Latest News

Monday 22 December 2014

Naik Taraf Sistem Tingkat Hasil - Datuk Azmi Che Husain



Alor Setar - Proses menaiktaraf dua sistem iaitu kutipan hasil dan pendaftaran geran tanah perlu dilaksanakan segera bagi memastikan jumlahnya meningkat sekurangnya 11 peratus bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Kedah, Datuk Azmi Che Husain berkata, ia membabitkan sistem urusan kutipan hasil tanah (Sukhat) dan sistem daftar geran.

Menurutnya, walaupun Sukhat mula diperkenalkan sekitar November 2008 namun penggunaannya kurang meluas serta tidak selaras antara pejabat daerah, pejabat tanah dan unit kutipan hasil, menyebabkan sering berlaku perbezaan maklumat.

“Disebabkan itu, kutipan merosot dan kerugian ditanggung setiap tahun mencecah hampir RM300,000.

“Masalah kerap kali berlaku ini turut mendapat teguran jabatan audit kerana kutipan hasil tanah menyumbang kepada pendapatan utama kerajaan negeri,” katanya, semalam.

Beliau berkata, tiga jabatan itu perlu berusaha mencari jalan memastikan segala maklumat Sukhat dapat diakses secara serentak agar kutipan hasil diterima selaras dan padan dengan maklumat pembayar.

“Kita meminta supaya proses pendaftaran geran tanah dipercepatkan kerana selama ini ia mengambil masa panjang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

“Jika tiada nombor lot tanah, kutipan hasil tidak dapat dilaksanakan walaupun tanah tidak bergeran didiami penduduk,” katanya.

Menurutnya, kaunter pembayaran kutipan hasil juga perlu ditambah serta diperluaskan ke lokasi tumpuan orang ramai selain dari pejabat daerah dan tanah.

“Antaranya membuka kaunter kutipan di pekan dan pasaraya selain Pusat Transformasi Bandar (UTC), serta lokasi bersesuaian.

“Melalui kaedah ini orang ramai lebih peka dengan tanggungjawab membayar hasil serta menjimatkan masa tanpa perlu mengambil masa lama ke pejabat tanah,” katanya.


- Sinar 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Naik Taraf Sistem Tingkat Hasil - Datuk Azmi Che Husain Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top