Latest News

Thursday 26 February 2015

JICA Jalin Kerjasama Dengan Kedah Hasilkan Makanan Halal Jepun



Selari dengan perkembangan industri makanan halal, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah untuk menghasilkan produk makanan halal Jepun di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaakob berkata JICA memutuskan untuk menceburi industri makanan halal selepas mengadakan lawatan ke negeri ini hari ini.

Katanya JICA telah mengenal pasti syarikat Ambang Dorongan Sdn Bhd di Gurun untuk menghasilkan makanan Jepun seperti kuih 'Mochi' yang halal untuk dijual di negara ini.

"Sebelum ini, pihak JICA telah merasa kuih Mochi yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan di negeri ini dan mereka berpuas hati dengan hasil produk tersebut," katanya kepada Bernama di Wisma Darul Aman hari ini.

Delegasi tersebut turut mengunjungi syarikat Ambang Dorongan untuk melihat proses bagi menghasilkan kuih Mochi.

Suraya berkata kerjasama antara JICA dan syarikat tersebut merupakan kerjasama yang bakal merintis pasaran eksport untuk produk yang dihasilkan di Kedah.

"JICA menunjukkan minat yang mendalam berkaitan makanan halal kerana mereka turut ingin mewujudkan 'Halal Park' di Hokaido seperti di Sungai Petani.

"Kita akan berkongsi ilmu untuk memajukan lagi industri makanan halal demi kebaikan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Penasihat Perniagaan Kecil dan Sederhana Perniagaan Luar Negara JICA, Shinichi Tsuboi berkata pihaknya tidak hanya menumpukan kepada makanan halal Jepun tetapi juga makanan lain seperti dari Eropah.

Katanya kerjasama dengan Kedah untuk menghasilkan makanan halal itu juga bagi menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang akan turut dikunjungi ramai atlet dan pengunjung beragama Islam.

Langkah itu akan dapat menampung permintaan terhadap makanan halal ketika Sukan Olimpik berlangsung di Jepun, katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: JICA Jalin Kerjasama Dengan Kedah Hasilkan Makanan Halal Jepun Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top