Latest News

Tuesday 9 December 2014

Denggi: 6 Kematian Dicatat Di Kedah Sehingga 6 Dis




Sebanyak 933 kes demam denggi melibatkan enam kematian direkodkan di Kedah bagi tempoh 1 Jan hingga 6 Dis tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata jumlah kes itu meningkat sebanyak 22 peratus atau 173 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas, dan dengan hanya satu kematian iaitu di daerah Padang Terap.

"Enam kematian akibat komplikasi denggi yang direkodkan tahun ini melibatkan empat mangsa dari daerah Kuala Muda dan dua mangsa dari daerah Kulim," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tiga daerah yang menunjukkan peningkatan kes demam denggi adalah Kulim iaitu sebanyak 163 kes bagi 1 Jan hingga 6 Dis 2014 berbanding 50 kes dalam tempoh sama tahun lepas, Kuala Muda (405 kes berbanding 130 kes tahun 2013) dan Langkawi (21 kes berbanding 12 kes tahun 2013).

Beliau berkata, sehingga Sabtu lepas pihaknya telah melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 347,659 premis dan sebanyak 6,292 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

Dr Norhizan berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 2,877 kompaun mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dengan nilai RM1.23 juta.

"Sejumlah 305 kes telah dibawa ke mahkamah dengan kutipan denda sebanyak RM21,233 dan sebanyak 695 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 355,782 premis dibuat semburan untuk membunuh nyamuk dan 161,666 premis diletakkan 'abate' bertujuan memusnahkan jentik-jentik aedes.

"Orang ramai disaran menyembur 'aerosol' di dalam rumah sebaik sahaja pulang daripada bercuti bagi melindungi diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk aedes. Ia digunakan semasa waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu waktu pagi dan senja.

"Orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala denggi dan beritahu pengamal perubatan yang merawat dengan jelas jika anda berada atau balik dari kawasan wabak denggi," katanya. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Denggi: 6 Kematian Dicatat Di Kedah Sehingga 6 Dis Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top