Gambar hiasan |
ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang dituduh mencederakan seorang anggota polis menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi mengetahui tahap kewarasan mentalnya.
Zawawi Jasni, 28, dituduh sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis, Mohd Abdul Halil Osman (umur tidak dinyatakan) dengan menggunakan sebilah parang.
Kejadian berlaku di rumah tertuduh di kampung Kerkau, Pendang kira-kira pukul 4.30 petang 27 November lalu.
Zawawi berpakaian hospital yang kelihatan tenang di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah.
Beliau meminta Hakim Ibrahim Osman menuliskan butir-butir arahan terbabit kepadanya selain memberitahu dia sihat dan mahu pulang ke rumah.
Hakim menetapkan 7 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes sambil mendapatkan laporan perubatan mental dan kesihatan tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlena Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian pada 27 Nov itu, tiga anggota polis cedera ditetak di kepala, jari dan kaki dalam kejadian amuk melibatkan tertuduh.
Ketika itu mereka cuba memujuk tertuduh keluar dari biliknya untuk dibawa ke hospital. -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment