak pasangan itu sebagai anak angkat kerajaan negeri.

“Tragedi begini adalah satu perkara yang kita kena saling bantu-membantu. Jadi, saya dah maklumkan kepada keluarga pasangan terbabit.

“Insya-Allah, kerajaan negeri atas komitmen saya akan pastikan masa depan mereka khususnya dalam pendidikan terjamin,” katanya yang berjanji akan melihat bantuan yang perlu disalurkan kepada keluarga tersebut dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata, Allahyarham seorang anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.


“Allahyarham sepatutnya menyertai ‘reunion’ Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah (Kemaman) pada Khamis lalu dan bercuti di negeri Johor semalam. Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian disebabkan kejadian ini,” katanya sedih.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas daripada keluarga Norhayati menemui jalan buntu kerana mereka enggan ditemu bual kerana masih dalam kedukaan.

www.utusan.com.my
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #Banjir : Anak Pasangan Lemas Jadi Anak Angkat MB Terengganu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top